Matlamat Pelajaran & Pendidikan Islam Yg Sebenar- 1


02/03/2006


Petikan:
" Di mana-mana saja negara di dunia ini, warga pelajar dianggap tidak lebih sebagai bahan atau `buruh ekonomi` yang perlu diajar dan diberi kemahiran supaya mereka boleh digunakan untuk menjana ekonomi negara dalam segala bidangnya sama ada pertanian, perikanan, industri perubatan, perdagangan, industri perkhidmatan dan lain-lain lagi. "

Kebanyakan ibu bapa menganggap bahawa sekolah ialah tempat untuk menimba sebanyak-banyak ilmu hingga peringkat yang setinggi mungkin, supaya masa depan anak-anak terjamin. Dengan mendapat sijil dan kelulusan dalam bentuk ijazah sama ada ijazah pertama, masters atau PHD, itulah tiket untuk anak-anak mudah mendapat jawatan yang tinggi dan gaji lumayan. Mungkin di celah-celah itu terselit juga maksud supaya ibu, ayah, anak dan keluarga seluruhnya dipandang mulia di sisi masyarakat.

Sijil-sijil itulah juga asas yang digunakan dalam masyarakat kita bagi mengurniakan anugerah dan sebagainya. Mithali atau tidak, cemerlang atau tidak, sama ada ibu, ayah, anak atau keluarga itu boleh dijadikan contoh atau tidak, adalah berdasarkan kepada berapa ramai anak-anak yang berjaya dididik hingga menjadi doktor, jurutera, arkitek, akauntan, pensyarah univesiti, peguam dan sebagainya.

Dalam erti kata lain, anak-anak dihantar ke sekolah khusus untuk tujuan ekonomi (untuk mendapat kerja) dan bagi tujuan mendapat kemulian dan kehormatan di sisi masyarakat. Tidak dapat kita lihat adanya maklumat yang lain selain dari dua matlamat yang disebutkan itu.

Oleh yang demikian samalah kita sebagai ibu ayah, dengan ibu ayah dalam masyarakat yang bukan Islam seperti di Amerika, United Kingdom, negara-negara Eropah, Jepun, Cina dan sebagainya. Ibu ayah di negara-negara tersebut juga menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana tujuan ekonomi dan untuk mendapat kehormatan dan kemuliaan di sisi masyarakat dan tidak lebih dari itu.

Sedangkan menuntut ilmu itu diwajibkan oleh Islam. Masakan Islam mewajibkan kita menuntut ilmu hanya supaya kita boleh dapat kerja, dapat gaji yang banyak dan dimuliakan di sisi masyarakat kerana ilmu kita itu. Masakan matlamat hukum Islam supaya kita mencari ilmu itu terhenti setakat hal-hal dunia yang remeh-temeh seperti itu.

Kalau setakat itulah matlamatnya, apa perlunya Allah datangkan Islam kepada kita dengan apa perlunya diwajibkan pula kita menuntut ilmu. Orang-orang bukan Islam pun boleh faham malah mereka lebih gigih mencari ilmu tanpa payah mereka menganut dan mengamalkan Islam.

Di peringkat negara pula, berdasarkan kepada dasar pelajaran yang diamalkan dimana-mana saja negara di dunia ini, warga pelajar dianggap tidak lebih sebagai bahan atau `buruh ekonomi` yang perlu diajar dan diberi kemahiran supaya mereka boleh digunakan untuk menjana ekonomi negara dalam segala bidangnya sama ada pertanian, perikanan, industri perubatan, perdagangan, industri perkhidmatan dan lain-lain lagi. Inilah perkara pokok yang terkandung dalam dasar pelajaran negara.Kalaupun ada dasar yang berbau atau bersifat kemanusian seperti agama, moral atau bina insan, itu adalah untuk menentukan pelajar tidak liar atau jahat supaya mereka tidak merosakkan sistem yang sedia ada. Ia adalah untuk mempertahan dan menyelamatkan sistem yang ada dan bukan untuk menyelamatkan para pelajar itu sendiri dari kemurkaan Tuhan dan dari seksa api Neraka.

Digunakan istilah `dasar pelajaran` di sini, dan tidak `dasar pendidikan` seperti yang rasminya digunakan, untuk mengelak kekeliruan kerana dasar tersebut kurang menekankan hal-hal pendidikan yang sepatutnya membuahkan akhlak tetapi banyak kepada hal-hal pembelajaran yang bermatlamatkan ilmu terutama ilmu dunia atau ilmu akademik semata-mata.

Inilah kedaan sistem dan matlamat persekolahan yang wujud sekarang di mana-mana saja di dunia ini. Tidak salahlah kalau ada pihak yang menuduh sistem ini sebagai sekular kerana ia tepat dengan takrif sekular itu sendiri, sekalipun sekolah-sekolah agama. Kerana tujuannya adalah sama iaitu untuk mendapatkan sijil bagi melayakkannya memperolehi dua perkara seperti yang dinyatakan di atas tadi.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer