Masyarakat Perlukan Kasih Sayang


24/11/2006

 Sepatutnya masyarakat manusia tidak hidup nafsi-nafsi, berkrisis dan huru-hara. Sebab sudah menjadi keperluan hidup manusia, saling bertolong bantu dan perlu memerlukan. Seseorang itu tidak boleh sempurna hidupnya tanpa orang lain. Pada orang lain ada keperluan untuk dirinya. Jadi sepatutnya dia menjaga hubungan baik dengan orang lain. Sebab di situ ada keperluan untuk dirinya.

Ertinya, berkasih sayang antara manusia itu, selain merupakan keperluan batiniah insan, sebenarnya ia adalah keperluan kehidupan lahiriahnya juga. Kalau tidak berbaik-baik dengan orang lain, manusia akan hidup keseorangan dengan bermacam-macam masalah. Contohnya:
1. Dalam sebuah kampung, ada seorang kaya yang tidak bergaul dengan sesiapa pun dalam kampung itu kerana orang lain semua tidak kaya seperti dia. Bolehkah dia selamat dengan hidup seorang diri? Apa kata kalau satu hari terjadi kebakaran di rumahnya? Pada siapa dia hendak minta tolong? Atau terjadi kematian salah seorang anggota keluarganya, ke mana dia hendak mengadu? Atau kalau dia hendak adakan kenduri, siapa yang hendak tolong jayakannya?

Atau di waktu sakit, bukankah dia memerlukan orang lain? Iaitu orang yang akan mengubatinya. Tanpa orang lain, kekayaan yang dimilikinya tidak akan memenuhi keperluan hidupnya. Dia akan menghadapi berbagai-bagai masalah. Yang penyelesaiannya tidak lain tidak bukan ialah berbaik-baik dan berkasih sayang dengan manusia yang lain.

Di Barat hari ini, kerana manusia memilih untuk hidup sendiri-sendiri, tidak mahukan orang lain, biasa berlaku, orang tua mati seorang diri dalam rumah; sudah berhari-hari baru orang tahu. Itu pun, jiran yang tahu tadi bukannya tolong uruskan, tapi sekadar tolong telefon pihak polis dan hospital minta dibereskan. Indahkah hidup dan mati yang begitu?

Begitu juga kalau ada hal-hal kecemasan; mereka yang datang menolong bukan masyarakat sekeliling, tetapi pihak berwajib yang saling tidak kenal-mengenal. Pertolongan yang diberi pun semata-mata atas dasar tugas yang terpaksa dibuat, bukan dengan hati. Terhiburkah kita menerima pertolongan yang diberi secara terpaksa?

2. Pemimpin perlukan rakyat. Buktinya dapat dilihat di waktu pilihanraya, betapa orang politik merayu-rayu agar rakyat mengundi mereka. Terpaksalah mereka membeli undi, menyogok wang dan menjanjikan itu dan ini demi mengharapkan belas kasihan dan rakyat. Tetapi pelik, selesai pilihanraya mereka lupakan rakyat. Sedangkan kalaulah mereka terus berbaik-baik, menghubungkan kasih dengan rakyat, pada pilihanraya akan datang tidak perlu teruk-teruk berkempen, tidak perlu beli undi dan tidak perlu janji itu dan ini. Sebab bila rakyat sayang, undi akan diberi secara sukarela.

Sepatutnya para pemimpin sedar akan hal ini dan berusaha untuk menjaga hati rakyat lebih dan hati keluarga. Sebab rakyatlah yang menyebabkan dia jadi pemimpin. Tetapi mengapa hari ini, hampir-hampir tidak ada rakyat yang sayangkan pemimpin dan hatinya? Yang ada cuma ikatan tugas atau ikatan kepentingan dengan tujuan-tujuan hendak jaga periuk nasi dan poket. Di belakang pemimpin, rakyat mengata-ngata atau melupakannya. Terpaksalah pemimpin beli kasih dengan wang untuk dia disanjung dan dipuji. Kasih wang namanya, bukan kasih sayang.

3. Bila kita berfikir lebih jauh, kita akan melihat adanya hubungan semulajadi antara manusia yang mewajarkan manusia saling mengasihi antara satu sama lain. Nasi yang kita makan, petani yang tanam. Ikan yang kita hidang, nelayan yang tangkap; dihantar ke rumah kita oleh peniaga kecil. Atau dibawa ke pasar oleh para peniaga. Rumah tempat kita tinggal, buruh yang bangunkan. Kereta yang kita naiki, ada pihak yang bersusah payah membuatnya. Demikianlah seterusnya. Antara kita dengan manusia lain, saling perlu-memerlu dan bantu-membantu secara sedar atau tidak, secara langsung atau tidak langsung. Sama ada kita mahu atau tidak, kita harus terima juga.

Hal ini tidak berlaku dalam masyarakat haiwan. Jadi kalau haiwan tidak bermasyarakat, tidaklah rugi dan tidaklah salah. Sebab mereka tidak perlu-memerlukan. Tapi manusia mesti bermasyarakat. Walaupun kita sudah bayar khidmat petani, nelayan, buruh dan lain-lain itu, tetapi bukankah elok kalau bayaran dibuat bersama rasa terima kasih. Hulurkan juga kasih atas kerelaan orang lain menjadi sumber rezeki pada kita. Wang yang diberi akan habis tetapi kasih akan membuahkan hubungan baik, timbang rasa dan rasa bersama.

Mana lebih indah, dua orang yang terhubung oleh mata benda atau wang ringgit dan dua orang yang berhubung dengan kasih sayang? Bila manusia dihubungkan oleh benda, tidak wujud kemesraan, persaudaraan atau persahabatan. Tidak ada ziarah-menziarahi, saling menghibur serta sama-sama ketawa dan menangis. Apakah seronok tinggal dalam rumah yang tiada kawan yang hendak ziarah dan kesusahan terpaksa ditanggung sendiri hingga ketawa pun sendirian? Ya, hubungan yang diikat oleh bayaran, kaku dan tidak menghubungkan hati. Sebab itu marilah kita utamakan perhubungan hati daripada hubungan yang diikat oleh wang. Sebab kasih sayang lebih dinilai dan banyak hikmahnya dan wang.

4. Dalam pengalaman hidup kita, sekali-sekala kita akan ditimpa susah, sakit, miskin, kemalangan dan lain-lain ujian hidup. Bukankah waktu itu kita perlukan orang lain untuk tolong kita? Jika orang tidak tolong, kita jadi dua kali susah dan sakit. Jadi ertinya, waktu orang lain susah, kita perlu tolong. Sebab dia sangat memerlukan kita sebagaimana kita perlukan dia.

Jadi perlu-memerlukan tidak dapat dielak walaupun kita tidak berkehendak. Kalau begitu, bukankah lebih baik kita menganjurkan hubungan kasih sayang daripada hidup nafsi-nafsi. Sebab pertolongan yang disertai dengan kasih sayang ada ertinya. Sedangkan pertolongan yang diberi dengan masam muka dan mengejek akan menyakitkan hati. Jelas, kasih sayang amat perlu dalam hidup manusia. Tanpanya, manusia akan kesusahan.

5.Mengapa kita suka atau tergamak melakukan perkara-perkara yang menjadikan orang benci atau hilang kasih? Hingga timbul ketegangan dan huru-hara. Sebab kesannya, bukan saja orang lain yang susah, tetapi diri sendiri pun susah. Sebab suasana itu memberi kesan pada jiwa kita. Apakah kita suka kalau kita susah? Kalau tidak, mengapa kita biarkan diri kita melakukan perkara-perkara yang memutuskan kasih sayang dan keharmonian di tengah masyarakat, yang akan membuatkan orang lain susah?

6.Fitrah manusia suka disayangi dan tidak suka dibenci. Manusia tentu sedar sifatnya ini. Dia faham dan dapat baca hatinya. Kerana setiap waktu dia mengalaminya. Bila ada orang tunjuk sayang, dia gembira sekali. Bila ada orang benci, dia terseksa. Oleh itu sepatutnya manusia faham bahawa sebagaimana dia merasainya, begitulah juga orang lain. Kalau dia suka disayangi dan tidak ingin dibenci, orang lain pun begitu juga. Tetapi mengapa manusia tidak berusaha untuk memberi kasih? Mengapa memikirkan diri sendiri sahaja, tidak memikirkan orang lain sama?

Dengan buah-buah fikiran yang tersebut tadi, saya tegaskan bahawa kasih sayang amat diperlukan oleh masyarakat manusia dalam hidup mereka. Kasih sayang mesti diperjuangkan dalam masyarakat. Manusia tidak boleh meniru masyarakat hutan (haiwan) yang hidup nafsi-nafsi, kerana di hutan kasih sayang tidak penting. Di kampung, di bandar, di dalam masyarakat manusia, kasih sayang amat perlu. Tanpa kasih sayang, manusia akan susah, resah, gelisah, payah dan runsing selalu.

Untuk memperjuangkan kasih sayang, kita perlu mulakan dengan mengorbankan sifat individualistik dan gila dunia. Kita perlu fikirkan perasaan orang lain sebagaimana kita fikirkan perasaan kita. Kita perlu kongsikan kekayaan yang kita perolehi, bukan bolot untuk diri sendiri sahaja.

Inilah ajaran Islam. Ia mengutamakan nilai-nilai kasih dan sayang lebih dan harga dunia dan isinya. Tapi inilah yang telah dilupakan oleh umat Islam sendiri sekalipun ulama-ulamanya. Sebab keperluan kepada kasih dan sayang lebih dan keperluan pada mata benda. Orang yang berkasih sayang boleh hidup walaupun miskin. Tetapi berapa ramai orang kaya yang berkecamuk hidupnya kerana ketandusan kasih sayang? Satu ketika dulu, orang boleh hidup dengan kasih sayang, tanpa menggunakan banyak wang. Mereka gotong royong buat rumah, tidak perlu upah tukang. Mereka gotong-royong tanam padi, tidak perlu upah penanam. Demikian seterusnya. Tetapi sekarang, kerana kasih sayang sudah tiada, untuk uruskan mayat pun perlu ada duit banyak. Kalau tidak, mayat busuk tidak bertanam. Apalagi hendak buat rumah. Tidak ada wang upah, rumah takkan tertegak. Hendak kahwin pun tidak boleh kalau tidak ada duit. Sebab orang bukan lagi kahwin kerana cinta murni tetapi semata-mata kerana cinta nafsu, yang terpaksa dibayar dengan harga yang mahal.

Kita tidak rugi kalau membeli atau menggantikan wang dengan kasih sayang. Sebab kasih sayang terlalu tinggi nilainya. Ia menyuburkan jiwa dan merupakan sumber ketenangan dan kebahagiaan. Moga-moga kita berjaya mengembalikan kehidupan berkasih sayang dengan menyelamatkan diri dan cengkaman nafsu kerana penyakit gila keduniaan dan kebendaan.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer