Masjid : Dulu & Sekarang


25/02/2006

" Dulu masjid dibina atas dasar taqwa. Kini ia dibina kerana tujuan dunia, inginkan nama, gelaran, pangkat atau glamour. "


Dulu :
Dulu, bilangan masjid tidak banyak. Di zaman Rasulullah SAW, hanya ada satu masjid iaitu Masjidil Haram. Manakala ketika di Madinah, juga ada satu masjid sahaja iaitu masjid Quba. Masjid di zaman Rasulullah SAW, walaupun hanya ada satu, ia merupakan tempat atau sumber segala maklumat tentang Islam . Selain daripada tempat sembahyang, masjid juga menjadi tempat berbaiah dengan Rasulullah, tempat bermuzakarah, tempat bertanya, tempat penyelesaian masalah, tempat berbincang, sebagai pusat pengajian ilmu, tempat berukhwah, tempat mencatur masyarakat Islam dan berbagai-bagai aktiviti lagi.

Masjid pula dijaga oleh ahli-ahli Suffah yang kuat beribadah dan mereka tinggal di dalam masjid. Hidup mereka hanya untuk Allah dan mereka tidak memiliki harta walaupun sedikit. Jika tiada sebarang makanan yang disedekahkan kepada mereka, mereka akan berpuasa sepanjang hari. Tetapi mereka sentiasa siap sedia menanti sebarang arahan dari Rasulullah untuk pergi berperang ke jalan Allah atau lain-lain kerja perjuangan. Pergi berperang di jalan Allah adalah peluang keemasan yang memang ditunggu-tunggu dan ini tidak pernah mereka lepaskan.

Walaupun pada zahirnya mereka ini hidup dalam keadaan serba kekurangan, mereka tetap ingin mengambil bahagian dalam memperjuangkan agama Allah ini. Merekalah orang-orang masjid di zaman Rasulullah SAW. Mereka itu menjadikan ibadah sembahyang itu kecintaan mereka dan ianya mendarah daging dalam kehidupan mereka. Semakin banyak mereka sembahyang, semakin dekat mereka dengan Tuhan. Lagi banyak sembahyang mereka, bertambah kuat ukhwah dan kasih sayang di antara mereka dan bertambah teguhlah syariat mereka.

Sekarang :
Kini apa yang kita lihat di mana-mana saja negara umat Islam di dunia ini, masjid terlalu banyak macam cendawan tumbuh. Masjid dibina dengan banyak dan cantik, bukan untuk mengagungkan Tuhan tapi untuk menjamu mata pelancong-pelancong.

Orang-orang yang menjaga masjid pula bukan lagi seperti ahli Suffah, sebaliknya mereka yang inginkan nama dan ada kepentingan dunia. Hingga tercetuslah perbalahan, putus ukhwah, tidak bertegur sapa hanya kerana merebut jawatan untuk mengurus masjid.

Walaupun kita lihat dari hari ke sehari semakin ramai orang datang ke masjid tapi pada hakikatnya sembahyang dan ibadah umat Islam tidak membuahkan akhlak yang mulia. Terbukti apabila semakin ramai orang sembahyang, semakin ramai orang yang berani melanggar syariat. Wanita-wanitanya ketika dalam sembahyang boleh menutup aurat tetapi selesai sahaja sembahyang sudah tidak lagi malu membuka auratnya.

Semakin ramai orang sembahyang, kita lihat umat Islam kini semakin rapuh perpaduannya, mudah sahaja marah-marah dan tidak boleh bertolak ansur. Tuduh-menuduh, kata-mengata sudah menjadi tradisi. Kemesraan sudah tidak ada, senyuman hanya berpura-pura. Kasih sayang sesama umat Islam lebih-lebih lagi telah gersang dari hati.

Masjid di zaman Rasulullah dijadikan tempat ibadah sepanjang siang dan malam. Tetapi kini, masjid hanya digunakan ketika waktu solat, waktu lain, ia dikunci kerana takut berlaku kecurian barang-barang berharga di dalamnya.

Masjid bukan lagi menjadi tempat bertaqarrub kepada Allah, tetapi telah menjadi tempat bercerita, berborak dan bersembang pasal dunia. Malah yang paling menakutkan lagi, kini masjid sudah menjadi gelanggang fitnah-menfitnah, umpat-mengumpat, kata-mengata, kutuk-mengutuk, kafir-mengkafir, tuduh-menuduh. Masjid bukan lagi lambang perpaduan, tetapi bertukar menjadi tempat memecah-belah. Masjid bukan lagi menjadi tempat bertafakur memuhasabah diri, sebaliknya menjadi tempat untuk membina keangkuhan diri, memikirkan serta melihat kesalahan dan kelemahan orang lain.

Masjid menjadi tempat manusia berpuak-puak, curiga-mencurigai, saling tidak mempercayai di antara satu dengan lain.

Manusia kini sudah tidak beradab sopan lagi di dalam masjid dan sudah tidak lagi memuliakan masjid. Masjid kini bukan lagi menjadi lambang tawadhuk dan syiar agama tetapi menjadi lambang kesombongan dan tempat hiruk-pikuk.

Justeru masjid kini telah menjadi tempat sumber fitnah.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer