Manusia Sebagai Seorang Hamba Dan Khalifah


02/05/2006

Gilap modal insan: PM
Berita Harian 2 Mei 2006 Oleh Kadir Dikoh
Kerajaan memerlukan sokongan rakyat menjayakan strategi pembangunan

PUTRAJAYA: Pembangunan modal insan berminda kelas pertama perlu diberi keutamaan dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang beridentiti sendiri dan mampu berdaya saing pada peringkat global.

Dalam perutusan sempena Hari Pekerja 2006 yang disambut hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar), berkata dalam konteks dunia global sekarang, modal insan yang benar-benar berkualiti memang penting jika negara ingin melangkah ke era ekonomi global berpaksikan pengetahuan.

Dalam konteks dunia global hari ini, modal insan yang benar-benar berkualiti adalah satu kemestian, bukan lagi satu kemewahan. Sebagai modal insan, kerajaan dan rakyat harus bersama-sama mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen.

Kerajaan amat memerlukan sokongan dan kerjasama rakyat untuk merebut peluang dan memainkan peranan menjayakan pelbagai strategi serta perancangan yang disusun pihak kerajaan untuk membangunkan modal insan negara, kata Perdana Menteri sambil memberitahu tema sambutan kali ini sama seperti tahun lalu iaitu Pekerja Cemerlang Negara Terbilang.

Abdullah berkata, tema itu sekali lagi dipilih dan ia amat bertepatan kerana modal insan negara perlu terus digilap.

Katanya, ia adalah elemen terpenting dalam memastikan negara terus berdaya saing dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi sejagat yang amat mencabar, ekonomi berlandaskan pengetahuan serta bertunjangkan sains dan teknologi.

Beliau berkata, rakyat sebagai modal insan negara perlu terus memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta semangat pendidikan sepanjang hayat perlu dibudayakan.

Ini penting agar modal insan negara sentiasa menguasai ilmu pengetahuan serta kemahiran terkini dan ditunjangi pula dengan nilai murni supaya menjadi tenaga kerja dinamik selain menghayati budaya kerja berprestasi tinggi, katanya.

Pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti yang berterusan juga akan memastikan modal insan negara kekal relevan dengan kehendak industri dan pasaran semasa serta mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat, katanya.

Abdullah berkata, kerajaan menyanjung tinggi serta amat menghargai sokongan dan kerjasama padu majikan dan pekerja.

Katanya, hubungan yang sedia terjalin itu perlu dipertingkatkan bagi mengekalkan keharmonian.

Perkara yang paling penting dalam menentukan kejayaan bagi mencapai apa yang kita hasratkan adalah persefahaman yang diterjemahkan kepada kerjasama dan usaha gigih antara kita bersama.

Marilah kita sama-sama melakukannya demi kecintaan kita pada negara, katanya.

Abdullah berkata, aset yang paling penting bagi sesebuah negara, yang menentukan turun naik dan jatuh bangunnya negara, adalah warganya.

Oleh itu kata beliau, rakyat sesebuah negara yang pastinya mendominasi hampir keseluruhan tenaga kerja negara terbabit, adalah nadi dan penentu kejayaan negara itu.

Atas hakikat itulah, dalam kita mengejar pembangunan dan kemajuan demi mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, kerajaan memberikan penekanan yang amat besar kepada usaha membina serta memanfaatkan sepenuhnya potensi modal insan negara, katanya.

ULASAN:

Kita manusia hamba dan khalifah dan sebagai hamba kenalah beribadah.Sebagai khalifah kenalah mengatur, menyusun, mendidik, membangun dan berkemajuan. Dibangunkan itu semua untuk keperluan insan. Politiknya, ekonominya, pendidikannya, kebudayaannya, masyarakatnya, perhubungannya, tugasnya. Syariat jadikanlah panduan di semua aspek kehidupan.

Apabila manusia berjalan seimbang kehambaannya dan kekhalifahannya. Dunia ini syurga sebelum Syurga. Manusia berakhlak mulia bersama tamadun laksana satu keluarga bersama pembangunan.

Bekerjalah bersama kemajuan, berukhwah, bersatu dan harmoni. Tidak ada ketakutan, tidak ada kebimbangan. Keadilan merata kasih sayang jadi budaya.

Pemimpin payung, ulama obor, pemuda-pemudi tenaga, orang tua doanya, kanak-kanak cahaya mata.


Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer