Lemparkan Aku Seperti Orang Itu


28/07/2006

Dalam pemerintahan Umar bin Khattab, telah meletus peperangan antara tentera Islam dengan tentera Acmawy. Di dalam peperangan itu ramai tentera Islam ditawan dan dibawa ke kerajaan Acmawy. Di antaranya Abdullah bin Khudafa, salah seorang sahabat Nabi.

Abdullah dihadapkan kepada Kaisar Acmawy. Apabila diberitahu Abdullah adalah sahabat Muhammad SAW, Kaisar pun berkata: "Mahukah kamu masuk nasrani? Kalau kamu mahu, aku akan berikan separuh kerajaan aku ini kepada mu."

Spontan Abdullah menjawab, "Kalau kamu serahkan seluruh kerajaanmu dan seluruh harta yang dimiliki oleh bangsa Arab sekalipun, aku tidak akan berpaling sedikit pun daripada agama Muhamad SAW."

"Kalau begitu kau akan aku bunuh," kata Kaisar.

Dengan tenang Abdullah menjawab, "Berbuatlah sesuka hatimu." Kemudian Abdullah disalib di hadapan Kaisar.

"Hai Abdullah, apakah kamu telah berubah fikiran kini" tanya Kaisar.

"Tidak, aku tetap dengan pendirianku," jawab Abdullah tegas. Mendengar jawapan Abdullah itu, kedua-dua tangan dan kakinya pula dipanah. Namun Abdullah sedikit pun tidak menyesal.

Oleh kerana penyeksaan sedemikan tidak dapat menakutkan Abdullah, dia telah diturunkan dari tiang salib dan dibawa ke hadapan kawah besar yang berisi air mendidih. Di situ tersedia menunggu dua orang tawanan muslimin.

"Abdullah, mahukah kamu masuk nasrani?" tanya Kaisar.

Apabila Abdullah menjawab tidak, salah seorang tawanan muslimin dilemparkan ke dalam kawah mendidih itu. Tawanan kedua dilemparkan ke dalam kawah disebabkan Abdullah tetap dengan pendiriannya. Bila melihat tawanan kedua dilemparkan, dia menangis sehingga Kaisar mengira Abdullah telah mulai takut. Segera Kaisar menawarkan Abdullah masuk nasrani, namun Abdullah tetap menolak.

Kaisar pun bertanya, "Apa sebab kamu menangis?"

"Aku menangis kerana melihat orang yang kamu lemparkan ke dalam air mendidih itu mati dalam jalan Allah. Sedangkan aku yang ingin mati dengan cara demikian tidak kamu lemparkan," kata Abdullah.

Aneh sungguh manusia bernama Abdullah ini. Dia bukan sahaja tidak mahu harta kekayaan malah menangis apabila tidak dilemparkan ke dalam air mendidih. Bererti dia rela mati demi mempertahankan imannya.

Setelah Kaisar melihat keteguhan iman Abdullah, dia berkata, "Mahukah kamu mencium kepala aku, nanti aku akan lepaskan kamu."

Abdullah menjawab: "Ya, aku mahu asalkan kamu lepaskan juga seluruh tawanan muslimin."

Setelah bersetuju, Abdullah pun mendapatkan Kaisar dan mencium kepala raja nasrani itu. Kemudian Kaisar pun menyerahkan seluruh tawanan muslimin kepadanya.

Apabila Khalifah Umar diberitahu kejadian ini, beliau berkata, "Aku wajibkan setiap Muslim mencium kepala Abdullah bin Khudafa."

Dan Umar adalah orang yang pertama sekali mencium kepala Abdullah.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer