Layak Tanpa Sijil


14/06/2006

Di zaman moden macam sekarang ini, hendak jadi apa pun, kenalah layak. Kalau tidak layak, siapa pun tidak akan terima. Kelayakan pula diukur dengan sijil. Sijil itulah bukti kelayakan. Sijil itulah bukti kemahiran. Sijil pula bukan sebarang sijil. Mesti sijil yang diiktiraf. Mesti sijil yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang diakui. Kalau tidak, tak laku juga.

Hendak jadi doktor mesti ada sijil kedoktoran. Hendak jadi jurutera mesti ada sijil kejuruteraan. Hendak jadi guru mesti ada sijil perguruan. Setidak-tidaknya, hendak jadi kerani biasa pun mesti ada sijil pelajaran.

Ini sebenarnya satu sistem yang baik. Cara begini dapat menentukan bahawa siapa sahaja yang dilantik memegang apa-apa jawatan benar-benar layak memegang jawatan tersebut. Kita pun tidak mahu doktor yang tidak layak dijadikan doktor. Nanti dia bagi kita ubat yang salah. Penyakit yang ringan boleh jadi berat. Kita juga tidak mahu jurutera yang tidak layak dijadikan jurutera. Nanti dia bina jambatan, salah buat kira-kira. Bila kita lalu, jambatan terhayun ke kiri, terhayun ke kanan. Ini semua menggerunkan kita.

Memang dalam hidup ini, hendak jadi apa pun, mestilah layak. Kalau tidak, semua akan jadi rosak. Diri jadi rosak, orang lain jadi rosak, masyarakat pun jadi rosak.Begitu juga kalau hendak jadi kaya. Mestilah layak. Tapi layak yang tidak bersijil. Orang yang nak jadi kaya mestilah pemurah. Mesti bersifat belas kasihan kepada orang miskin dan orang susah. Mesti bersifat zuhud. Merasa bertanggungjawab kepada masyarakat dan agama. Dengan ini barulah kayanya itu tidak akan merosakkan bahkan adalah baik untuk dirinya, baik untuk orang lain dan baik untuk masyarakat.Dia akan bantu orang-orang susah, orang-orang melarat, fakir dan miskin. Dia akan bela agama dengan wang ringgitnya.Akan ditinggikan kalimah Allah dengan harta bendanya.Kekayaannya tidak lekat di hati. Diambilnya sekadar perlu dan dikorbankan yang lebihnya untuk mencari keredhaan Allah.Dia menjadi pembela pada masyarakat.

Orang yang bakhil sebaliknya tidak layak jadi kaya. Kalau si bakhil jadi kaya, maka kerugian besarlah dunia. Dia akan mengumpulkan hartanya untuk menjaga statusnya. Untuk bermegah-megah. Untuk berlumba-lumba kekayaan dengan orang lain. Hartanya akan menjadi beku dan tidak disamaratakan.Dia jadi kaya tapi masyarakat jadi miskin. Kekayaan tertumpu pada yang sedikit. Timbullah kasta-kasta kaya dan miskin dalam masyarakat yang saling tindas-menindas, bencimembenci dan curiga-mencurigai di antara satu sama lain.

Kekayaan si bakhil tidak sesiapa pun dapat menikmatinya.Masyarakat tidak akan merasanya. Bahkan si bakhil itu sendiri tidak akan merasanya. Orang yang bakhil hakiki hakikatnya miskin. Dia tidak akan rela mengurangkan hartanya walaupun untuk dirinya sendiri. Biar dia makan kacang putih dan minum air sejuk asalkan kekayaannya tidak luak.

Begitu juga dengan orang yang boros. Orang boros juga tidak layak jadi kaya. Dia hanya akan memakmurkan pusatpusat perjudian, disco dan kelab-kelab malam. Dia hanya akan melariskan perniagaan arak dan menghidupkan kegiatan-kegiatan maksiat. Setidak-tidaknya dia akan menghabiskan wang ringgitnya untuk berfoya-foya, berseronok-seronok dan membazir. Masyarakat, orang miskin dan orang susah tidak akan dapat menimba apa jua faedah daripada kekayaan orang yang boros.

Kalaulah betul ada ura-ura atau cita-cita untuk membasmi kemiskinan dan membuat semua orang jadi kaya, elok sangatlah orang-orang yang bakhil dan yang boros dikecualikan danjangan dikayakan. Mereka ini tidak layak dan lebih baik dibiarkan miskin sahaja. Kalau mereka kaya, akan jadi rosak.Kalau mereka miskin, diri mereka dan masyarakat akan lebih selamat.

Hendak jadi ulama pun mestilah layak. Tambahan pula kalau hendak berfungsi mendidik masyarakat. Bukanlah setakat kelayakan mempunyai ilmu agama sahaja dan terbukti pula dengan sijil-sijilnya. Bahkan ada kelayakan yang lebih penting daripada itu tetapi tidak bersijil. Ulama yang berhasrat untuk mendidik masyarakat mestilah ulama yang beramal. Mestilah ulama yang bukan ahli dunia. Mestilah ulama yang tidak berpihak ke mana-mana kecuali Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias. Barulah nasihat dan tunjuk ajarnya tegas, setentang dan selari dengan syariat. Barulah dia boleh menjadi contoh. Ulama seperti inilah yang menjadi pelita kepada masyarakat. Orang dengar apa dia cakap.

Ulama ahli dunia tidak layak mendidik masyarakat. Bahkan dirinya sendiri telah rosak dan perlu dididik. Perkara dunia akan diduniakan (tidak dijadikan ibadah). Perkara Akhirat pun akan diduniakannya juga. Segala-galanya akan diduniakannya. Hukum-hakam akan ditegang dan dikendurkan mengikut kepentingan dunianya. Dia akan terikat dengan berbagai-bagai ikatan dan simpulan tali-tali dunia hinggakan lidahnya akan jadi kelu di kala mana dia sepatutnya bersuara, dan dia akan bersuara di kala mana dia sepatutnya diam.

Bila masa dia bersuara pula, suaranya bunyi sumbang. Bila ada orang buat yang baik dan yang makruf, ada sahaja komennya dan ada sahaja yang tak kena padanya. Yang maksiat dan mungkar yang berlaku di tepi hidungnya tidak pula ditegurnya.Katanya, di luar bidang kuasanya. Jadi kerjanya, komen yang baik dan diamkan yang jahat. Bukan lagi menyuruh kepada yang baik dan mencegah kepada yang jahat. Dengan ulama dunia macam ini, masyarakat boleh jadi lintang-pukang.Hendak jadi pemimpin kepada rakyat pula, tidak kira di peringkat mana lagi-lagilah mesti layak. Tidak memadai dengan kepintaran, populariti dan sokongan majoriti semata-mata.

Pemimpin kepada rakyat mestilah adil. Mesti menaruh hak pada yang hak dan mesti mampu berhukum dengan hukum yang hak. Dengan ini barulah dirinya akan terlepas daripada menganiaya dan menzalimi rakyat.
Pemimpin rakyat hakikatnya ialah hamba kepada rakyat.Rakyat mesti didahulukan. Segala keperluan rakyat mesti diselesaikan. Pemimpin yang mampu berbuat beginilah yang dikatakan payung kepada rakyat.

Pemimpin yang zalim akan mengetepikan dan akan menindas rakyat. Dia bermusuh dengan rakyat. Dia akan sibuk menguatkan kedudukan, pengaruh dan kuasanya. Untuk itu segala bentuk penyelewengan akan dilakukannya. Dia akan tenggelam di dalam kemewahan dari harta rakyat. Dia akan beraja di mata dan bersultan di hati. Pemimpin seperti ini hanya akan mencetuskan kacau-bilau, huru-hara dan kemusnahan!

Undang-undang dan peraturan yang digubal bukan lagi untuk melindung rakyat, untuk menentukan hak asasi dan kepentingan rakyat dan untuk memudahkan urusan rakyat tetapi untuk mengekalkan kuasa dan untuk menguatkan kedudukannya.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer