Laksanakan Islam Secara Syumul


11/07/2006

Kosmo ; Isnin 10 Julai 2006 ms 1
Dilema logo halal ; Dua jabatan tidak ada kuasa bertindak

Kuala Lumpur ; Hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) mempunyai kuasa mengeluarkan pengesahan logo halal, namun kuasa itu nampaknya tidak ada makna pada pihak yang ingkar........

Demikianlah dilemma yang menghantui pihak-pihak tertentu yang bertanggungjawab ke atas status boleh atau tidak pengguna beragama Islam menggunakan produk-produk samada berbentuk yang dimakan mahupun dipakai yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat milik umat Islam mahupun yang bukan Islam. Meskipun telah dinyatakan bahawa hanya JAKIM sahaja yang boleh mengeluarkan sijil halal ke atas satu-satu produk, namun sekiranya ada pihak lain yang mengeluarkan sijil tersebut, maka tiada tindakan yang boleh diambil samada oleh JAKIM mahupun oleh Kementerian Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna. Ini adalah merupakan konflik yang timbul daripada dua sistem yang dilaksanakan di dalam negara ini, satu berkait dengan Perlembagaan manakala yang satu lagi berkait dengan undang-undang Syariah. Maka dengan itu, timbullah banyak kekeliruan berhubung status halal atau tidak pada sesuatu produk itu.

Sekiranya umat Islam prihatin dan sedar akan dilemma yang dihadapi sekarang ini, nescaya mereka sudah mengorak langkah untuk memperbetulkan keadaan supaya apa yang dimakan dan dipakai oleh umat Islam di dunia ini tidak akan menyebabkan mereka jatuh kepada perkara-perkara yang diharamkan oleh Tuhan mahupun jatuh kepada perkara-perkara yang syubhat. Namun sikap yang ditunjukkan oleh umat Islam hampir secara majoritinya termasuklah pada ulama`- ulama` hanya tunggu dan lihat dan mengharapkan orang lain menyelesaikan masalah mereka yang sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama dan bukan hanya pada sesetengah pihak. Ini amatlah memalukan sekali hingga ke saat ini umat Islam masih lagi bergantung pada orang lain dalam urusan-urusan keperluan mereka hatta sehingga sekecil-kecil perkara sekalipun. Ini adalah merupakan kesan dan akibat daripada kurangnya kefahaman lebih-lebih lagi penghayatan tentang solat lima waktu yang diperintahkan oleh Tuhan atas kita. Satu suruhan yang agung daripada Tuhan yang Maha Agung yang sepatutnya umat Islam mengkaji dengan sungguh-sungguh falsafah dan peranannya dan juga kepentingannya terhadap umat Islam di atas mukabumi ini telah dialpakan dan dicuaikan malah dianggap sebagai satu "routine" sahaja di dalam urusan harian. Soal tuntutan, soal natijah atau hasilnya kepada peribadi insan itu sendiri telah pun ditolak ke tepi. Apa yang penting bagi umat Islam masakini ialah "janji aku dah sembahyang".

Sewajarnya kita wajib memuhasabahkan diri kita, kenapa umat Islam di akhir zaman ini dihina dan mudah diperkotak-katikkan oleh musuh semahu mereka ? Kenapa urusan keperluan asas umat Islam dikuasai oleh orang bukan Islam dan bukan daripada tangan mereka sendiri? Kenapa umat Islam susah untuk membuat perubahan demi kepentingan umat Islam sendiri bahkan sehingga boleh menjadi payung kepada bangsa-bangsa yang lain ?

Persoalan-persoalan ini semuanya telah dijawab di dalam solat sekiranya kita benar-benar dapat menghayati tuntutan-tuntutannya. Kita benar-benar faham kehendak-kehendak Tuhan di dalam perhubungan Agung antara Khaliq dan makhluknya. Kita diberi ilmu bagaimana hendak bertindak di atas kehidupan diri sendiri dan juga kehidupan orang lain di sekitar kita.

Sekiranya seorang yang mendirikan solat itu sudah benar-benar faham serta menghayatinya, betapalah kalau majoritinya juga benar-benar memahami serta menghayati solat. Akan berlakunya satu perubahan besar pada sikap, tindak-tanduk dan cara berfikir umat Islam selepas itu.Mereka akan lebih bertanggungjawab dan lebih berdisiplin di dalam kehidupan demi mencapai satu cita-cita yang dijanakan daripada penghayatan solat. Cita-cita tersebut adalah cita-cita agung. Cita-cita para-para Rasul, Nabi-nabi, Siddiqin, Muqarrabin, Muttaqin, Syuhada` dan Solihin. Cita-cita untuk mengagungkan Tuhan pencipta alam ini di mana sahaja mereka berada. Tuhan dibesarkan dan disembah dalam
apa jua hal dan perkara. Samada sekecil-kecil perkara, maupun sebesar-besarnya. Semuanya terangkum di dalam solat. Kesemuanya bertitik-tolak daripada solat. Umpama rumah yang dibina, aqidah itu sebagai dasarnya, manakala solat itu merupakan tiang serinya. Tanpa tiang nescaya dinding , tingkap, pintu dan bumbung tidak akan dapat didirikan. Persoalannya solat yang bagaimanakah mampu mencetuskan semua ini?

Persoalan solat ini telahpun dianjurkan kursusnya oleh Pusat Motivasi Harmoni ( rangkaian syarikat di bawah Rufaqa` Corporation Sdn Bhd milik YBM Ustaz Haji Ashaari Muhammad ). Segala minda-minda daripada YBM Ustaz Ashaari telah dicurahkan kepada peserta-peserta yang telah menghadiri kursus tersebut. Malah yang lebih unik lagi ialah ada yang datang berulang-ulang kali ke kursus tersebut dan setiap kali ulangan yang dilakukan, terdapat "kelainan" pada kefahaman mereka meskipun ilmu yang disampaikan adalah bersumberkan daripada tajuk yang sama. Sementelahan pula, segala ilmu yang disampaikan kepada peserta kursus, perlaksanaan secara praktikal telah dibuat terlebih dahulu oleh Ustaz Ashaari dan ditampilkan melalui beberapa pembangunan material yang merupakan bandar-bandar Islam yang dibina di beberapa lokasi di seluruh negara seperti di Bandar Country Home Rawang, Pelangi Square Kota Damansara, Bandar Tanjung Gemuk Rompin , dan Terbilang di Kedah. Semuanya adalah merupakan amalan praktikal yang ditunjukkan oleh beliau hasil daripada memenuhi tuntutan solat.

Solat yang difahami dan dihayati bukan sekadar tahu hukum hakam, syarat sah batal serta rukun-rukunnya. Bukan sekadar menyempurnakan lafaz-lafaz, perbuatan-perbuatan (fi`li) dan sebagainya. Sudah al-maklum solat merupakan rangkuman daripada 3 rukun iaitu fi`li , qauli dan qalbi. Tidak seperti ibadah-ibadah khusus yang lain seperti puasa dan sebagainya, tidak terangkum di dalamnya ketiga-tiga rukun tadi. Ada yang hanya dua rukun sahaja dan sebagainya. Jadi tentulah persoalan solat ini, persoalan yang besar.

Kita boleh lihat dari sudut hukuman ke atas mereka yang meninggalkan solat dengan mereka yang meninggalkan puasa, ataupun haji. Persoalan solat hingga boleh jatuh kafir sedangkan yang lain-lain hanya jatuh dosa besar. Maka barang sudah tentu kepentingannya lebih besar daripada ibadah yang selainnya. Kita sendiri boleh lihat dalam pengalaman kehidupan kita, ramai yang boleh berpuasa, berzakat dan naik haji, tapi ramai yang susah hendak menunaikan solat, meskipun masa, kos dan usaha ke arahnya tidak sebesar ibadah-ibadah yang lain tadi. Sebagai contoh, hendak naik haji sekarang kosnya hingga mencecah RM10,000-00 dan masa sehingga lebih kurang 1 bulan. Puasa mengambil masa sepanjang siang. Zakat terpaksa dikeluarkan mengikut hisab yang telah ditentukan. Sedangkan solat hanya mengambil masa tidak sampai 20 minit, pakaian yang sekadar elok dan menutup aurat, dan ruang yang sangat kecil serta bersih. Tetapi solat itulah yang paling berat hendak dilaksanakan dengan sungguh-sungguh dan baik. Kalau dilaksanakan sekalipun sekadar buat cukup syarat. Tak lebih dari itu.

Sekiranya umat Islam sedar kepentingan solat itu lantas berusaha untuk
membaikinya, nescaya segala-galanya akan diuntukkan ke arah itu. Sebagai contoh untuk diambil ilmu daripada solat. Untuk mencapai kekhusyukan di dalam solat, antara kaedah dan caranya ialah hendaklah memakan makanan daripada sumber yang halal dan tidak syubhat. Lantas atas sebab itu akan timbullah satu kesedaran di dalam diri umat Islam untuk mengusahakan makanan yang dikeluarkan daripada tangan-tangan mereka sendiri yang diyakini lebih bersih menurut syariat berbanding dikeluarkan oleh orang lain yang tidak diketahui bersih atau tidaknya menurut syariat meskipun ditempekkan logo halal sebesar bulan sekalipun. Paling-paling tidak keberkatannya sudah hilang kerana hasilnya daripada tangan orang lain.

Ini baru satu aspek dalam tuntutan solat. Belum yang lain-lain lagi yang lebih besar dan lebih kritikal. Umat Islam mesti bergerak dan berubah sekarang. Kursus yang dianjurkan bukan kursus berbentuk kifiyat dan sebagainya. Ianya kursus berbentuk memotivasikan individu agar kembali mengagungkan solat serta memahami dan menghayatinya. Inilah kehilangan besar pada umat Islam sekarang yang perlu dikembalikan semula. Apabila sudah dikembalikan barang yang hilang nescaya kita akan lihat satu perubahan dan satu era yang baru berlaku pada umat Islam akhir zaman ini, lantas boleh mengujudkan sebuah empayar Islamiyah setanding dengan Amerika. Bergeraklah sekarang ini , InsyaAllah usaha kita ini akan dilihat oleh Allah sebagai usaha-usaha taqwa lantas melayakkan kita untuk mendapat bantuan daripadaNya.

Wallahua`lam.


Sekian.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer