Kisah Di Zaman Nabi Musa A.s


24/03/2006

Air merupakan bahan yang lebih penting bagi keperluan badan berbanding makanan. Malah air diperlukan dalam proses kebanyakan jenis makanan. Lebih dari itu kewajipan mendapatkan air sama wajibnya dengan hukum bersuci ( thaharah ). Dan berdosa sekiranya dengan ketiadaan air menyebabkan tidak sempurnanya kewajipan bersuci. Biarpun ada keringanan dengan tayamum dan batu untuk beristinjak, namun air lebih utama.

Kemarau serta kesulitan mendapatkan air bukanlah fenomena baru.Ianya telah berlaku sepanjang sejarah dunia semenjak zaman Nabi dan Rasul terdahulu. Nabi Yusuf a.s, Nabi Musa a.s dan termasuk juga di zaman Rasulullah SAW telah mengalami kemarau yang melanda di bahagian tertentu yang mengakibatkan tanaman pupus dan ternakan mati.

Para Rasul dan Nabi apabila menghadapi kesukaran terutamanya dalam aspek yang manusia tidak dapat campur tangan maka dikembalikan kepada Allah SWT. Kemarau salah satu daripadanya.

Kaum Nabi Musa a.s mengadu agar baginda memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan apabila mereka menghadapi kemarau yang panjang. Dan Nabi Musa a.s pun sangat memahaminya dalam situasi demikian tiada cara lain kecuali mengadu kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Nabi Musa a.s menghimpunkan seramai-ramai kaumnya di satu kawasan lapang. Beliau berseru supaya tidak menderhakai Tuhan dan sama-sama bertaubat serta memohon di atas segala dosa. Selepas itu beliau berseru lagi," Aku akan naik ke tanah tinggi itu untuk berdoa dan aku mahu siapa di antara kamu yang tidak berbuat dosa menyertai aku."
Suasana menjadi sepi dan tidak seorang pun bergerak menyertai beliau. Kemudian melangkah ke hadapan seorang untuk menyertai Nabi Musa a.s lantas mereka berdua naik ke satu tanah tinggi.

Belum pun selesai Nabi Musa berdoa yang diaminkan oleh seorang yang menyertainya hujan turun dengan lebatnya. Ketika mereka berdua turun pakaian mereka turut diselaputi lumpur.

Nabi Musa a.s bertanya kepada orang tersebut ," Apakah benar kamu tidak berdosa?"

Orang tersebut menjawab ,"Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Tetapi suatu hari aku terlihat seseorang melintas di satu tingkap terbuka. Aku tidak pasti sama ada orang itu lelaki atau wanita. Namun aku takut kepada Allah SWT dan aku bimbang kalau yang aku lihat itu adalah perempuan. Lantas aku bertaubat dan memohon keampunan Tuhan selama empat puluh hari."

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer