Kepentingan Diri


10/09/2006

Wakil rakyat jangan penting diri

PULAU PINANG 9 Sept. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar tidak menggunakan kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Sebaliknya, Perdana Menteri mahu wakil rakyat sentiasa mengingati tugas sebenar mereka adalah untuk berbakti kepada rakyat.

Tugas seorang wakil rakyat sememangnya amatlah berat, ada ketika dipuji, ada ketika kita dimarahi dan dicaci. Itulah cabarannya, yang penting, dalam segala apa jua yang kita lakukan, kita perlu sentiasa berpegang kepada keikhlasan dalam hati kita.

Justeru saya mahu semua wakil rakyat sentiasa ingat dan jalankan amanah ini dengan penuh rasa keinsafan serta berpegang kepada janji kita kepada rakyat iaitu berbakti dengan penuh komitmen, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Jamuan Makan Malam anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang sempena Perhimpunan Tahunan Isteri Wakil Rakyat Semalaysia di sini malam ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir ialah Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Pemangku Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Perdana Menteri, masalah dan beban wakil rakyat itu dapat dikurangkan dan ditangani dengan sokongan dan bantuan isteri masing-masing.

Oleh kerana suami saudari semua adalah wakil rakyat, maka tanggungan pastinya lebih berat ke atas saudari kerana mereka mempunyai amat sedikit masa untuk diluangkan bersama keluarga.

Tambahan pula, saudari juga perlu mencari masa untuk membantu suami dalam kerja-kerja kebajikan dan sosial di kawasan masing-masing, ada yang perlu terlibat dalam hal-hal politik, termasuk memberi bantuan di pusat khidmat mereka.

Ada juga di antara saudari semua yang mungkin terpaksa melayan dan mendengar luahan para pengunjung khususnya para pengundi atau juga ahli parti yang berkunjung ke rumah pada bila-bila masa, katanya.

Abdullah berkata, ketabahan dan sokongan isteri merupakan dorongan amat diharapkan wakil rakyat ketika berdepan dengan tugas yang begitu mencabar.

Oleh itu, katanya, wakil rakyat patut menghargai pengorbanan isteri mereka yang perlu juga aktif dalam kegiatan-kegiatan pertubuhan isteri wakil rakyat di negeri masing-masing.

Dalam ucapannya, Abdullah turut mengimbas kembali perhimpunan tahunan itu yang merupakan cetusan idea Allahyarham isterinya, Datin Seri Endon Mahmood.

Katanya, Allahyarham mempunyai visi dan hasrat begitu murni untuk menyatu padu dan merapatkan lagi hubungan dalam kalangan isteri wakil rakyat di seluruh negara melangkaui batas agama, bangsa dan negeri.

Allahyarham telah menambah baik program asal perhimpunan ini dengan mengambil kira penyertaan semua isteri wakil rakyat dan bukan hanya menumpukan perhatian terhadap sukan kompetitif sahaja.

Saya percaya apa yang saudari semua usahakan hari ini pastinya menjadi kebanggaan Allahyarham Datin Seri Endon.

Walaupun beliau tidak lagi bersama kita tetapi saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana segala sumbangan dan kenangan manis beliau dapat kita lihat melalui program saudari sekalian pada hari ini dan pada masa depan, katanya.

ULASAN:

Kepentingan dirilah membawa orang benci.Kepentingan dirilah menjadikan orang habis lari. Penyakit mementingkan dirilah menjadikan berkawan tidak dari hati, berkawan ada tujuan peribadi. Apabila tujuan tidak sampai lari membawa diri. Berkawan orang yang ada kepentingan diri selalunya tidak kekal kerana memikirkan untuk diri sahaja, berKawan tidak dipeduli, perikemanusiaan sudah mati.

Kepentingan dirilah bangsa tidak boleh bersatu, kepentingan dirilah musuh boleh membeli seseorang untuk merosakkan bangsa, negara dan agama. Faham kepentingan dirilah selalu bersengit-sengit hati. Faham kepentingan dirilah selalu sahaja curiga-mencurigai. Orang mementingkan diri susah dapat kawan yang selari dan sejiwa.

Bangsa yang mementingkan diri, bangsa yang hakiki jiwa sudah mati. Yang berjalan itu adalah bangkai bernyawa. Bangsa yang tidak akan dapat kekuatan dari ramai bilangannya. Bangsa yang mudah dicatur dan dibeli orang kerana orang begini asalkan dapat, agama, bangsa dan negara rosak pun tidak apa. "Apa fikir agama, bangsa dan negara yang penting aku dan keluarga, yang penting aku dan keluarga senang hidup, agama, bangsa dan negara apa kira"

Orang yang mementingkan diri dia boleh bekerjasama dengan musuhnya sekalipun agama, bangsa dan negara rugi apa peduli. Orang yang mementingkan diri berkawan tidak akan setia. Mereka adalah racun kepada agama, bangsa dan negara.Orang yang mementingkan diri sudah hilang wibawa, orang ramai tidak percaya, kerana tidak boleh dipercaya, orang ramai sentiasa curiga.

Ramai para pemimpin atau cerdik pandai Islam bukan hendak membangunkan agama atau bangsa tetapi hendak menggunakan agama dan bangsa untuk kepentingan diri sendiri dan keluarga. Tetapi rakyat sudah jahil tidak faham politik dan tidak faham agama tidak sedar hakikat ini semuanya. Bila pemimpin dan cerdik pandai mengguna nama agama dan bangsa lantas percaya dan menerima mereka wira agama dan bangsa bahkan rakyat kagum dengan mereka dan menyanjung mereka sebagai pejuang agama dan bangsa.

Rakyat menyangka bahawa mereka benar-benar memperjuangkan agama dan bangsa. Mereka tidak kenal pemimpin dan cerdik pandai yang mana memperjuangkan agama dan bangsa dan yang mana mengguna agama dan bangsa untuk kepentingan diri.Maka rakyat pun tertipu oleh pemimpin dan cerdik pandai kerana kebodohan mereka sekalipun mereka ada kelulusan tinggi. Mereka yang menipu rakyat itu sibuk kempen dan bercakap merata negeri dan negara seolah-olah mereka benar-benar wira agama dan bangsa.Agama di mulut, bangsa selalu disebut mereka. Mereka yang sebenarnya bukan sibuk tapi buat-buat sibuk.

Bagaimana kita hendak percaya mereka pejuang agama dan bangsa?!Ibadah mereka tidak istiqamah, agama hanya dengar-dengar sahaja bukan dipelajari dengan sebenar, syariat sering dilanggarnya. Cakap kerana bangsa, jirannya sendiri pun dia tidak ambil peduli, dibiar menderita. Itu jirannya, bagaimana pula mereka hendak membela bangsanya yang lebih ramai lagi tetapi rakyat sudah buta hati tidak buta mata, mereka tidak sedar ini semuanya.

Pemimpin dan cerdik pandai yang mengguna agama dan bangsa untuk kepentingan diri itu jangka panjang akan terbuka juga tembelang. Apabila cita-cita mereka tidak terkabul peluang menjadi pemimpin sudah terlepas maklumlah banyak saingannya mereka rehat berjuang.Padahal umur mereka masih muda atau badan masih sihat, mereka rehat di dalam sihat.Di sini nampak tembelang mereka, bukan mereka berjuang tapi cari peluang.Apabila peluang tidak ada nampaklah tembelang mereka bahawa mereka sebenarnya adalah petualang.

Itulah di antara sebab-sebabnya mengapa negara-negara umat Islam walaupun sudah lama merdeka belum boleh mencabar barat bahkan di sudut kemajuan pun masih ketinggalan. Perpaduan di kalangan umat Islam masih belum menjadi kenyataan.Boleh sahaja tidak berpadu dan bersatu di antara negara-negara umat Islam perpaduan di dalam negara pun masih terabai. Rupanya baru kita sedar selepas negara umat Islam merdeka kita sangka mereka berjuang tapi cari peluang. Ada di antara mereka sudah dianggap wira, sebenarnya bukan wira tapi penipu bangsa. Kita menyangka mereka pejuang agama tapi berkecimpung di bidang agama untuk sara hidupnya.

Kalau beginilah sikap pemimpin dan cerdik pandai Islam masih belum berubah 100 tahun lagi pun agama dan bangsa tidak akan berdaulat. Mereka itu pandai menutup kelemahannya dia tuduh rakyat tidak berubah sikapnya.Rakyat ibarat anak, pemimpin dan cerdik pandai ibarat ibu dan bapa, bagaimana anak-anak hendak berubah jika ibu dan bapanya tidak berubah?

Kerana itulah sudah menjadi sunnatullah rakyat perlu pemimpin untuk merubah sikap. Rakyat tidak mungkin berubah sendiri tanpa pimpinan para pemimpin dan cerdik pandai bangsa. Sikap rakyat ditentukan oleh sikap pemimpin dan cerdik pandai di dalam negara. Bagaimana rakyat hendak merubah sikap kalau pemimpin dan cerdik pandai tidak merubah sikapnya?

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer