Kenyataan Akhbar Dari Wakil Rufaqa


04/12/2006

Saya, salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Rufaqa Corporation Sdn Bhd mewakili Pengerusi Eksekutif syarikat, Haji Ashaari Muhammad mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum yang dalam ucapan beliau mengatakan bahawa kegiatan Rufaqa tidak menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam. ( Rujuk Buletin Utama TV3 pada 29 Nov 2006 & Berita Harian 30 Nov 2006)

Kegiatan utama syarikat ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan bangsa Melayu Bumiputera dalam membangunkan ekonomi. Rufaqa telah menceburi berbagai bidang perniagaan seperti kedai runcit, kafetaria, butik, agen pelancongan, kebudayaan, bengkel kereta, klinik dan bakeri. Bahkan ianya telah berjaya dikembangkan ke luar negara seperti Singapura, Thailand, Australia, Indonesia dan Jordan. Sehingga hari ini, ada 700 rangkaian perniagaan Rufaqa di seluruh dunia.

Demi keyakinan bahawa Tuhan dan ajaran-Nya adalah sumber kekuatan bagi perniagaan, maka sewajarnya kami menjadikan Tuhan dan agama-Nya sebagai rujukan dalam menjalankan perniagaan ini yang mampu berjalan tanpa pinjaman bank. Pemikiran sebegini tentunya asing bagi sesetengah pihak. Maka tidak hairanlah ia telah mencetuskan berbagai salah faham dan salah tafsir. Kami mengalu-alukan sesiapa yang terkeliru untuk bersemuka dan mengadakan dialog dengan pihak kami agar kekeliruan boleh diatasi. Janganlah bersikap baling batu sembunyai tangan dalam menghadapi masalah sesama Islam ini. Bahkan perbezaan pendapat dalam hal-hal agama ini sebenarnya satu kebaikan kalau kita pandai mengambilnya.

Sebenarnya hampir semua kenyataan dan tuduhan yang dibuat di akhbar tidak pernah kami dengar dari Haji Ashaari. Maksud sebenarnya bukan begitu. Kalaulah apa yang ditulis di akhbar itu benar, bukan sahaja orang lain, malah kami staff Rufaqa pun akan lari dari Haji Ashaari.

Kami mengaku terdapat kelemahan-kelamahan yang berlaku dalam syarikat, namun kami sangat berusaha untuk menyempurnakannya. 10 tahun diproses oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di dalam ISA cukup untuk kami belajar tentang undang-undang dan Pihak Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga cukup faham tentang watak kami. Fatwa terhadap Al Arqam pun membuatkan kami sangat arif dengan kehandak-kehendak JAKIM, malah JAKIM pun cukup kenal dengan kami. Kami bersedia memberi kerjasama kepada kerajaan ini bilamana ada hal-hal yang diminta dari kami. Tidaklah kami bermaksud untuk untuk menimbulkan kacau-bilau dan pergaduhan dengan kerajaan mahu pun masyarakat.

Tuduhan bekas-bekas ahli Al Arqam yang mengatakan bahawa ada agenda di sebalik Rufaqa adalah satu fitnah. Pihak yang paling faham tentang Rufaqa adalah pihak keselamatan sendiri. Jelas, Rufaqa semata-mata berniaga dan motivasi yang dibuat adalah untuk menanam semangat dan menguatkan jiwa bagi menggiatkan perniagaan. 10 tahun Haji Ashaari diISAkan telah membuktikan bahawa beliau tidak ada agenda yang boleh mengancam keselamatan negara. Sebab itulah beliau dibebaskan. Kalaulah ada agenda lain selain daripada perniagaan, tentulah Haji Ashaari tidak akan dibebaskan hingga sekarang.

Kalaulah kita faham tentang Hadis akhir zaman, ada isyarat dari Tuhan bahawa daulah Islamiah akan berlaku di sebelah Timur. Sesetengah orang menganggap Timur itu adalah Indonesia tetapi haji Ashaari menganggap Timur itu adalah Malaysia. Ini adalah khabar gembira dari Tuhan. Daulah Islamiah adalah perkara yang baik untuk semua bangsa terutama umat Islam. Kalaulah umat Islam faham, masing-masing akan menunggu janji Tuhan itu dan akan mengisinya mengikut keyakinan masing-masing. Orang politik dengan cara berpolitik. Orang ekonomi cara berekonomi, pendidik cara pendidikan dan orang dakwah melalui cara dakwah. Masing-masing isi-mengisi di atas keyakinan masing-masing dan ini bukanlah satu kesalahan. Rufaqa pula mengisinya melalui ekonomi dan dakwah kerana daulah Islamiah itu bukan sahaja negaranya yang Islam tetapi masyarakatnya juga Islam. Oleh itu masing-masing isi-mengisilah mengikut bidang masing-masing dalam menunggu janji Tuhan ini.

Perlulah dinyatakan di sini bahawa dalam mengharungi hidup dan perjuangan di dunia ini, Tuhan mendatangkan ujian-ujian yang berbentuk kejian dan pujian. Seramai mana orang yang memuji, seramai itu pula yang mengeji dan membenci. Kedua-dua hal ini bukanlah mudah untuk ditangani. Kami berserah kepada Tuhan meminta penyelesaian seadil-adilnya.

Terhadap beberapa individu yang mencetuskan ketegangan terhadap Rufaqa dengan cara yang tidak bertanggungjawab, kami menyerahkan hal tersebut kepada peguam kami untuk memikirkan tindakan undang-undang yang sepatutnya. Dengan cara itu, mudah-mudahan masalah dapat diatasi dan salah faham dapat diperbetulkan.


Sekian, terima kasih.

Setiausaha Syarikat
Rufaqa Corporation Sdn Bhd.
1 Disember 2006

--------------------------------------------------------------

PENJELASAN TENTANG VCD CERAMAH MEJAR (B) ABU DZARIN

Adasebuah VCD ceramah saya yang teah diedarkan ke tengah masyarakat. Ini telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menuduh Rufaqa dan Haji Ashaari Muhammad dengan berbagai-bagai tuduhan.

Saya ingin menjelaskan bahawa ceramah dalam VCD tersebut adalah ceramah saya berasaskan ilmu yang saya belajar tetapi bukan dari Hj. Ashaari Muhammad. Beliau tidak ada mengajar saya tentang perkara-perkara yang saua sebut dalam VCD itu.

Semasa Al Arqam diharamkan, ada pihak-pihak termasuk JAKIM (ketika itu Pusat Islam) di dalam kursus pemurnian akidah telah menyarankan supaya ahli-ahli Arqam belajar dari banyak guru dan tidak dari Hj. Ashaari Muhammad seorang sahaja. Kata mereka, cara itu barulah ilmu jadi seimbang dan orang Arqam tidak jadi taksub membuta tuli dengan Hj. Ashaari. Saya jenis yang lebih liberal dari ahli-ahli Arqam yang lain. Oleh itu saya usahakan mendapat ilmu dari sumber lain dan ini berterusan sampai saya mendapat kerja dengan syarikat Rufaqa. Saya mendalami ajaran tarekat Sazaliah (atau Sadhiliah). Tarekat ini mempunyai banyak pengikut di Mesir, Arab Saudi dan negara-negara Arab lain. Saya banyak belajar tentang mursyid dan ilmu kemursyidan yakni tentang sifat-sifat dan ciri-ciri mursyid termasuk adab-adab bermursyid dari fahaman tarekat Sazaliah. Mungkin dia faham kehendak dan maksud saya.

Ada kalanya orang meminta saya berceramah tentang ilmu kemursyidan ini. Selalunya ia ceramah tertutup. Mereka minat dengan pandangan tarekat Sazaliah tentang mursyid. Namun, pada awal-awal tahun-tahun 2000, saya hilang minat. Sebabnya fahaman saya telah banyak berbeza dari fahaman kawan-kawan dalam Rufaqa. Saya juga dapati bahawa tarekat Sazaliah ini, walaupun menyebar banyak ilmu tetapi ia tidak banyak terlibat dengan hal-hal fardhu kifayah dan khidmat masyarakat. Saya tidak mahu hanya mabuk dengan ilmu. JAKIM juga ketika itu banyak menyarankan supaya Rufaqa menumpukan perhatian kepada perniagaan dan jangan terlibat dengan tarekat seperti yang berlaku di zaman Arqam.

Tetapi ada pihak yang membuat VCD ceramah saya. Kemudian VCD ini sampai kepada tangan Hj. Abdul Halim Abbas (Bekas pemimpin kanan ke 2 dalam Arqam dulu) dan orang kanannya Shahir Shafie. Mereka ini adalah bekas ahli Arqam yang berhasad dengki dengan saya dan mungkin juga dengan Rufaqa. Mereka cetak dan jual VCD tersebut tanpa izin saya kepada banyak masjid dan surau di Selangor dan juga kepada masyarakat, termasuk TV3, NTV7 dan majalah Mastika. Niat mereka jelas untuk merosakkan nama Rufaqa dan menikam saya dari belakang. Ataupun untuk mengaut untung dengan mudah. Mereka ini dalang yang suka menimbulkan kemusykilan dan buruk sangka di kalangan mayarakat tanpa memikirkan kesan buruknya. Saya yakin mereka telah melakukan sesuatu yang melanggar perundangan negara.

Isu yang diperkatakan di dalam VCD itu sebenarnya adalah isu lama yang telah selesai. Saya tidak lagi berpegang dengannya dan sudah tidak memperkatakan tentangnya lagi. JAKIM dan pihak keselamatan pun sudah lama tahu tentang perkara yang sama.

Oleh: Mejar (B) Abu Dzarin Taharem

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer