Kenalkan Tuhan Dahulu Baru Syariatnya(1)

Kuliah Umum


01/04/2006

Mengapa ibadah tidak dapat membangunkan peribadi-peribadi umat Islam hari ini menjadi seperti peribadi-peribadi agung para Sahabat serta salafussoleh zaman dahulu? Umat Islam bersembahyang, tapi masih suka bergaduh. Mereka berpuasa, naik haji, membayar zakat, tetapi masih memfitnah, mengadu domba, hasad dengki, dendam, bakhil, tamak dan lain-lain. Mengapa terjadi demikian, sedangkan sepatutnya dengan beribadah, umat Islam akan menjadi semakin baik dari hari ke hari dan semakin maju dan bersatu padu?

Sebenarnya sejak beberapa ratus tahun yang sudah, terutama setelah penjajah memerintah negara-negara umat Islam, para-para pendakwah dan juga para ulama sudah tersilap cara dalam mengenalkan Islam. Mereka mengenalkan syariat dulu, tetapi tidak memperkenalkan Tuhan. Sedangkan syariat itu cara berhubung dengan Tuhan. Ertinya, cara berhubung dengan Tuhan ditunjuk, tapi Tuhan itu sendiri tidak dikenalkan. Kalau Tuhan itu disebut pun sedikit sangat. Sebab itu sembahyang, puasa, haji, wirid, zikir dan lain-lain tidak berkesan, kerana orang beribadah tapi sudah kehilangan Tuhan.


Cuba kita baca sejarah perjuangan Rasullullah SAW. Baginda Berjuang selama 23 tahun. Apa yang Rasulullah sampaikan hanya dua aspek.
Pertama , tentang aqidah iaitu tentang Tuhan.
Kedua , tentang syariat.

Tuhan hanya satu, sedangkan syariat beribu jenis; ada yang sunat, ada haram, ada makruh, ada fadhoilul a`mal.

Kalau kita tidak rujuk dengan sejarah, tentu kita rasa Rasulullah memperkenalkan syariat lebih lama daripada memperkenalkan Tuhan. Sebaliknya kalau kita kenang kembali sejarah perjuangan Rasulullah SAW dalam memperkenalkan Tuhan, sehingga bukan saja orang beriman dengan Tuhan, tapi datang rasa cinta, kasih dan takut kepada Tuhan, adalah selama 13 tahun. Padahal syariat yang begitu banyak, Rasulullah ambil masa hanya 10 tahun. Sebenarnya tidak sampai 10 tahun, iaitu 9 tahun lebih sedikit saja. Dalam tempoh 10 tahun memperkenalkan syariat itu Rasulullah masih terus memperkatakan tentang Tuhan. Ertinya keseluruhan hidup 23 tahun itu, Rasulullah memperjuangkan Tuhan. Secara relatifnya amat pendek masa yang digunakan untuk memperkenalkan syariat.

Di sini kita nampak, apa erti perjuangkan syariat tetapi tidak kenal Tuhan. Tidak ada kesan apa-apa. Sebab itu orang yang beribadah dengan orang yang tidak beribadah, sama saja. Kalau orang yang tidak sembahyang, tidak wirid, tidak baca Quran buat rasuah, itu tidak hairan. Tapi orang yang masih beribadah sama sahaja. Bahkan ampun maaf, di akhir zaman ini sumber fitnah yang paling besar berlaku di masjid. Kalau dulu di pasar adalah sumber fitnah, tapi sekarang di masjid. Padahal masjid tempat sembahyang, tempat orang beribadah, tapi di situlah markas besar fitnah. Inilah hasil beribadah tapi sudah kehilangan Tuhan, cinta dengan Tuhan tidak ada, rasa bertuhan tidak ada, jadi tidak ada kesan apa-apa. Sebab itu bila pergi masjid sangat menakutkan, lebih elok pergi ke pasar. Di pasar, habis-habis pun orang tipu harga dan timbangan tapi orang tidak menyesatkan orang lain dan tidak memfitnah orang lain dengan ayat Quran dan Hadis.

Jadi kalau Tuhan tidak dicintai, macam mana kita hendak cinta dengan orang. Apa jasa orang dengan kita? Tuhan yang berjasa dengan kita pun kita tidak cinta. Padahal ulama, pemimpin, masing-masing melaungkan mari bersatu, berpadu, tapi ini nonsense. Bersatu dan berpadu anak kuncinya ialah cintakan Tuhan. Kalau tidak boleh cinta Tuhan, dengan anak,dengan isteri, dengan suami pun tidak boleh bersatu.

Jadi ulama dan para pendakwah sudah tersilap besar. Lebih-lebih lagi apabila bersyarah di depan ramai, di antaranya ada orang yang tidak sembahyang, yang bersembahyang pun sembahyang tidak betul, ada sembahyangnya tidak khusyuk, tiba-tiba syarahkan hudud. Ini sangat menakutkan. Orang yang sembahyangnya lintang-pukang lagi, tiba-tiba cerita tentang hudud, cerita tentang potong tangan, bukan saja orang kafir, orang Islam pun takut. Jadi, pendekatan atau approach sudah salah. Cuba kita tengok lebih mendalam lagi. Selain iman, ibu ibadah ialah sembahyang. Tapi Tuhan perintahkan sembahyang pada tahun ke-11. Mengapa lambat sangat? Sudah 11 tahun Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, baru diperintahkan sembahyang. Apa yang kita faham di sini? Apa hikmahnya? Ertinya buat apa hendak cepat sembahyang kalau Tuhan pun belum dikenali lagi.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer