Kemelut Masyarakat


17/10/2006

Di waktu ini di negara kita, setiap jemaah atau kumpulan atau parti masing-masing mengaku benar. Setiap kumpulan asyik menuduh kumpulan yang lain adalah salah. Yang lebih parah lagi ada yang menuduh kumpulan yang lain sesat lagi menyesatkan. Ada yang kena tuduh sudah kafir, ada yang kena tuduh khawarij, ada yang kena tuduh membawa ajaran sesat. Yang menghairankan orang yang tidak bersembahyang pun menuduh orang sesat.

Tidak kurang juga kaki rasuah, zina, penipu, dedah aurat menuduh orang sesat. Di waktu pilihan raya, di ketika hendak bertanding suara, banyak yang datang berjumpa bomoh, bomoh itu pula yang membawa ajaran karut dan khurafat. Mereka-mereka ini juga mudah menuduh orang sesat. Padahal mereka telah terjebak dengan ajaran syirik. Ertinya orang yang sudah sesat, menyesatkan orang, sungguh pelik bunyinya.

Adakalanya orang yang baik kena sesatkan kerana kalau orang ramai sudah banyak yang batil sudah tentulah yang benar disesatkan orang. Apabila berlaku masyarakat yang semacam ini siapa pun tidak boleh menyelesaikan masalah, tidak ada orang tengah yang menjadi pendamai. Pemimpin-pemimpin yang ada tidak lagi jadi penyelamat, kita hanya menunggu bantuan Allah yang Maha Berkuasa untuk menunjukkan seorang pemimpin yang ada keramat dan berkat yang akan boleh menyelamatkan keadaan. Ini seolah-olahnya seperti kedatangan rasul di tengah umatnya, ertinya perlu seorang pemimpin yang berwatak rasul di dalam kemelut masyarakat.

Ada golongan konon hendak membanteras ajaran salah atau sesat, bunyinya cantik, didengar sangat indah dan molek. Seolah-olah golongan ini sangat serius beragama dan sungguh sayang dengan agama tapi mereka membanteras ajaran yang mereka pilih-pilih sahaja iaitu yang ada hubungan dengan ibadah, wirid dan zikir yang dilakukan oleh golongan yang lemah. Perjuangan mereka sangat sempit, mungkin mengambil peluang kepada puak yang mereka tidak senang.

Sebenarnya ajaran salah atau ajaran sesat bukan di sudut ibadah, wirid dan zikir sahaja. Ajaran salah atau sesat lebih-lebih lagi amalan salah dan sesat berlaku secara global. Di dalam pergaulan, ekonomi, politik, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya tetapi yang dibisingkannya sangat di dalam ibadah, wirid dan zikir itu pun mengikut ukuran puak mereka sahaja. Belum disemukakan, belum diuji, belum dinilai oleh semua golongan dan semua golongan ulama. Kalau ditembungkan boleh jadi khilafiah, boleh jadi ada nasnya yang tersurat dan tersirat. Mungkin yang menyalahkannya kurangnya ilmu terutama ilmu rohaniah yang terlalu seni dan susah. Lebih-lebih sekali zaman sekarang mana ada orang serius beribadah, berwirid dan berzikir.

Khurafat dan kesesatan di bidang-bidang lain bukan sahaja ajaran tapi amalan tidak pula ditolak bahkan digalakkan. Di dalam kebudayaan, dedah aurat, bergaul bebas, setiap kata yang diucapkan yang menyalahi syariat tidak pula dianggap sesat. Kejahatan orang politik di dalam sikap, cakap, tindakan yang melanggar syariat dan akhlaknya boleh pula. Di dalam ekonomi adanya riba, adanya penindasan, tidak pula disanggah dibiar begitu sahaja. Di dalam pendidikan tidak ada bertunjangkan tauhid, iman dan taqwa, ia boleh membawa ajaran sesat dan amalan sesat.

Tidak hairanlah hasilnya melawan guru, melawan emak bapa, bergaduh dan gangsterism kerana tidak takutkan Tuhan dan melupakan Akhirat. Tidak pula puak itu memberi nasihat kepada puak yang membuat dasar pelajaran kalau hendak berjuang berjuanglah secara global dan jujur. Kesalahan yang dilakukan oleh golongan yang lemah, tiada kuasa berani bertindak seolah-olah mereka wira agama. Kesesatan yang dibuat oleh orang yang berkuasa, ada nama, ada pengaruh dipejamkan mata. Kerosakan yang mereka lakukan dibiarkan sahaja seolah-olah tidak mengapa.

Mereka berjuangkah atau mengambil peluang? Mereka berjuangkah atau berlakon berjuang? Rakyat melihat ini semuanya. Mereka hanya berani dengan golongan lemah dan tiada kuasa. Kepada golongan yang kuat dan berkuasa, dibiarkan berleluasa.

 

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer