Kembali Kepada Tuhan


16/07/2006

Utusan,15 julai;
30% Banduan Tak Serik

KAJANG Sebanyak 30 peratus daripada 128,000 pesalah yang dimasukkan ke penjara-penjara seluruh Malaysia tahun lalu merupakan bekas banduan, kata Timbalan Pengarah Penjara Kajang, Senior Asisten Komisioner, Mat Rasid Jahlil.

Menurutnya, sebahagian besar daripada mereka pula terdiri daripada bekas penagih dadah yang kembali menagih selepas dibebaskan.

Antara faktor kemasukan mereka semula di sini (penjara) ialah kerana fizikal dan mental mereka tidak kuat dan ini terbukti apabila 48 peratus daripada jumlah penghuni penjara merupakan mereka yang terlibat dengan gejala dadah, katanya pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari Bapa Kompleks Penjara Kajang, di sini hari ini.

Beliau berkata, majoriti bekas penagih dadah sukar membuang tabiat keji itu kerana kesan dadah itu sudah sebati dalam jiwa mereka dan amat sukar dipulihkan sepenuhnya berbanding bekas banduan jenayah lain seperti merompak.

Mereka (bekas penagih dadah) akan kembali menagih jika bertemu kembali dengan rakan-rakan mereka yang masih menjadi penagih, katanya.

Dalam pada itu, Mat Rasid berkata, masyarakat tidak seharusnya meminggirkan bekas banduan, sebaliknya harus menyokong mereka untuk terus menikmati hidup seperti manusia lain.

Ia sepatutnya bermula dari ahli keluarga bekas banduan itu sendiri. Jika mereka tidak menyokong dan meminggirkan mereka (bekas banduan), maka musnahlah harapan dan impian mereka untuk meneruskan hidup, tegasnya.

Beliau juga berasa kesal dengan sesetengah keluarga yang tidak mahu lagi dikaitkan dengan ahli keluarga mereka yang menjadi penghuni penjara dengan menganggap mereka sudah meninggal dunia.

Sementara itu, sambutan Hari Bapa Kompleks Penjara Kajang yang bertemakan Kasih Keluarga, Bahagia Berkekalan menyaksikan 12 banduan terpilih dan diberi peluang beramah mesra serta merapatkan kembali hubungan kekeluargaan dengan ahli keluarga mereka.

Mereka yang terpilih merupakan banduan yang mempunyai rekod bersih, akan dibebas dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi dan dimasukkan ke penjara bukan kerana kesalahan jenayah berat.

Setiap penyakit ada ubatnya kecuali tua dan mati. Namun ubat bagi setiap penyakit itu perlu tepat. Kalau tidak penyakit tidak akan sembuh. Lebih malang lagi, kalau silap ubat, penyakit boleh menjadi lebih teruk dan lebih kronik.Disamping ubat, tabibnya juga perlu tepat. Dia mestilah orang yang betul-betul faham tentang penyakit dan puncanya.Kalau tidak, cara berubat mungkin salah. Dosnya mungkin tidak kena. Kalau tidak cukup dos, ubat tidak berkesan. Kalau terlebih dos, ada pula kesan sampingan yang boleh merosakkan.

Gejala penyalah gunaan dan penagihan dadah ini nampak seperti tidak ada penghujung dan tidak ada penyelesaiannya.Ia seperti satu hukuman dari Tuhan terhadap segala kesalahan dan kecuaian kita sebagai individu, masyarakat dan negara.Benarlah, apabila manusia lupakan Tuhan, Dia akan datangkan berbagai-bagai masalah dan bala bencana sebagai peringatan supaya manusia kembali kepada Tuhan. Jelas bahawa,untuk menyelesaikan masalah dadah ini, manusia tidak mampu. Manusia tidak ada daya upaya. Apapun yang manusia lakukan, masalah ini akan bertambah buruk dan bertambah kronik.

Jalan penyelesaian hanya tinggal satu, iaitu kembali kepada Tuhan dan kaedah yang telah Tuhan tetapkan. Samalah juga dengan masalah penyalah gunaan dadah ini.Selama ini ubat yang kita beri kepada penagih adalah salah.Tabibnya juga orang yang salah. Itu sebab, penyakit ini tidak sembuh-sembuh dan tidak selesai-selesai. Bahkan, ia bertambah rumit dan bertambah kronik.

Penagihan dadah itu adalah sympton atau gejala penyakit.Ia bukan penyakit yang sebenar. Kalau diubat penagihan,kita hanya membuang gejalanya. Penyakit sebenarnya tidak juga akan sembuh. Gejala atau sympton nya itu tetap akan muncul kembali.

Para penagih pula adalah orang-orang yang keliru dan yang hilang pedoman. Mereka bertindak mengikut kemahuan dan nafsu mereka sahaja. Sebab mengapa mereka berkemahuan sebegitu, mereka sendiri pun tidak tahu. Mereka tidak kenal diri mereka sendiri. Mereka tidak tahu dan tidak faham tentang pergolakan yang berlaku dalam diri dan jiwa mereka.Mereka tidak faham tentang penyakit rohani dan masalah spiritual yang mereka hadapi. Oleh itu, kalau mereka ditanya kenapa mereka menagih dadah, mereka akan jawab sekadar mana yang mereka faham, iaitu yang lahir-lahir sahaja.

Sampailah masanya semua pihak akur dan mengaku bahawa punca masalah penyalahgunaan dan penagihan dadah ini bukan keseluruhannya berpunca dari perkara-perkara lahir atau fizikal semata-mata. Itu hanya sebab-sebab tambahan. Ia sebenarnya disebabkan oleh perkara yang lebih kompleks,lebih halus dan lebih seni dari itu yang tidak mudah difaham oleh pemikiran biasa. Ia perlu pandangan dan kupasan yang lebih berbentuk kejiwaan dan kerohanian. Lagi cepat hakikat ini dapat diterima bersama lebih baik

Jawapan yang sebenarnya terkandung di dalam wahyu seperti yang Rasulullah SAW telah disabdakan iaitu segala penyakit masyarakat berpunca dari cinta dunia. Cintakan dunia adalah ibu segala kesalahan. Cintakan dunia itu adalah pokoknya, puncanya dan sumbernya. Tidak kiralah sama ada cinta dunia itu cinta pada duitkah, cinta hartakah, cinta namakah, cinta glamourkah, cinta pangkatkah, cinta kuasakah, cinta perempuankah dan bermacam-macam lagi bentuk cinta dunia.Yang penting ia bukan cintakan Allah dan Rasul.

Cinta dunia inilah pokok bagi segala kesalahan yang melahirkan berbagai-bagai gejala, maksiat dan jenayah.Rasulullah SAW bersabda cinta dunia itu ibu segala kesalahan.Baginda tidak kata ibu segala jenayah atau maksiat.

Kesalahan itu maksudnya sudah global, sudah merata. Ia termasuklah segala macam kejahatan, jenayah dan maksiat. Untuk mengubatinya dan untuk membalikkan semula keadaan, kita hanya perlu terbalikkan sahaja apa yang Rasulullah telah sabdakan iaitu: Cintakan Tuhan ibu adalah segala kebaikan.

Manusia perlu kepada Tuhan. Manusia perlu rasa bertuhan. Tuhan adalah segala-galanya. Kekuatan jiwa manusia adalah setakat mana dia rasa bertuhan. Kurang rasa bertuhannya, maka kuranglah kekuatan jiwanya. Kuat rasa bertuhannya maka kuatlah jiwanya. Kalau seseorang itu tidak langsung mempunyai hubungan dengan Tuhan, percaya pun tidak, kenal pun tidak, maka jiwanya akan menjadi lemah dan rosak,dan akan dihinggapi penyakit. Akan timbullah rasa kosong,risau, rimas dan runsing. Akan hilang ketenangan jiwa.

Allah ada berfirman: Maksudnya: Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang. (Raad: 28)
Inilah perkara yang mesti kita buat. Promosikan Tuhan dan bawa manusia kepada Tuhan hingga Tuhan itu dicintai dan menjadi idola dan pujaan semua manusia. Hasilnya nanti akan melimpah-ruahlah kebaikan dan kasih sayang. Tuhanlah yang akan membela, menyelamatkan dan melindung kita.

Rasulullah SAW juga ada menyebut lagi bahawa lemahnya umat Islam hari ini berpunca dari penyakit Al Wahan iaitu cintakan dunia dan takut mati kerana Allah. Yang sanggup mati kerana perempuan, kerana wang, kerana pangkat, kerana kerja dunia ramai. Tetapi yang sanggup mati kerana Allah, ini kurang.

Rasulullah menyebut tentang dua perkara ini sebelum ianya berlaku dan sebelum ianya terjadi. Rasulullah sebut tentang dua perkara ini di kala mana masyarakat Islam sedang bersih dan sedang dalam keadaan baik. Kalau Rasulullah berkata setelah ianya terjadi, mungkin orang akan terkeliru. Di waktu itu, Rasulullah bersabda apabila umat Islam telah mencapai puncak kejayaan, akan berlaku nanti kerosakan dan akan lahir segala bentuk gejala sosial bersebabkan dari dua pokok atau punca iaitu cinta dunia dan Al Wahan.

Pokok atau punca yang disebut oleh Rasulullah itu bukan bersifat maddi atau material tetapi bersifat rohaniah. Dari pokok atau punca rohaniah atau batin inilah timbulnya berbagai-bagai gejala dan penyakit yang berbentuk lahiriah seperti penagihan dadah, gejala sosial dan penyakit masyarakat seperti yang kita lihat hari ini. Inilah buah-buah yang masam, pahit dan kelat yang sedang kita rasakan.

Penyakit pokoknya ialah penyakit rohani. Oleh itu, pakar untuk meneliti dan mengkajinya mestilah orang rohani. Hendak mengubatnya pula perlulah orang rohani, atau setidak-tidaknya orang yang faham tentang hal perjalanan hati dan rohani manusia. Cara mengubatnya juga perlulah dengan cara dan kaedah rohani

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer