Keganasan Yang Belum Bertemu Nokhtahnya!


13/10/2005

55 terbunuh keganasan di Iraq Suicide car bomb in Baghdad
BERITA HARIAN 11 OKTOBER 2005
BAGHDAD: Dua serangan bom kereta di Iraq mengakibatkan sekurang-kurangnya 55 orang terbunuh semalam, empat hari sebelum pungutan suara deraf perlembagaan negara itu.
Seorang penyerang bunuh diri, meletupkan diri dengan bom ke atas tentera Iraq di Baghdad, tempat pejuang Sunnah dilaporkan aktif.
Sumber polis berkata, laporan awal menyatakan, sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh tetapi pasukan bantuan kecemasan belum dibenar memasuki kawasan itu berikutan ancaman daripada pemberontak.
Sementara itu di Tal Afar, sebuah bandar di barat laut Iraq dekat dengan sempadan Syria dan menjadi lokasi operasi besar-besaran tentera Amerika Syarikat ke atas pemberontak Iraq, serangan bom kereta dilancarkan mengakibatkan 30 maut.
Polis berkata, 45 orang turut cedera dalam serangan yang dilakukan di sebuah pasar yang sesak dengan penduduk di bandar itu.
Serangan berlaku kira-kira jam 11 pagi di Tal Afar, 420 kilometer ke barat laut Baghdad, ketika orang ramai sibuk membeli barang di pasar terbuka, kata Ketua Polis Tal Afar, Brigediar Jeneral Najim Abdullah.
Abdullah berkata, pada awalnya pihak keselamatan mengesyaki serangan membabitkan bom kereta menggunakan alat kawalan jauh tetapi siasatan mendapati, serangan dilakukan penyerang bunuh diri. AP
ULASAN
Dalam iklim dunia yang sedang kritikal ini, di waktu manusia sedang mencari-cari jalan keluar kepada persoalan ini, apakah Islam tidak mempunyai formula untuk menyelesaikan kemelut dunia hari ini? Memandangkan percubaan demi percubaan melalui segala bentuk formula rekaan fikiran manusia telah dicuba dalam menangani gejala yang makin meruncing ini, namun hasilnya tetap mengecewakan.
Segala cerdik pandai, para filasuf, para pendidik, para pemikir yang telah mencipta pelbagai kefahaman dan ideologi telah mengerahkan seluruh daya akal fikiran mereka bagi mencari formula untuk menyelamatkan dunia serta para penghuninya. Tetapi ternyata akal semata-mata telah gagal dalam menangani kemelut dunia yang semakin kronik ini.
Maka apabila akal telah buntu, manusia perlu mengubah semula pola pemikiran mereka dengan mencari jalan keluar yang terjamin tepat dan selamat iaitu dengan merujuk kepada sistem roh. Dalam erti kata lain manusia perlu kembali merujuk kepada Tuhan, menggunakan sistem Tuhan dan dipimpin oleh orang Tuhan dalam memulihkan kerosakan masya-rakat yang kian meruncing ini.
Peranan roh sebenarnya cukup penting dalam kehidupan manusia. Apabila manusia telah meminggirkan peranan roh, telah lalai daripada pencipta-Nya maka akibatnya manusia sedang menanggung segala bentuk gejala yang cukup membimbangkan. Untuk menyelami persoalan ini dengan lebih jelas kita perlu memahami peranan akal dan roh dalam kehidupan manusia.
Membangunkan dunia dan kemajuan, tidak sama kaedah-nya dengan membangunkan manusia. Dalam membuat kemajuan untuk keperluan manusia tidak kira di sudut apa pun, akal boleh digunakan. Manusia boleh membuat berbagai percubaan dan eksperimen. Mana yang berjaya diteruskan, manakala yang gagal ditinggalkan.
Contohnya seorang pemaju dalam membangunkan satu projek dengan bersandarkan kepada kepakaran akal manusia, katalah tiba-tiba projek itu gagal, kesannya ialah dia akan menanggung kerugian. Hasilnya ialah dia tidak berjaya, tetapi tidaklah sampai membahayakan dirinya atau orang lain. Hanya sekadar buang masa dan tenaga tetapi tidaklah sampai menghasilkan side effect yang negatif yang boleh merosakkan manusia, misalnya hingga berlaku pembunuhan, peperangan, penzinaan dan lain-lain maksiat lagi.
Berlainan halnya dalam mendidik manusia, ilmunya mesti pasti. Tidak boleh agak-agak. Tidak boleh berteori-teori dan tidak boleh sama sekali adanya trial and error. Sebab kalau tersalah mendidik manusia akan lahirlah penyamun, pembohong, penzina, pembunuh dan lain-lain lagi. Kalau manusia telah rosak, sebaik mana pembangunan sekalipun akhirnya manusia akan merosakannya juga.
Sebab itulah dalam sejarah, untuk membangunkan material Tuhan datangkan ahli akal atau ahli fikir. Tetapi apabila untuk membaiki manusia, Tuhan lantik orang rohani yang datang dari Tuhan seperti para rasul, para nabi, mujaddid dan ulamaul amilin. Sebab yang datang dari Tuhan itu membawa kaedah, cara atau formula yang tepat, bukan dicuba-cuba kerana se-mua kaedah itu datangnya dari Tuhan. Lihatlah apa yang sudah terjadi sekarang apabila manusia dididik hanya dengan bersandarkan akal semata-mata, tidak kembali kepada wahyu, maka akhirnya lahirlah manusia yang penipu, perompak, pengganas dan lain-lain.
Oleh itu PERSOALANNYA mengapa kita tidak merujuk kepada formula Tuhan yang terkandung di dalam ajaran Islam yang ternyata telah terbukti berkesan satu masa dulu?

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer