Kebersihan Atau Bersuci Dalam Islam(2)

Kuliah Umum


14/02/2006


Suci Daripada Hadas
a. Hadas besar
Antara perkara yang menyebabkan hadas besar ialah junub, nifas, haid, wiladah dan keluar air mani. Ini semua mewajibkan mandi.
Rukun Mandi
1. Niat.
Orang yang junub hendaklah berniat menghilangkan hadas junubnya. Perempuan yang baru selesai haid, hendaklah berniat menghilangkan hadas kotorannya dan seterusnya.

2. Meratakan air ke seluruh badan.
Sunat-sunat Mandi
1. Membaca "Bismillah" pada permulaan mandi.
2. Berwudhuk sebelum mandi.
3. Menggosok-gosok seluruh badan dengan tangan.
4. Mendahulukan yang kanan dari yang kiri.
5. Berturut-turut.

b. Hadas kecil
Iaitu berlaku perkara-perkara yang membatalkan wudhuk.
Contohnya keluar sesuatu dari qubul dan dubur, tersentuh kulit lelaki atau perempuan yang bukan muhram, memegang kemaluan dengan tapak tangan, tidur dengan punggung yang tidak tetap ke lantai.

Cara menghilangkan hadas kecil ialah dengan berwudhuk. Tetapi jika keluar sesuatu (najis) dari qubur atau dubur (kecuali angin/kentut) perlu beristinjak untuk menyucikannya.

Istinjak
Dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW ada disebutkan:
Nabi SAW telah melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata: "Kedua orang yang ada di dalam kubur ini diseksa. Yang seorang diseksa kerana mengadu domba, yang seorang lagi kerana tidak beristinjak kencingnya." (Sepakat ahli Hadis)

Apabila keluar kotoran daripada jalan depan mahupun belakang, wajib istinjak dengan air atau tiga ketul batu. Yang paling baik ialah mula-mula dengan batu atau sebagainya, kemudian diikuti dengan air.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Apabila seseorang itu beristinjak dengan batu hendaklah ganjil. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berkata Salman: "Rasulullah melarang kita beristinjak dengan batu yang kurang daripada tiga batu." (Riwayat Muslim)

Dalam Hadis ini disebutkan tiga batu bererti tiga ketul batu atau satu ketul batu tiga persegi. Yang dimaksudkan dengan batu ialah tiap-tiap benda yang keras, suci dan kesat seperti kayu, tembikar dan sebagainya. Benda yang licin seperti kaca tidak sah dibuat istinjak kerana tidak dapat menghilangkan najis. Begitu juga benda yang dihormati seperti makanan dan sebagainya. Syarat beristinjak dengan batu dan sebagainya hendaklah sebelum kotoran itu kering dan tidak mengenai tempat lain selain dari tempat keluarnya. Jika mengenai tempat lain maka tidak sah lagi istinjak dengan batu tetapi wajib istinjak dengan air.

Suci Daripada Fudhul(Kotoran)
Ia merupakan kotoran seperti hingus, tahi mata, tahi telinga, kelemumur, tahi hidung, kahak, lebihan kuku, bulu ketiak dan ari-ari, daki, kutu dan lain-lain. Ini semua pada badan. Kotoran yang ada di persekitaran seperti habuk-habuk, jelaga, sarang labah-labah, cebisan kertas, kain buruk dan lain-lain. Ianya bukan najis cuma tidak cantik. Nampak tidak bersih, tidak smart, tidak kemas, tidak menarik bahkan nampak berserabut dan menyakitkan mata memandang.

Dalam Hadis Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan."

Kita mestilah suci daripada kotoran-kotoran lahir ini supaya lahirlah orang-orang yang bersih. Kalau kita tidak sensitif dengan kotoran-kotoran lahir ertinya kita ini kasar, yakni tidak berjiwa halus. Benda-benda yang lahir ini jika kita tidak rasa jijik ertinya yang batin lagilah kita tidak rasa jijik. Mungkin ada orang berkata, "Saya ini orang seni, sebab itu saya simpan sarang labah-labah ini." Tentu tidak. Fitrah hati menolak dan akan rasa sarang labah-labah atau lain-lain tadi tidak patut disimpan dan menyakitkan mata.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer