Kebersihan Atau Bersuci Dalam Islam(1)

Kuliah Umum


13/02/2006

Islam menggalakkan kebersihan iaitu bersih lahir dan batin. Di dalam Al Quran dan Hadis banyak memperkatakan tentang kebersihan atau bersuci ini.
Allah berfirman dalam Al Quran:
Maksudnya: "Sesungguhnya berbahagialah (mendapat kejayaanlah) orang yang menyucikan hatinya dan berdukacitalah orang yang mengotorkan hatinya." (As Syams: 9-10)

Rasulullah SAW pernah bersabda:
Maksudnya: "Kebersihan itu sebahagian dari iman."

Maksudnya: "Bersuci itu adalah separuh dari iman."

Di sini menunjukkan betapa pentingnya bersuci atau kebesihan dalam kacamata Islam. Sebahagian daripada iman kita sudah dapat. Kalaulah dinisbahkan iman itu 100% ertinya kita sudah dapat 50% daripadanya, tinggal lagi 50% untuk kita menggenapkannya. Maksudnya kalau kita sudah bersuci atau bersih lahir dan batin, kita hanya perlu tambah 50% lagi amalan lain, itu pun sudah menyelamatkan kita. Kadang-kadang kita tidak sedar, kita bertungkus-lumus beramal banyak, contohnya banyak berpuasa, banyak sembahyang sunat, banyak wirid zikir, banyak mengaji dan macam-macam amalan sunat lagi, tapi perkara yang wajib tentang bersuci, kita tidak tahu atau tidak arif. Akhirnya seluruh amalan kita tertolak. Sampai ke langit, Allah suruh malaikat campakkan amalan itu turun ke bawah. Tidak dapat pahala walau sebesar habuk, ataupun bagaikan habuk-habuk berterbangan. Letih saja kita berbuat tapi tidak dapat apa-apa pahala ganjaran daripada Allah. Bahkan Allah murka.

Jadi kalau begitu mari kita lihat bersuci atau kebersihan yang dituntut dalam Islam supaya ibadah kita tidak tertolak.
Bersuci terbahagi kepada dua:
1. Suci Lahir
a. Suci daripada najis berat, sederhana atau ringan.
b. Suci daripada hadas besar dan kecil.
c. Suci daripada fudhul (kotoran).

2. Suci Batin
a. Suci akal daripada syirik dan daripada segala isme-isme dan ideologi ciptaan manusia.
b. Suci hati daripada sifat-sifat mazmumah.
c. Suci nafsu daripada kehendak-kehendak yang negatif.

Mari kita huraikan satu-persatu supaya kita dapat beramal dengan tepat dan hayati sungguh-sungguh dalam hidup kita.

SUCI LAHIR : Suci Daripada Najis
Najis terbahagi kepada tiga:
1. Najis mughallazah (berat)
Contohnya najis anjing dan babi serta yang berkaitan dengan keduanya, misalnya keturunannya.
Cara mencucinya:
-Hilangkan ain najis.
-Hendaklah dibasuh tujuh kali termasuk satu basuhan daripada air tanah yang suci.

2. Najis mutawassitah (pertengahan)
Contohnya tahi, kencing, muntah, nanah, mazi, wadi, air liur basi, bangkai binatang dan lain-lain.
Cara mencucinya:
- Najis hukmiah iaitu yang kita yakini adanya tetapi tidak nyata zatnya, baunya, rasanya dan warnanya seperti kencing yang sudah lama kering sehingga sifat-sifatnya sudah hilang.
Cara mencuci najis ini cukup dengan mengalirkan air di atas benda yang kena najis itu.

- Najis `ainiah iaitu yang masih ada zat, warna, rasa atau baunya, terkecuali warna atau bau yang sangat sukar menghilangkannya. Ini dimaafkan.
Cara mencuci najis ini hendaklah dengan menghilangkan zat, rasa, warna dan baunya. Kemudian dialirkan air mutlak ke atasnya.

3. Najis mukhaffafah (ringan)
Najis air kencing bayi lelaki yang belum berumur dua tahun dan tidak makan apa-apa selain susu ibunya sahaja.
Cara mencucinya :
-Memadai dengan memercikkan air ke atas benda yang kena najis itu walaupun tidak mengalir.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer