Kasih Sayang Yang Tepat


28/07/2005

KASIH SAYANG YANG TEPAT

Oleh Dr. Ing Gina Puspita

Hari ini, majoriti remaja rosak kerana mereka inginkan kebahagiaan, mahukan kasih sayang. Ada anak-anak yang rosak kerana tidak mendapatkan kasih sayang, jadi mereka hidup sangat terbiar, ada pula yang mendapatkan kasih sayang tapi secara salah, hingga merekapun rosak kerana kasih sayang telah diberi secara tidak tepat.

Fitrah semua manusia sama, diantaranya manusia inginkan kasih sayang. Bahkan kasih sayang itu lebih diperlukan daripada makan dan minum, pakaian dan lain-lain lagi. Kasih sayang merupakan makanan jiwa. Sesetengah orang, oleh kerana dia tidak kenal Tuhan, tidak cinta dan takut Tuhan, bila tidak mendapat kasih sayang, boleh jadi gila, kecewa dan putus asa. Namun orang yang cinta dan takut Tuhan, bila tidak dapat kasih sayang dari manusia tidak menjejaskan jiwanya.

Kerana kasih sayang itu diperlukan oleh kebanyakan manusia, maka para pendidik, guru-guru, pemimpin-pemimpin dan terutama ibubapa, perlu beri kasih sayang kepada anak-anaknya. Guru hendaklah memberi kasih sayang pada muridnya dan pemimpin mesti memberi kasih sayang kepada rakyatnya.

Walaupun begitu, bukan semua golongan ini pandai memberi kasih sayang. Memberi kasih sayang bukanlah satu hal yang mudah. Ianya perlu kepada ilmu dan pengalaman. Kadang-kadang bila tidak pandai memberi kasih sayang, orang yang menjadi sasaran itu rosak. Ibarat kita memberi makan pada anak-anak tanpa mengira makanan apa yang diberi, tidak ikut waktu atau disiplin, tidak kira ada zat atau tidak. Bila kita mahu memberinya, terus sahaja kita beri. Nampaknya seperti baik tetapi hasilnya anak itu dapat penyakit kronik dan serius seperti barah, kencing manis dan lain-lain. Untung sekarung, ruginya segunung. Niatnya baik tetapi hasilnya tidak baik. Begitulah niat baik orang yang hendak memberi kasih sayang pada seseorang itu, apabila tidak betul caranya, ia bukan lagi memberi manfaat. Memang kasih sayang itu, samada disedari atau tidak, ia ada hubungan dengan pendidikan .

Dalam memberi kasih sayang, ibubapa, para pemimpin, para pendidik tidak terlepas dari 3 faktor iaitu akal, nafsu dan perasaannya. Majoriti yang berlaku pada hari ini para pendidik, pemimpin, ibubapa memberi kasih sayang berdasarkan 3 faktor tersebut.

1. Kasih sayang diberi secara akal

Kasih sayang cara ini banyak dilakukan oleh orang intelek, yang ada kelulusan atau berpelajaran. Kerana dia sangat membesarkan akalnya, maka apapun yang dia hendak buat termasuk mendidik orang, dia rujuk kepada akal. Apa kata akal, itulah yang menjadi tindakannya. Contohnya, dia berfikir : Orang yang saya hendak didik ini, kalau saya tidak beri kereta, payah hendak dididik. Nanti dia tidak sayang pada saya. Oleh itu untuk didik dia, saya akan beri kereta, pakaian dan lain-lain. Inilah yang akan merosakkan. Lagipun mana mampu kita hendak melayan kehendak semua manusia. Dia ukur secara logik tapi merosakkan.

2. Kasih sayang diberi secara perasaan

Ada pula orang yang memberi kasih sayang dengan mengikut perasaannya kerana dia merujuk pada pengalamannya. Katalah dia sudah berpengalaman masa kecil dengan ibubapanya dulu, kalau tidak diberi pakaian, walaupun ada pakaian yang elok lagi, sakit hatinya, marah dengan mak ayah dan rasa ibubapa tak sayang dengannya. Perasaan itulah yang dia ikut bila dia menjadi ibu atau bapa. Bila dia dapat anak, dia terkenang sakit hatinya bila tidak dapat, maka dia beri anaknya pakaian. Walaupun dalam almari sudah ada 20 pasang baju. Bila anaknya minta pakaian, dia beri lagi. Dia fikir, Kalau tidak diberi, nanti dia sedih macam aku sedih dulu. Jadi diapun memberi pakaian untuk membuktikan pada anaknya bahawa dia sayangkan anaknya itu.

Dia fikir, kalau dia ikut perasaan seolah-olah anak-anaknya atau muridnya atau rakyatnya akan baik. Jadi orang ini, kalau dia pemimpin, dia berpendapat hendak didik, bangunkan masyarakat dan untuk dapat rakyat yang baik, kenalah dia banyak memberi. Dia fikir, Dalam negara aku, mestilah aku bagi itu dan ini. Nanti rakyat akan taat dan baik, setia dan tidak akan lakukan jenayah. Akhirnya jangka panjang, makan diri pemimpin itu sendiri.

3. Kasih sayang diberi secara nafsu

Ini lagi bahaya karena memberi kasih sayang berpandukan nafsunya. Kalau hendak ambil hati anak, hati murid atau hati rakyat, dia rujuk pada nafsunya. Bagi ibu ayah, bila rangsangan nafsu hendak di apply kan maka kasih sayang tidak ada batas lagi. Dia beri apa sahaja yang dia rasa baik. Lebih-lebih lagi ibu dan ayah terhadap anak perempuannya. Ikut sahaja bisikan nafsunya dalam hal pergaulan. Tidak ada batas antara ayah dengan anak perempuannya. Maka dia senang sahaja masuk ke bilik tanpa peraturan dengan alasan itu anaknya. Tidak kira waktu itu anaknya sedang tidur. Begitu juga ibu terhadap anak lelakinya. Kononnya itulah cara hendak memberi kasih sayang pada anak itu supaya senang dididik. Walhal kaedah ini kalau diteruskan boleh jadi haruan makan anak atau anak makan ibu. Bila mendidik atau memberi kasih sayang tanpa batas, boleh berakhir pada kes sumbang muhram.

Tiga cara pemberian kasih sayang inilah yang telah dijalankan lebih kurang 700 tahun dahulu kepada umat Islam, hinggalah sekarang dan telah merosakkan anak-anak, murid dan rakyat. Bila senjata sudah makan tuan, cacing sudah naik ke mata, ibubapa menjerit, Apa dah jadi dengan anak-anak! Guru menjerit, Mengapa murid sudah tidak taat. Kenapa murid jadi penjenayah dan perosak. Pemimpin menjerit, Apa dah jadi pada rakyatku? Semua golongan sudah memekik dan menjerit, apa sudah jadi pada orang mereka. Itulah sebenarnya hasil perbuatan pendidikan mereka. Sudah diberi berbagai projekpun rakyat tetap tidak taat. Mereka tidak jumpa jalan keluar. Ini berlaku di seluruh dunia samada di negara Islam atau negara kafir. Kalau begitu, bagaimana cara yang tepat dalam memberi kasih sayang?

Cara Pemberian Kasih sayang yang tepat

Akal, perasaan dan nafsu tidak boleh menjadi sandaran dalam pemberian kasih sayang. Pendapat akal, kehendak atas dasar nafsu, kehendak atas dorongan perasaan, semua mesti ditapis oleh syariat. Setelah disahkan oleh syariat, itulah kaedah yang boleh dipakai. Walaupun begitu syariat pula mesti ditunjangi oleh iman. Sebab walaupun satu perkara itu benar berdasarkan syariat, tapi bila dalam mengamalkannya, Tuhan tidak disertakan bersama maka syariat sudah menjadi ideologi, jadi isme. Mana boleh ideologi itu membaiki manusia walaupun secara kebetulan ia sama dengan syariat Tuhan.

Bilamana Tuhan tidak dibawa bersama, yakni kalau syariat itu tidak dididik bersama pendidikan yang membesarkan dan mengagungkan Tuhan, manusia tidak akan boleh dididik. Kalau begitu dalam mendidik manusia ini, mesti dirujuk pada iman dan syariat Tuhan, rujuk pada Tuhan dan syariat-Nya . Begitu juga pemberian kasih sayang hanya boleh menyelamatkan bila perkara tersebut ditunjang oleh Iman dan syariat Tuhan .

Mungkin pada peringkat awal dengan kaedah ini, sesetengah golongan tidak merasa diberi kasih sayang tetapi sebenarnya jangka panjang baru dia akan dapat hasilnya. Jangka panjang barulah dia akan faham dan boleh terima bahawa apa yang dilakukan ibubapa, guru atau pemimpin itu membuahkan hasil yang baik. Dia akan rasakan itulah kasih sayang.

Peringkat awal mungkin dia rasa tersiksa dan terasa diikat oleh disiplin tetapi bila sudah cerdik, setelah dia mendapat faedah dari hasil didikan itu, barulah dia terfikir, rupanya bijak ibubapa atau guru atau pemimpin buat dia begitu. Cara pendidikan dengan iman dan syariat ini sebenarnya, buahnya tidak dirasa dalam jangka pendek. Tetapi jangka panjang, bila dia sudah dewasa dan sudah boleh berfikir, dia akan berkata, Bijaknya orang-orang yang sudah mendidik aku hingga aku jadi begini. Mereka akan merasakan kemuncak kasih sayang ibubapa, guru atau pemimpin itu adalah untuk selamatkan orang yang dididik itu dari Neraka. Hingga dapat masuk Syurga yang nikmatnya kekal abadi. Inilah pendidik yang baik, yang sangat memberi kasih sayang, yang mungkin tidak dapat dirasa peringkat awalnya.

Mendidik orang dengan nikmat dunia yang tidak kekal ini, tidak akan ke mana. Jangka pendek akan merosakkan dan jangka panjang nanti akan merugikan. Jangka pajang menyesal tidak sudah. Pemimpin, ibubapa atau guru yang mendidik dengan mengatakan dunia ini adalah segala-nya, nikmat dunia ini termasuk makan, minum, kenderaan dan rumah adalah segala-galanya, walaupun niatnya baik dan orang yang dididik cepat terasa, tetapi pada hakikatnya inilah para-para pendidik yang paling khianat pada bangsanya kerana untung seguni, rugi segunung. Orang yang dididik itu tidak terasa sebab hasilnya cepat. Dia fikir, Baiknya ibubapa aku. Bagi orang yang faham, dia akan kata ini pengkhianat bangsa. Bagi Allah dan Rasul, pendidik itu dianggap pengkhianat kepada amanah-amanah Allah.

Semoga dengan kembali mengambil Tuhan dan syariat sebagai rujukan bukan sahaja kerosakan lebih teruk akan dibendung, tapi juga semoga Tuhan segera campur tangan dalam menyelesaikan kerosakan yang berlaku di dunia sekarang ini. Amin.

-----O-----

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer