Kasih Sayang Fitrah Semulajadi Manusia


06/11/2006

Bumi ini berputar kerana kasih sayang Tuhan. Beredarnya matahari, bulan, bintang dan planet juga adalah kerana kasih sayang Tuhan. Adanya siang dan malam, hujan dan panas dan empat musim dalam setahun juga adalah kerana kasih sayang Tuhan.

Wujudnya kita dari dalam rahim ibu ketika bayi dan hingga kita dewasa adalah kerana kasih sayang kedua ibu bapa kita iaitu pancaran dari kasih sayang Tuhan. Kita tidak boleh hidup tanpa kasih sayang.

Kasih sayang itu makanan rohani. Siapa yang tidak dapat merasai kasih sayang, rohaninya dan jiwanya akan menderita terseksa dan hilang kebahagiaan. Kasih sayang ialah perkara rasa. Ia mainan hati. Ia adalah fitrah semulajadi.

Fitrah semulajadi manusia adalah sama. Tidak kira asal keturunannya. Tidak kira bangsanya. Tidak kira agamanya, negaranya atau di zaman mana dia hidup. Fitrah semulajadi manusia tetap sama. Kasih sayang adalah tuntutan fitrah. Fitrah suka dikasihi dan mengasihi. Suka disayangi dan menyayangi. Inilah mesej yang perlu dibawa kepada semua umat manusia. Kasih sayang atau love and care mesti disebarkan seluas-luasnya di kalangan umat manusia.

Perpaduan, kedamaian dan keharmonian juga adalah tuntutan fitrah semulajadi manusia. Semua manusia tidak kira bangsa, agama dan warna kulit sukakan perpaduan. Semua manusia sukakan kedamaian. Semua manusia sukakan keharmonian. Manusia benci kepada krisis, perpecahan dan pergaduhan. Manusia benci kepada huru hara dan kacau bilau.

MENGAPA MANUSIA INGINKAN PERPADUAN ?
Telah menjadi fitrah semula jadi kepada setiap manusia tidak kira apa kaum dan bangsa bahawa manusia itu suka dan perlu bergaul, bermasyarakat, bertemu dan berjumpa di antara satu sama lain. Di antara sebabnya ialah:
1. Manusia tidak boleh hidup bersendirian, kerana bersendirian terasa sepi dan kekosongan. Apabila bertemu ada perbualan dan dari perbualan itu, fikiran dan hati sedikit terisi (terhibur) walaupun tidak kukuh.

2. Manusia hendak mendapatkan keperluan hidup. Paling tidak yang asas seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal. Semua itu tidak mungkin dapat diusahakan sendirian melainkan dengan bantuan orang lain sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung.

3. Manusia tidak boleh lepas daripada menerima berbagaibagai ujian hidup seperti sakit, miskin, ditimpa bencana alam dan kematian. Oleh yang demikian, untuk menyelesaikan masalah itu, ianya tidak mungkin boleh dibuat tanpa bantuan orang lain.

4. Manusia watak semula jadinya atau tabiat semula jadinya sering mengundang musuh dengan orang. Untuk menolak kejahatan musuhnya, manusia memerlukan pertolongan orang lain. Kalau begitu maka perlu adanya kawan dan orang yang menolong.

5. Telah menjadi tabiat semula jadi manusia, lelaki ada rangsangan inginkan perempuan dan perempuan juga ada rangsangan inginkan lelaki. Maka timbul perlu-memerlukanantara satu sama lain. Seterusnya terjadilah perkahwinan dan pertemuan di antara dua keluarga.

6. Fitrah semula jadi manusia ingin membangun dan maju, maka lahirlah perhubungan antara buruh dengan majikan. Majikan perlukan buruh, buruh pula perlukan majikan untuk dapat gaji.

7. Tabiat semula jadi manusia inginkan ilmu, maka timbullah keperluan untuk mencari guru. Orang yang memberi ilmu pula ingin memperpanjangkan ilmunya. Timbullah perlumemerlukan antara satu sama lain.

8. Telah menjadi tabiat semula jadi, orang yang kuat dan pandai ingin jadi pemimpin, maka perlu pada pengikut. Orang yang lemah pula ingin perlindungan oleh seorang yang kuat (pemimpin). Di sini terjadilah saling perlu-memerlukan antara dua golongan ini.

Setelah kita mengkaji secara rambang, nyata dan jelas sekali bahawa manusia itu di dalam mengendalikan kehidupan, mereka memerlukan satu sama lain, sandar-menyandar, memerlukan bertolong bantu dan kerjasama. Kalau tidak, tidak boleh hidup. Sama ada suka atau tidak, terpaksa manusia hidup begitu. Kalaupun fitrahnya tidak mendorong, namun keadaan hidup itu memaksa kepada perlu-memerlukan satu sama lain.

Setelah kita mengkaji kehidupan manusia serta dapat dibuktikan dan dirasakan oleh pengalaman hidup kita bahawa manusia itu terpaksa hidup perlu-memerlukan antara satu sama lain, maka mengikut logiknya manusia mesti bersatu padu.

Apabila bersatu padu, tidak akan bergaduh, tidak akan berkrisis, tidak akan bersenget hati, tidak akan bermusuh-musuh, tidak akan jatuh menjatuhkan dan tidak akan berperang sesama sendiri. Bahkan sepatutnya mereka berkasih sayang. Dengan itu manusia mudah mengendalikan urusan kehidupan satu sama lain.

Namun realitinya tidak begitu. Manusia itu sentiasa sahaja berpecahbelah dan bermusuhan sekalipun di dalam satu etnik dan satu bangsa. Walaupun manusia itu antara satu sama lain perlu-memerlukan, sandar-menyandar, lengkap-melengkapi, namun demikian payah manusia itu hendak disatukan.

Mengapa? Kerana di dalam diri manusia itu ada nafsu. Sifat nafsu itu sangat jahat di samping adanya syaitan yang sentiasa mendorong manusia bermusuhan satu sama lain. Di antara kejahatan nafsu ialah bersifat tamak, mementingkan diri dan kehendaknya tidak terbatas.

Nafsu itu berkehendak yang halal mahupun yang haram, yang baik mahupun yang buruk dan yang boleh mahupun yang tidak boleh. Apabila diperturutkan kehendaknya demi untuk mencapai kehendak dan kemahuan, dia tidak kira cara haram, cara memerah tenaga orang, fitnah orang, burukkan orang, mengambil hak orang lain, menindas, menipu harta orang, menghina orang dan lain-lain.

Begitulah setiap orang atau puak atau kaum di dalam satu bangsa, kalau tidak dibendung oleh iman. Oleh yang demikian, di dalam perlu-memerlu itu mereka berpecah. Di dalam bertolong bantu itu bersenget hati. Di dalam sandar-menyandar itu ada kepentingan diri. Di dalam gotong royong itu ada pengkhianatan. Di dalam perkongsian, ada penipuan. Di dalam satu keluarga, satu jemaah, satu parti, satu kaum atau satu bangsa, ada jatuh-menjatuhkan dan khianat mengkhianati.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer