Jiwa Besar Dan Cita- Cita Besar Dalam Pembinaan Empayar


16/08/2006

Dulu umat Islam dari kalangan orang Arab, bangsa Kurdi, Turki dan sebahagian dari bangsa Eropah pernah menjadi Empayar Islam. Mereka dihormati oleh bangsa-bangsa di dunia. Mereka menjadi guru dan ikutan kepada dunia. Sempat bangsa-bangsa di dunia menerima ilmu dari umat Islam. Itulah yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Setelah nikmat yang besar itu di beri oleh Tuhan tidak dijaga dengan baik, setelah umat Islam cinta dunia, lahirlah hidup nafsi-nafsi dan takut mati untuk perjuangkan Tuhan, Akhirat, Rasulullah SAW, syariat dan akhlak mulia, Akhirnya Tuhan hukum umat Islam. Maka jatuh satu empayar Islam yang besar kemudian dijajah oleh penjajah dari Barat. Ada yang dijajah oleh British, Belanda, Sepanyol, Amerika, Jerman, Itali, Portugis dan Perancis. Ada negara yang dijajah 300 dan 400 tahun. Paling tidak 100 tahun. Empayar Islam jatuh kerana jiwa umat Islam sudah rosak dengan cinta dunia dan takut mati dalam untuk mempromosikan Tuhan.

Bila penjajah ambil kesempatan untuk menjajah, umat Islam dirosakkan pula oleh penjajah. Umat Islam dirosakkan aqidah dan fikirannya melalui pendidikan, kebudayaan dan ekonomi. Akhirnya tercetuslah kerosakan yang begitu luas hingga ke surau, masjid, tempat hafal Quran dan hadis, rosak di tempat-tempat Islam dan di tempat-tempat fekah. Walaupun sekarang seluruh negara Islam sudah merdeka tetapi yang merdeka hanya fizikal. Aqidah, fikiran, perasaan, akhlak, syariat dan perpaduan belum merdeka. Sebab itu walaupun negara umat Islam ada yang sudah 100 tahun merdeka, negara kita sendiri 40 tahun dan ada yang 30 tahun namun begitu bukan sahaja tidak ada sebuah negara Islam yang menjadi empayar bahkan untuk dapatkan sebuah negara Islam yang boleh berdiri sendiri, kuat, dihormati dan dikenali oleh dunia seperti Jepun dan Korea, itupun tidak ada. Betapalah untuk jadi empayar. Sebaliknya negara-negara yang sangat kusut hari ini adalah negara-negara yang diduduki oleh umat Islam. Yang menjadi masalah hari ini ialah negara umat Islam.

Kenapa? Kerana jiwa kita sudah lama dirosakkan. Yang ada hanya hidup membawa diri masing-masing dan fikir diri. Akhirnya tiada lagi bangsa umat Islam di dunia samada bangsa Melayu, India, Turki, yang berjiwa besar. Walaupun ilmu sudah besar, kekayaan sudah besar, langkah sudah jauh boleh round dunia, tetapi cita-cita kecil sangat. Apa cita-cita kita? Ada yang dari kecil sudah dididik oleh ibubapa dan guru, kalau pandai dapat sijil, dapat gaji besar, maka hebatlah hidup kita. Kecil sangat cita-cita. Hanya cita-cita diri. Kalau ada cita-cita kampung, mukim, daerah, negeri, negara, bangsa, masih boleh tahan. Tetapi setakat itu pun tidak ada. Masing-masing fikir tentang rumah, kereta, diri, keluarga sendiri. Semua orang di kampung dan di bandar sama pemikirannya. Mufti dan ulamak juga berfikiran begitu. Perjuangan menjadi tidak besar akibat dari jiwa bangsa umat yang tidak besar. Kita fikir diri dan keluarga sahaja. Kalau bertemu satu sama lain samada antara keluarga atau dengan yang bukan keluarga, kita bercerita tentang makan, minum, pakaian, kasut, songkok, makan, ayam dan itik. Tidak lebih dari itu. Umat Islam tidak ada lagi jiwa besar. Bila tidak ada jiwa besar, tidak adalah cita-cita besar maka tiadalah perjuangan yang besar. Sebab itu kalau kita baca sejarah sejak 5, 6 ribu tahun dahulu sampai hari ini, bangsa yang jadi empayar itu bukan bangsa yang besar, yang bilanganya ramai, bukan yang negaranya luas tetapi bangsa yang menjadi empayar adalah bangsa yang:
1. Berjiwa besar
2. Ada bercita-cita besar

Maka tercetuslah satu perjuangan yang besar walaupun bilangan bangsa itu kecil sahaja. Hari ini umat Islam dari kalangan bangsa Arab berjumlah lebih kurang 100-150 juta orang. Sewaktu menjadi empayar, hanya 2 atau 3 juta orang sahaja. Perjuangan tidak bergantung kepada ramai orang. Bangsa Kurdi menjadi empayar semasa Salehuddin Al Ayubi. Bilangannya pada waktu itu lebih sedikit iaitu sekitar 100-120 ribu. Sekarang puak Kurdi ada 5 atau 6 juta orang. Bangsa Turki pula sekarang ada 50 juta orang. Sewaktu menjadi empayar umat Islam, Turki hanya 1-2 juta sahaja. Waktu itu Turki menguasai 29 negara termasuk sebahagian Eropah.

Ada bangsa yang besar tetapi tidak jadi empayar kerana cita-citanya kecil. China dan India, jumlah penduduknya besar tetapi tidak pernah jadi empayar. Orang Melayu sehingga sekarang ada 300 juta tetapi tidak menjadi empayar kerana cita-citanya kecil. Hanya fikir tentang makan, minum, ayam dan itiknya.

Bangsa yang hendak menguasai dunia walaupun kecil bilangannya, mesti berjiwa besar dan bercita-cita besar. Orang yang bercita-cita besar, ada benda besar yang dibawa iaitu keyakinan. Sehingga dia mencetuskan satu perjuangan yang besar. Bangsa yang bercita-cita besar ada bermacam-macam pegangan yang menjadi cita-citanya. Saya hendak buat contoh mereka yang ada cita-cita besar, samada yang hak atau yang batil.

Suatu bangsa itu, walaupun tidak sampai menjadi empayar, tetapi ada kekuatan yang tersendiri kerana ada cita-cita besar yang diperjuangkannya. Contohnya seperti Jepun dan Korea. Bangsa-bangsa yang berjiwa besar, tidak kira yang hak atau batil, ia akan jadi besar.

Di antara pemangkin kepada bangsa yang bercita-cita besar adalah:
1. Berjuang kerana negara
Suatu bangsa yang dididik dari sekolah lagi untuk merasakan negara adalah hidup mati mereka. Mereka sanggup bersusah payah, mati atau ditangkap kerana negara. Ini orang yang berjiwa besar. Ia bukan kerana diri atau keluarga tetapi kerana negara. Inilah yang dilakukan oleh Itali. Walaupun rakyat tidak ramai, dia mampu menjajah negara lain.

2. Memuliakan bangsa
Ingin menjadikan bangsanya kuat dan dihormati. Untuk itu, dari kecil suatu bangsa itu sudah dididik. Seperti German yang menganggap bangsanya adalah bangsa Arya (mulia). Oleh itu mereka mesti menjajah dunia supaya tidak duduk di bawah orang lain. Mereka pernah menjajah sebahagian Eropah tetapi tidak lama. Bila Eropah bersatu dengan Rusia, German kalah.

3. Berjuang untuk kekayaan dunia
Ada orang berjuang untuk mendapatkan kekayaan dunia supaya kekuatan kekayaan dunia itu berpusat pada bangsanya sahaja. Ini terdiri dari Barat seperti Amerika yang berjuang untuk menguasai ekonomi dunia.

4. Berjuang atas dasar agama
Rasulullah mendidik para sahabat untuk berjuang atas dasar agama. Apa yang yang Rasulullah didik dan perjuangkan? Cita-cita Rasulullah lebih besar dari perjuangan Itali dan Eropah. Rasulullah perjuangkan Tuhan ke seluruh dunia supaya manusia cinta dan takut kepada Tuhan. Supaya Tuhan dibawa ke mana-mana. Agar merasakan segala apa yang ada ini Tuhan yang ciptakan. Cita-cita perjuangan Rasulullah ini lebih besar dari cita-cita bangsa lain yang membina empayar. Selain Islam, ada juga sebahagian bangsa Eropah seperti Sepanyol yang berjuang untuk Kristiankan dunia. Mereka sanggup mati, susah, miskin dan masuk jail kerana agama.

5. Berjuang kerana ideologi
Ini termasuklah perjuangan komunis yang mengajar duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Mereka berjuang sehingga masuk hutan berpuluh tahun sehingga menyusahkan orang putih apabila mereka membunuh, membakar dan menyerang hendap macam nyamuk dan pacat. Orang putih tidak tahan. Sekarang, hampir separuh dunia menjadi komunis termasuk Eropah Timur, Albania, Czechloslovakia, Russia dan China
Perjuangan yang paling besar ialah memperjuangkan Tuhan. Memperjuangkan Tuhan mengatasi perjuangan kerana bangsa, ekonomi dan ideologi. Jangan perjuangkan syariat Islam tetapi perjuangkanlah Tuhan. Kalau perjuangkan syariat, Tuhan akan tertinggal. Mula-mula perjuangkan Tuhan supaya hidup mati kerana Tuhan. Sehingga Tuhan disembah dan ditakuti. Bila kita perjuangkan Tuhan, syariat akan ikut sama. Marilah kita perjuangkan Tuhan, inilah sebesar-besar perjuangan.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer