Jati Diri(7)

Kuliah Umum


21/08/2006

Jalan Keluar
Jati diri yang rosak ini perlu dipulihkan sama ada ianya dikalangan para pemimpin, rakyat biasa ataupun para remaja dan muda-mudi.

Benih yang baik perlu ditanam di hati-hati angguta masyarakat.Apakah benih yang baik itu? Iaitu cintakan Akhirat.Orang yang cintakan Akhirat sentiasa terdorong untuk berbakti dan membuat kebaikan. Mereka tidak akan berebut-rebut dan mengejar dunia. Mereka lebih cenderung untuk membuat kabajikan demi kebahagiaan mereka di Akhirat. Mereka sentiasa menjauhkan diri mereka dari maksiat dan kemungkaran.Mereka tidak akan membuang masa untuk berlalai-lalai,berfoya-foya dan membuat perkara-perkara yang sia-sia.

Dihati mereka tertanam rasa cinta dan takut kepada Tuhan.Benih yang jahat pula perlu dibuang dari hati-hati anggota masyarakat. Apakah benih yang jahat itu? Iaitu sifat cinta dunia. Cinta dunia ialah ibu segala kesalahan dan maksiat.Orang yang ada cinta dunia dihati mereka tidak ada cita-cita lain selain untuk merebut dan mengejar dunia, untuk berfoyafoya,berlalai-lalai dan berhibur-hibur. Mereka ingin tenggelam dalam nikmat dunia. Akhirnya dunia akan memperhambakan mereka dan jadilah mereka itu hamba dunia.

Cara menanam benih baik ini ialah dengan membawa masyarakat kepada Tuhan. Kenalkan mereka kepada Tuhan.Tanamkan rasa cinta dan takut kepada Tuhan di hati-hati mereka. Bawa hati-hati mereka untuk mencintai Akhirat. Ajar mereka supaya tidak merebut dunia tetapi menggunakan dunia ini untuk mendapat Akhirat.

Kalau benih baik iaitu cintakan Akhirat dapat ditanam dihati anggota masyarakat dan benih jahat iaitu cinta dunia dapat dibuang dan disingkirkan dari hati mereka, maka jalan untuk membina jati diri mereka akan menjadi mudah.Masyarakat mesti dibangunkan dengan ilmu agama, iman dan taqwa. Tidak ada ketiga-tiga ini, maka tidak ada jati diri. Jiwa-jiwa mesti dibangunkan dengan rasa cinta dan takut pada Tuhan. Syariat mesti diamalkan dan dihayati hingga berkesan pada jiwa.

Para pemimpin dan tunggak masyarakat perlu bermuhasabah dan perbaiki diri. Mereka mesti insaf. Mereka mesti berusaha menghilangkan sifat-sifat mazmumah, pentingkan diri dan cinta dunia dari hati-hati mereka. Kalau para pemimpin tidak membina jati diri, mereka rosak dan rakyat akan ikut rosak. Para pemimpin mesti bertanggungjawab dan laksanakan tugas untuk mendidik rakyat. Beri mereka ilmu, panduan,tunjuk ajar dan kasih sayang. Bela mereka dan lindungi mereka. Ubah suasana masyarakat supaya tidak wujud lagi segala macam pancaroba, kelalaian dan kekarutan.

Ubah budaya hidup masyarakat. Kita mesti berusaha memberhentikan dan membuang segala budaya dan cara hidup yang melalaikan dan merosakkan. Kita mesti sedikit demi sedikit merombak media massa, baik TV, radio, akhbar, majalah, drama, teater, muzik dan nyanyian. Buang pengaruh yang negatif, jahat dan merosakkan. Kekalkan dan tambah pengaruh yang positif dan membina dan yang membawa kepada nilai-nilai murni seperti cinta Tuhan, cinta Rasul, akhlak mulia, cinta negara, cinta agama, bela membela, bertolong bantu, kasih sayang dan sebagainya.

Melalui pendidikan, memahamkan masyarakat dan penguatkuasaan undang-undang. Kita mesti berusaha secara beransur-ansur mengharam dan menghapuskan filem, DVD,VCD, buku dan majalah lucah dan separuh lucah. Sekat program dan budaya barat seperti rock, pop dan metal dan pengaruh skinhead dan punk yang berleluasa di kalangan mudamudi.

Bawa mereka kepada hidup secara beragama. Tukar segala hiburan kepada bentuk yang diterima oleh agama yang menyedarkan muda-mudi kepada Tuhan dan kepada tanggung jawab mereka kepada ibu bapa, masyarakat dan negara.Secara perlahan-lahan dan penuh bijaksana, kita mesti berusaha untuk menutup segala disko, premis video-game dan apa sahaja kegiatan yang boleh merosakkan jati diri rakyat.Wujudkan satu kesedaran. Hidupkan satu keazaman. Mulakan satu pergerakan dan revolusi Membina Jati Diri di seluruh negara yang melibatkan pemimpin dan rakyat. Gunakan segala jentera kerajaan yang ada melalui pendidikan, kepolisian, penerangan, media massa dan budaya. Libatkan semua pihak termasuk NGO, Jawatan Kuasa Kampung, perbadanan dan pertubuhan bebas, pejabat-pejabat daerah, wakil-wakil rakyat dan lain-lain lagi.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer