Jangan Perjuangkan Islam Seperti Ideologi


13/12/2005

ISLAM bukan ideologi. Islam adalah wahyu yang datang dari ALLAH, sedangkan ideologi dari fikiran manusia. Maka memperjuangkan Islam tidak mungkin sama dengan kaedah memperjuangkan ideologi. Kalau sama, apa istimewanya agama ALLAH di banding dengan ideologi ciptaan manusia?

Namun satu hakikat yang sedang terjadi ialah pejuang-pejuang Islam memperjuangkan tertegaknya undang-undang ALLAH seperti syariat Islam sama seperti pejuang-pejuang ideologi memperjuangkan hukum-hukum dalam ideologi mereka. Yakni dalam mengajak masyarakat melaksanakan hukum-hukum tersebut, tujuannya bukan untuk taat dan patuh kepada ALLAH SWT, tetapi kerana kepentingan-kepentingan yang lain. Misalnya kerana ingin menyelesaikan masalah atau kerana fanatik keagamaan atau kerana undang-undangnya bagus atau tidak tahan dengan keadaan masyarakat yang rosak.

Kalau dalam negara ideologi rakyat takut berbuat salah kerana takut ditangkap polis, maka begitulah juga rakyat dalam negara Islam yang para pejuangnya mendidik rakyat untuk takut pada hukuman dan tidak atas dasar patuh kepada ALLAH. Kalau mereka rasa selamat daripada hukuman dan tangkapan, mereka akan lakukan kejahatan itu. Kita tidak bermaksud mengatakan bahawa hukuman dan undang-undang tidak perlu, tetapi ia adalah jalan terakhir untuk menyelesaikan kejahatan dari orang yang sudah tidak dapat dididik lagi. Hukuman bukan dasar atau asas pendidikan. Ia adalah pilihan akhir.

Asas pendidikan Islam ialah ketaatan pada ALLAH . Sekalipun pejuang-pejuang Islam itu tentunya sedar bahawa Islam jauh bezanya dengan ideologi, baik dari segi kesempurnaan undang-undang, tujuan melaksanakannya, teknik perjuangannya atau hasil yang diperolehnya, namun sewaktu mereka memperjuangkannya, mereka lakukan sama seperti yang dilakukan oleh pejuang ideologi. Khususnya dari segi maksud mengajak orang banyak melaksanakan Islam; bukan atas dasar pengabdian kepada ALLAH, tapi kerana hukum-hukum itu kalau dilaksanakan dapat menyelesaikan masalah mereka. Yakni bukan mengajak orang kepada ALLAH tetapi kepada undang-undang ALLAH tanpa perlu berhubung dengan ALLAH. Lalu hasilnya juga sama yakni hukum dapat didaulatkan secara bertulis di mahkamah-mahkamah dalam negara tetapi tidak ditaati sepenuhnya oleh masyarakat. Hasilnya masyarakat tidak berubah.

Hasilnya, ciri-ciri masyarakat dalam negara Islam itu hampir tiada bezanya dengan ciri-ciri masyarakat dalam negara sekular. Sehingga kita tidak nampak apa istimewanya negara Islam dengan negara bukan Islam. Begitulah akibatnya jika kita mengambil teknik yang sama dalam memperjuangkan dua undang-undang yang berbeza. Tamsilannya ialah seperti kita memilih jalan yang sama untuk sampai ke dua tempat yang berbeza. Al hasil, kita sampai ke tempat yang sama juga.

Jika kita katakan Islam mampu menyelesaikan masalah manusia, tentunya kita mempunyai cara tersendiri supaya undang-undang itu benar-benar menyelesaikannya. Rahsianya ialah undang-undang itu ditegakkan atas dasar taat dan patuh pada ALLAH dan bukan kerana yang lain .

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer