Jadikan Allah , Rasulullah Saw Dan Orang Mukmin Sebagai Pemimpin(1)

Kuliah Umum


22/11/2006

Allah berfirman dalam Al Quran:
Terjemahannya: "Sesungguhnya pemimpin kamu itu adalah Allah dan Rasul dan orang-orang Mukmin yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan mereka rukuk pada Tuhan. Barangsiapa yang menjadikan Allah, Rasul dan orang Mukmin sebagai pemimpin itulah yang sebenarnya parti Allah. (Ketahuilah olehmu bahawasanya parti Allah pasti akan mendapat kemenangan." (Al-Maidah: 55-56)

Di dalam ayat ini disebut 3 kategori pemimpin iaitu : Allah , Rasulullah Orang Mukmin, iaitu orang mukmin yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan yang rukuk kepada Allah, yang tunduk dan patuh pada Allah.

Mengapa Tuhan mengatakan Allah, Rasul dan juga orang mukmin itu sebagai pemimpin? Sebab Allah itu bukan dari jenis makhluk, Dia Zat yang Maha Suci, yang Maha Suci daripada menyerupai segala jenis makhluk-Nya. Di antara makhluk yang utama ialah manusia yang Allah ciptakan untuk menjadi hamba dan khalifah-Nya di muka bumi. Manakala makhluk yang lain itu Tuhan ciptakan untuk menjadi alat dan menyokong tugas khalifah, bukan untuk Allah. Allah tidak memerlukan apa-apa dari ciptaan-Nya.

Oleh kerana Allah adalah pemimpin yang bukan jenis manusia, maka segala arahannya diberikan melalui perantaraan manusia iaitu Rasulullah. Maha Suci Tuhan daripada melakukan perbuatan seperti manusia. Tuhan menyuruh manusia bersolat, Maha Suci Tuhan daripada bersolat, atau melakonkan solat sampai orang faham. Segala perintah, suruhan dan larangan Tuhan tentu Tuhan tidak akan lakonkan perintah itu untuk mengajar manusia.

Sebab itu Allah melantik pemimpin yang mewakili Dia dari jenis manusia juga. Mereka itulah para rasul. Jadi Allah memberi perintah dan larangan atas dasar ilmu, lalu Rasul yang melakukan dan mencontohkan arahan dan perintah Tuhan itu, dan pengikut-pengikutnya hanya bersandar pada apa yang dicontohkan oleh Rasul. Kalau bukan Rasul yang melakukan dan mencontohkan arahan dan perintah Tuhan itu, orang lain tidak tahu bagaimana hendak melakukan perintah suruhan dan larangan itu.

Kerana itu penting adanya Rasul sebagai penghubung manusia dengan Tuhan. Itulah hikmahnya Tuhan lantik Rasul untuk melakukan dan mencontohkan arahan, perintah dan larangan Tuhan. Tanpa contoh dan teladan dan Rasul kita tidak dapat melakukan perintah-perintah dan larangan-larangan Tuhan yang diberikannya melalui wahyu. Kita tidak dapat memisahkan Tuhan dan Rasul.

Sebab itu bila hendak masuk Islam mesti membaca dua kalimah syahadat sekali. Perlu menerima Allah sebagai Tuhan dan Muhammad sebagai Rasulullah. Pemimpin manusia yang sebenar adalah Allah, tetapi Dia bukan sejenis dengan makhluk. Supaya manusia faham semua arahan dan larangan Tuhan, dia memerlukan contoh yang dapat dilakukan oleh pemimpin yang berjenis manusia juga. Kalau tidak ada Rasulullah, manusia tidak tahu dan tidak faham bagaimana hendak melaksanakan seluruh perintah dan larangan Tuhan.

Sebab itu dalam syahadat digabungkan kesaksian terhadap Allah sebagai Tuhan dan Muhammad sebagai Rasulullah. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya Rasulullah bagi kehidupan manusia. Dalam ayat tadi disebut bahawa pemimpin itu bukan Rasulullah saja, tetapi setelah Rasulullah, disebut juga orang mukmin yang mendirikan solat.

Di sini disebut pemimpin yang `mendirikan` solat bukan yang sekadar `mengerjakan` solat, tapi pemimpin yang dapat menghayati dan menjiwai solat. Seorang pemimpin itu dia bersolat di mana-mana saja. Di dalam bilik, di pasar, di masjid, di pejabat, di tempat bekerja, di kampung dan di bandar dia solat.
Ertinya, seluruh tindak-tanduknya di mana saja dia berada melambangkan ikrarnya di dalam solat. Itulah yang dimaksudkan dengan bersolat di mana-mana
.

Sebab itu dikatakan aqimussolah, ertinya dirikan solat, bukan dikatakan orang yang bersolat. Jadi dan ayat ini jelaslah bahawa selepas Rasul, ada manusia yang menjadi pemimpin yang bukan Rasul, tetapi menjadi bayangan Rasul. Tauhidnya, rasa bertuhannya, ibadahnya, akhlaknya dan seluruh aspek kehidupannya benar-benar mencontohi Rasulullah. Dia solat di mana-mana, ertinya seluruh tindakannya menggambarkan ajaran solat. Manusia seperti ini yang mesti dijadikan pemimpin oleh umat Islam. Siapa yang menjadikan Allah, Rasul dan orang mukmin bayangan Rasul sebagai pemimpin maka dia berada dalam parti Allah. Walau tidak disebut sebagai parti Islam, tetapi kalau ciri-ciri ini ada dalam parti atau organisasi tersebut, automatik dia jadi parti Islam. Tetapi jika disebut sebagai parti Islam atau parti Allah tanpa ada ciri-ciri itu, ertinya parti atau organisasi itu bukanlah parti Allah, bahkan mereka sudah mempersenda dan mempermainkan Tuhan.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer