Istighasa Kubra


16/03/2006

Istighasa ertinya meminta pertolongan. Istighasa kubra ertinya meminta pertolongan dalam perhimpunan yang besar atau ramai. Sesungguhnya di sisi Allah SWT bukan soal ramai atau bersendirian. Di sisi Tuhan ialah siapa di antara umat Islam ini yang dipandang oleh Allah. Siapa yang rintihan hatinya `didengar` oleh Tuhan. Siapa pengaduannya yang diberi perhatian oleh Allah SWT. Kalau kubra sekalipun tetapi tiada seorang pun yang dipedulikan oleh Tuhan maka tidak akan berhasil. Tetapi kalau seorang diri sekalipun andainya cukup syarat, permintaannya akan melimpah ruah kepada orang lain.

Oleh kerana Allah SWT sangat `memandang` kepada Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz, bukan sahaja manusia hidup aman sejahtera malah melimpah barakah dan kemuliaannya kepada alam lain termasuk haiwan di mana serigala boleh sekandang dengan kambing, kucing boleh bermain dengan anjing. Sebaliknya pula bukan sahaja tidak terjadi kepada serigala, kambing, kucing, anjing boleh tidak bermusuh, malah satu bumbung suami, isteri, anak-anak, adik beradik pun bercakaran. Betapalah satu negara yang memiliki seribu satu macam fahaman, ideologi, sikap dan perangai.

Sebagai untuk menghampirkan kefahaman dan bukan untuk menyamakan Allah SWT dengan makhluk, maka dipaparkan di sini satu perbandingan:

1. Sesorang yang memusuhi seorang yang lain, kemudian pergi meminta pertolongan dengan musuhnya itu.
Manusia yang memusuhi Tuhan dengan berbagai kemungkaran dan maksiat. Meninggalkan sembahyang, melakukan maksiat, perintah-perintah Allah ditinggalkan, larangan Alah selalu dilanggar, hidup dalam derhaka dan berbagai-bagai lagi, tidak akan mendapat pertolongan Tuhan. Kalau diberi juga itu dinamakan istidraj yakni pemberian yang boleh membawa kepada laknat dan kemurkaan Allah SWT.

2. Seorang yang meminta pertolongan daripada seorang yang lain yang tidak dikenalinya .
Manusia yang tidak kenal Tuhan, tidak mempedulikan dan tidak menghiraukan Tuhan ada dua kemungkinan yang boleh berlaku. Pertama ialah salah tempat meminta, ertinya permintaannya tidak sampai kepada Tuhan yang tidak dikenali. Kedua, Allah SWT tidak menolongnya kerana tidak cukup syarat iaitu mengenali Allah SWT.

3. Saling kenal mengenal tetapi tidak akrab.
Permintaan kepada Tuhan dari orang bertaraf awam terpaksalah memohon, merintih, merayu dengan bersungguh-sungguh.Mestilah disertakan dengan memenuhi syarat iaitu membaiki diri dengan meningkatkan taqwa dan menjaga syariat.

4. Seorang yang saling kenal dan mengenali yang sangat akrab.
Allah SWT menjanjikan bantuan dan pertolongan dengan syarat sebagai hamba iaitu meminta. Ini adalah orang yang hampir dengan Tuhan.

5. Kekasih atau orang-orang yang amat disayangi umpama ibu ayah kepada anak-anak. Sentiasa ditolong tanpa diminta.
Allah SWT menjanjikan pembelaan, pertolongan, kemenangan, dipermudahkan segala urusan, diselesaikan segala masalah serta dicukupkan rezeki. Ini adalah para siddiqin. Tanpa diminta pun Tuhan janjikan pertolongan dan bantuan, hanya dengan syarat hamba perlu meminta, seumpama Rasul yang tidak pernah meninggalkan doa.
Kehadiran para siddiqin ini bukan sahaja dirinya dijamin pertolongan malah orang lain pun turut dibantu oleh Tuhan kerana limpahan barakah dan kemuliaannya.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer