Isteri Derhaka??


26/11/2005


Pilih Isteri Yang Mana Satu?

MEMANG jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Tetapi tidaklah bermakna usaha dan ikhtiar langsung tidak diperlukan. Ertinya sesudah berikhtiar semampu mungkin, maka selepas itu terpulanglah pada Allah apa yang hendak ditakdirkan-Nya.

Perkahwinan adalah penting. Ia adalah suatu pembentukan awal sebuah masyarakat kecil yang akan berlanjutan ke anak cucu dan turun temurun. Dan ini sesuai pula dengan fitrah semulajadi manusia, iaitu memerlukan pasangan di dalam hidupnya. Oleh itu merancangkan satu perkahwinan yang tepat dan baik adalah ikhtiar yang tidak boleh dipandang kecil. Hal yang paling penting ialah mencari jodoh. Siapakah bakal isteri atau suami yang bakal dipilih? Yang mana kalaulah terjadi salah pilih, maka kesannya sangatlah buruk, terpaksa menanggung derita dan seksa di dunia hingga Akhirat. Tiada bahagia dan kasih sayang.

Rasulullah SAW sudah berpesan tentang syarat memilih isteri. Sabda baginda yang bermaksud: Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara. Kerana harta, rupa, keturunan dan agamanya. Maka pilihlah yang baik agamanya. Fahamlah kita bahawa syarat penting memilih isteri atau suami ialah yang beragama. Dengan kata lain yang beriman dan yang mengamalkan syariat Islam. Kalau syarat ini ada barulah kita fikirkan tentang hal-hal lain seperti rupanya, kekayaannya, keturunannya dan lain-lain. Tidak ada syarat lain lagi yang lebih baik daripada apa yang dikatakan oleh baginda itu.

Sebab, wanita beriman, walaupun dia kaya atau cantik, nescaya dia tetap merendah diri pada suaminya. Tidak akan dikecilkan hati suaminya lebih-lebih lagi dia tidak akan derhaka pada suami. Sebaliknya wanita yang cantik pada wajahnya tetapi tidak beriman selalunya membuatkan suaminya berkeadaan serba salah. Begitu juga wanita kaya yang tidak beriman, biasanya akan memperbudakkan suaminya. Ini selalu terjadi di dalam masyarakat kita hari ini. Oleh kerana mereka berkahwin bukan kerana Allah, memilih pasangan pula bukannya kerana agamanya, tetapi kerana jawatan, gaji, rupa dan lain-lain, ditambah dengan cara kenduri kahwin penuh kefasikan, maka hasilnya terjadilah seperti apa yang terjadi sekarang.

A. Kalau isteri berjawatan tinggi atau seorang yang terkenal maka rumahtangga mereka akan berada dalam keadaan:

1. Suami sering merasa hina diri (inferiority complex) terhadap isteri.
Isteri tidak melayannya dengan sepatutnya, maklumlah sibuk dengan tugas dan sibuk melayan orang lain. Suami selalu tinggal sendiri. Kalau isteri ada di rumah pula dia merasai berhadapan dengan orang besar, yang dihormati ramai, maka masakan mudah baginya untuk mengajak isteri bermesra-mesra dan melayannya dengan baik. Kerana itu hiduplah suami dalam keadaan kesunyian selalu dengan rasa rendah diri. Kebahagiaan bersuami isteri dan berkasih sayang tidak akan terasa lagi.

2. Oleh kerana isteri biasa mengarah-arahkan pekerja bawahannya atau orang ramai maka tentu dia terbawa-bawa ke rumah, yakni suka mengarah suaminya. Apa lagi kalau suaminya berjawatan kecil, sepertilah orang bawahannya. Maka dalam keadaan apa pun suami, akan rasa hina diri. Mengalah sajalah suami. Ikut sahaja apa isteri kata. Kalau pun kadang-kadang ia tidak suka dengan perkara itu, ditekan-tekan rasa. Pendeknya jadual rumahtangga akan diatur oleh isteri.
Kita balik kampung bang.
Kita keluar bang.
Malam ini jangan kacau I bang, I letihlah, dan sebagainya.
Bila suami ajak ziarah emak di kampung, dia jawab, Saya ada mesyuarat esok, tak boleh cuti!
Kadang pula suami ajak pergi kenduri kahwin, dijawab, I ada appointment petang ni.
Sewaktu-waktu pula suami ajak ke bilik tidur dia jawab, I nak siapkan speech untuk esok. Abang masuklah dulu!
Isteri jadi tuan. Suami jadi khadam. Orang yang tidak tahu mereka itu suami isteri akan menyangka suami itu orang gajinya.

3. Isteri sentiasa keluar. Siang keluar, malam keluar. Bila balik, sudah letih. Maka suami akan menjadi orang bujang. Ada isteri macam tidak ada isteri. Sebab dia tidak dapat miliki isteri itu. Hanya boleh dipandang-pandang, boleh dipegang-pegang sekali-sekali. Tetapi tidak boleh dikawal mengikut kehendak suami.

4.Oleh kerana isteri ada jadual sendiri dan ada pandangan sendiri, maka selalunya arahan suami akan dibahas dan dipertikaikan. Suami jarang merasai isterinya taat padanya. Pun jarang si isteri meminta keizinannya untuk melakukan sesuatu.

5. Isteri tidak rasa bersandar hidup dengan suami. Biasanya seorang isteri bergantung hidup, nafkah dan tanggungjawab pada suami. Tetapi kerana isteri berjawatan, ia rasa lebih dari suaminya, maka isteri tidak lagi bersandar pada suami. Ia tidak memerlukan apa-apa dari suaminya; tiada istimewa dan tidak ada kelebihan apa-apa untuk dia bersandar hidup. Hatta kalau suaminya menceraikannya pun dia tidak rasa bimbang apa-apa. Maka dia berani buat apa yang disukainya terhadap suaminya.

B. Kalau isteri lebih pandai dari suami maka:

1. Isterinya akan membuatkan suami sentiasa rasa hina diri dan rendah diri, kerana isterinya akan banyak mengajarnya. Bukannya suami mendidik isteri tetapi berlaku sebaliknya. Kalau suami buat apa-apa yang silap atau tidak tepat selalulah kena komplen atau diketawakan oleh si isteri. Hendak marah atau hendak merajuk pun takut pula kena leter dengan isteri, maklumlah isteri bijak. Al hasil suami sentiasa rasa diperkecil-kecilkan oleh isteri. Dirasa dirinya sentiasa rendah di samping isterinya. Kasih sayang dan kebahagiaan yang layak bagi seorang suami tidak dapat dirasainya lagi.

2. Isteri tidak yakin dengan sikap, cakap dan arahan suami, maka dengan sebab itu dia tidak boleh taat pada suaminya. Kalau taat pun hanya atas dasar patuh.

3. Isteri berani untuk mengarah, menentang dan marah-marah pada suami. Si suami pula, kerana selalu rasa dikalahkan, tidak akan boleh mengawal keadaan begini, maka terjadilah suami mengikut kata isteri, suami ikut cakap isteri. Hidup suami diatur oleh isteri.

4. Suami tidak akan memberi apa-apa maklumat dan tunjuk ajar pada isteri, disebabkan dia rasa malu pada isterinya yang lebih pandai darinya. Oleh kerana kebiasaan isterinya menyanggahnya maka dia bimbang kalau-kalau maklumat atau ceritanya akan disanggah lagi atau dipandang kecil oleh isteri. Kerana itu selalunya isterilah yang banyak cakap, suami menurut saja. Ertinya suami belajar dengan isteri.
5. Kemuncak dari itu, ialah suami takut untuk membuat arahan atau permintaan pada isteri. Tegasnya suami akan takut pada isteri.

C. Kalau beristeri cantik dan isteri sedar dan bangga dengan kecantikannya, maka suami akan selalu kalah dengan kehendak isteri. Si suami pula suka akan kecantikan isteri, dia menyayangi isterinya atas dasar isterinya cantik. Maka jadilah keadaan di mana segala kehendak isteri diikutnya. Isteri tentu sedar akan hal ini maka diambil kesempatan untuk mengarahkan suaminya, ikut ragam dan kerenahnya. Minta itu minta ini, arah itu arah ini. Kalau tidak dapat, merajuk, meragam dan merengek-rengek. Kalau kemahuannya tidak diikut dia mengugut hendak balik kampung atau minta cerai. Dia tahu suaminya tidak akan menceraikannya. Si suami pula kerana terlalu sayang, ikut saja. Bukan senang hendak dapat isteri cantik. Tetapi hati menderita. Bak kata orang, mata sedap hati sakit. Ibarat buah kepayang ditelan pahit dibuang sayang. Hal ini jarang berlaku pada wanita-wanita yang tidak cantik. Mereka tidak berani meragam sebab mereka tahu suaminya boleh menceraikannya, cari yang lain.

D. Kalau beristeri kaya, suami akan jadi hamba, sebab si suami bersandar rezeki pada isteri. Isteri jadi bos, boleh buat apa saja arahan yang disukai. Oleh kerana rasa termakan budi, suami merasai tidak patut pula kalau tidak menurut arahan isterinya. Akhirnya diperhambakan isteri. Dalam keadaan itu suami akan rasa rendah dan hina diri dan tidak beranilah si suami berlaku sebagai ketua rumahtangga untuk mengarahkan itu dan ini. Maka akhimya isterilah yang jadi ketua rumah, jadi queen control. Jadual dan program isteri yang tentukan. Suami mengiyakan sahaja.

E. Kalau beristeri yang tidak kaya, tidak pandai, tidak tinggi jawatan, hanya biasa saja yakni setaraf dengan suami atau lebih rendah lagi tidaklah susah sangat suami dibuatnya . Isteri itu terpaksa bersandar sepenuhnya dengan suami. Dan dia pula tidak boleh memberi apa-apa pada suami, dan dirasai suaminya lebih daripadanya, ada kekuatan dan keistimewaan. Maka mudahlah dia hormat dan taat. Selamatlah hati suami. Namun ketaatan ini bukanlah ketaatan yang suci murni, kerana dibuat dengan terpaksa. Yang mana kalaulah isteri itu kaya misalnya, nescaya dia turut menyusahkan suaminya juga. Ada waktu-waktunya isteri akan ingkar juga dengan suaminya, terutama di waktu suami ada salah silapnya. Iaitulah wanita yang tidak beriman yang selalu menyusahkan suami. Suami tidak rasa terhibur dengan isteri.
Rasa bahagia, mesra dan kasih sayang dengan isteri semakin hilang dari hari ke hari. Suami merasai lebih bahagia kalau berada di luar rumah atau jauh dari isteri. Setiap kali hendak balik ke rumah, suami cemas menanti apa pula ragam si isteri. Soalan apa yang akan ditanya. Apa pula yang akan dirungutkan, apa yang akan dimintanya. Panjang mana pula leter yang akan didengar. Semasam mana pula mukanya dan macam-macam lagi ragam dan kerenah yang akan dihadapi.
Pernah berlaku seorang suami tiba-tiba saja menghulur lima puluh ringgit pada isterinya.
Hadiah, katanya.
Hairan isterinya kerana kejadian yang tiba-tiba itu.
Hadiah apa ni?
Maka berkatalah suaminya, Hadiah kerana tadi ketika saya tiba ke rumah, awak sambut baik, tak tanya itu ini macam selalu.
Padaha1 biasanya kalau saya tidur di luar, pagi baru balik, awak tak gini. Sebab itu dalam perjalanan balik tadi saya sudah bimbang apa nak jadi. Rupa-rupanya awak sudah berubah. Itu pasal saya hadiah lima puluh ringgit.
Isterinya pun tersipu-sipu. Itulah cerita isteri yang sedang dididik dengan iman. Suami keluar dakwah, kadang-kadang tidak balik. Maka sedikit sebanyak sudah boleh menerima keadaan itu, boleh bersabar dengan ujian kesusahan. Tetapi kalaulah tidak dididik dengan iman, mustahil seorang isteri boleh bermanis muka dengan suami di waktu dia sendiri sedang berduka.
Isteri solehah akan sentiasa berfikir untuk memberi kebahagiaan kepada suaminya, dalam apa jua keadaan pun, akan sanggup mengorbankan dirinya untuk menghiburkan suami demi mengharap kasih sayang Allah dan syurga-Nya.

Lihatlah sejarah seorang wanita Mukmin, ketika anaknya meninggal dunia, ditutup mayat itu baik-baik menunggu suaminya pulang. Bila kembali suaminya dia tidak terus mengadu kejadian malang itu tetapi dihiburkan, dilayan suaminya hinggalah selesai suami menunaikan hajatnya barulah dia bertanya,
Abang, kalau kita diberi pinjam sesuatu, adakah kita kena memulangkan barang itu kepada tuan punyanya?
Tentu sekali, jawab suaminya.
Kemudian dia menyambung, Allah telah meminjamkan kita seorang anak. Tapi sekarang Allah ambil kembali anak itu dari kita.
Innalillahi wa inna ilaihi raajiuun, kata suaminya dengan tenang.
Maka barulah ditunjukkan mayat anaknya pada suaminya. Begitulah mampunya wanita solehah menenangkan hati suaminya. Bukan memekik, melolong, menangis, merapu dan mengungkit itu ini hingga suami jadi dua kali susah. Susahkan ujian yang berlaku, susahkan sikap isteri.

Hari ini mana ada wanita solehah yang mengorbankan diri untuk kebahagiaan suami demi mengharapkan keredhaan Allah dan nikmat Syurga di Akhirat kelak. Yang ada ialah wanita-wanita yang selalu menyusahkan suami untuk keuntungan dirinya kerana semata-mata memuaskan diri dan nafsunya. Sebenarnya perkara-perkara yang disenaraikan di atas, tidak ada atau kurang berlaku kalau kita beristerikan wanita solehah. Sekalipun wanita itu berpangkat tinggi, bijak bistari, cantik molek, kaya raya, namun dia tetap taat dan merendah diri pada suaminya. Suka berkhidmat, menyelesaikan masalah suami (bukannya membuat masalah) bahkan semua miliknya ditukar geran menjadi milik mutlak suaminya.

Lihat Sayidatina Khadijah, Sayidatina Aisyah dan Siti Fatimah Az Zahrah. Semua kekayaan, kepandaian, dan jiwa raganya dikorbankan untuk membantu perjuangan Rasulullah SAW. Siti Khadijah yang asalnya hartawan Quraisy, tetapi setelah menjadi isteri Rasulullah, habis hartanya diserahkan, untuk menyumbangkan pada agama Allah. Hingga waktu wafat beliau, tempat tinggalnya hanya satu bilik usang berpintu satu .

Sayidatina Aisyah, Ummul Mukminin selaku pembantu kuat Rasulullah, turut giat sama berjuang dengan mengorbankan segala kebolehannya kepada perjuangan suaminya. Sesudah wafat Rasulullah, dia bertindak selaku mahaguru kepada para Sahabat besar.

Siti Fatimah binti Rasulullah adalah isteri yang rela miskin dan bersusah payah untuk Islam, pun begitu dia tetap dapat memberi senyum manis pada suaminya. Itulah ciri dan contoh wanita beriman. Wanita beginilah yang mesti kita sediakan untuk diperisterikan. Agar rumah-tangga kita nanti adalah syurga kecil yang sementara, yang menjadi sumber tenaga buat kita berjuang mendapatkan Syurga yang maha besar lagi kekal abadi di Akhirat nanti.

Antara wanita cantik dengan wanita berakhlak Perempuan cantik tapi berakhlak jahat, derhaka suami, adalah ibarat bunga raya, cantik tetapi tidak harum baunya. Sebaliknya perempuan yang tidak cantik tapi berakhlak mulia, taat Allah, taat suami, ibarat bunga cempaka, tidak cantik tapi wangi baunya. Antara bunga raya dan bunga cempaka, bunga cempaka lebih diminati. Sebab itu kita tengok bunga cempaka dijual dan dipakai tapi bunga raya tidak dijual dan dipakai. Keutamaan perempuan sama ada cantik atau tidak cantik adalah pada akhlaknya, taqwanya dan taatnya pada suami. Perempuan cantik tidak berakhlak dan tidak taat adalah menyakitkan hati suami walaupun sedap mata memandang. Perempuan tidak cantik pula kalau tidak berakhlak dan tidak taat, menyakitkan hati dan menyakitkan mata. Sebab itu usah bangga dengan rupa dan usah risaukan sangat hal rupa paras yang tidak cantik. Tetapi berlumba-lumbalah untuk menjadi wanita yang bertaqwa, berakhlak mulia dan taat suami. Kalau ini ada, nescaya Allah sayang, suami sayang dan semua manusia sayang. Bukankah itu yang menjadi cita-cita dan keinginan setiap wanita?

pilih isteri yang mana? suami??

bagaimana pula juga suami yang mendapat seorang isteri yang berjawatan dan berkedudukan tinggi mengambil kesempatan atau lepas tangan dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang suami... sekarang ni pun ramai lelaki yang mencari calon isteri yang kaya dan berkedudukan untuk menyenangkan hidupnya hingga lupa tanggungjawab sebenar sebagai suami.
keadaan menjadi terbalik dimana isteri bekerja mencari rezeki, manakala suami di rumah duduk senang lenang & bersuka ria. kalau isteri menjadi suri rumahtangga, sekurang2nya melakukan kerja-kerja rumah dan tanggungjawab mengasuh anak2. tetapi kalau suami tidak bekerja, kerja rumah pun tak buat, anak-anak tak nak dijaga.. akhirnya segala tanggungjawab dan beban terpaksa dipikul oleh isteri. dialah isteri yang menguruskan rumah tangga dan anak2, dialah suami yang keluar mencari rezeki untuk menampung keluarga. di mana peranan suami??? suami tidak akan menceraikan isterinya kerana ia bergantung hidup pada isteri tetapi dimana tanggungjawabnya sebagai seorang suami?? Adakah isteri boleh mohon fasakh?
selalu apabila ditanyakan persoalan ini kepada yang berkenaan maka apa yang selalu dikatakan hanyalah menyuruh isteri bersabar, mudah-mudahan suami akan berubah kelak... adakah hanya isteri sahaja yang perlu bersabar dan menannggung derita dan beban selalu. suami selalu diberi peluang yang lebih luas dan bebas. kalau tak kerja tapi mempunyai perangai yang baik mungkin isteri boleh bersabar. tapi dah lah tak bekerja & menyusahkan isteri ditambah pula perangainya yang buruk seperti baran, suka menghina & mengeluarkan kata-kata kesat. adakah isteri perlu bersabar lagi?

sekian. wassalam.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer