Islam Secara Global Atau Syumul


18/03/2006

Mari kita bersama-sama mengenali Islam secara global yang ringkas dan intensif sebagai ilmu pengetahuan dan untuk mengukur diri kita, keluarga kita, seterusnya masyarakat dan negara.
Sejauh mana Islam secara syumul itu telah diamalkan di dalam kehidupan sama ada di peringkat individu, rumahtangga, masyarakat dan negara.

Islam adalah agama syumul atau global yang berlaku di dalam empat peringkat

1.Global pada individu
2.Global di dalam keluarga,
3.Global di dalam masyarakat atau jamaah
4.Global pada peringkat negara

Syumul peringkat individu tidak sama dengan global di dalam keluarga,global di dalam keluarga tidak sama dengan syumul di dalam masyarakat.Syumul di dalam masyarakat tidak sama dengan global di dalam negara.

Mari kita mengenal Islam secara global di setiap peringkat.

Global pada individu

a) Dia hendaklah mengetahui dan meyakini rukun iman secara ilmu. Iman itulah yang menjadi aqidah dan pegangannya terutama Tuhan dicintai atau ditakutinya. b) Faham rukun Islam yang lima serta mengerjakan dan menghayatinya.
c) Tahu sifat-sifat mahmudah yang sepuluh seperti ikhlas, sabar, pemurah, amanah, tawadhuk, pengasih, tawakkal dan lain-lain.Terbangun di dalam jiwanya sifat-sifat mahmudah itu.
d) Faham juga sifat-sifat mazmumah yang menjadi lawannya dan membuangnya
seperti pemarah, hasad, dendam, sombong, riyak, sum`ah, bakhil, tamak dan lain-lain
e) Faham halal haram dalam makan minum, pakaian, pergaulan dan lain-lainnya
f) Faham dosa-dosa besar dan kecil serta menjauhinya
g)Faham cara bersuci dan tahu mandi hadas

Global di dalam keluarga dan rumahtangga

a) Suami atau ayah sebagai pemimpin keluarga,mendidik, menjadi imam sembahyang
dan bertanggungjawab makan minumnya, pakaian dan tempat tinggalnya secara halal.Dia tempat rujuk keluarga, dihormati dan ditaati
b) Isteri atau ibu membantu suami di dalam mengurus anak-anaknya dan tempat anak-anak bermanja

Satu sama lain berkasih sayang dan bekerjasama, nasihat-menasihati, maaf-bermaafan, bertolak ansur dan berlapang dada.

Masyarakat global atau jamaah global

a) Masing-masing pula hormat-menghormati, bertolong bantu, bekerjasama di antara jiran dengan jirannya dan penduduk setempat
b) Maruah dan nama baik satu sama lain kenalah dijaga
c) Ziarah-menziarahi terutama di waktu kematian dan kesusahan
d) Keaiban jiran, penduduk setempat jangan dibuka
e) Orang miskin tidak meminta-minta dan menjaga maruahnya
f) Orang-orang kaya pula sentiasa membantu dan menolong orang-orang susahnya
g) Pemimpin masyarakat atau jamaah laksana ayah bertanggungjawab kepada masyarakatnya atau jamaahnya. Menjadi imam di dalam masyarakat, mendidik anggota masyarakat atau anggota jamaah dan berlaku adil pula. Kasih sayang kepada orang bawahnya dan tempat rujuk orang ramai di dalam masyarakatnya atau di dalam jamaahnya.Kalau adalah masalah dan perbalahan dialah yang menyelesaikannya.
h) Tetamu yang datang di dalam masyarakat dihormati dan dilayan dengan baik. Masing-masing berebut-rebut hendak membawa ke rumahnya.
i) Bahkan musafir yang kehabisan belanja masing-masing memberi dan membantunya
j) Kebaikan sama-sama ditegakkan, kejahatan sama-sama ditolak
k) Ulamak-ulamak di tempat itulah menjadi petunjuk dan menjadi ikutan kerana wibawanya. Menjadi obor di masyarakatnya, masyarakat mendapat cahaya kehidupan dari mereka.
l) Adanya usaha-usaha untuk menghasilkan makan minum, pakaian, tempat tinggal, keperluan-keperluan masyarakat, tempat pendidikan kerana ia adalah fardhu kifayah.

Global peringkat Negara

a) Pemimpin ada wibawa kerana ketaqwaannya. Dia ditaati, dihormati dan disayangi bahkan tempat rujuk rakyatnya. Rakyat dikasihi, dipertanggungjawab dan diberi keadilan yang saksama.
b) Di dalam negara adanya berbagai-bagai sistem kehidupan demi untuk membawa umat hidup yang berkasih sayang, berdisiplin, murni dan harmoni.
c) Al Quran dan Hadis adalah menjadi perlembagaan negara dan adanya sistem pendidikan yang membawa umat mencintai Tuhan dan mengagungkan-Nya.
d) Menghormati ibu bapa, guru-guru dan berkasih sayang sesama warganegara
e) Adanya sistem ekonomi yang sihat, bersih daripada riba dan penindasan
f) Adanya sistem pentadbiran yang berasaskan ikatan hati dan jiwa hingga dasar yang ditulis berjalan dengan baik dan penuh kerjasama, tiada khianat dan kecuaian di dalamnya.
g) Adanya sistem perhubungan untuk kemudahan kehidupan rakyatnya dan tempat-tempat tinggal yang selesa yang sesuai di zamannya.
h) Adanya ketenteraan dan kepolisian yang dapat menjaga maruah agama, bangsa dan negara kerana pengawal-pengawal negara itu orang-orang yang bertaqwa pula
agar tidak terjadi pagar makan padi.
i) Sistem politiknya bersih, tiada jatuh-menjatuhkan dan tiada khianat-mengkhianati
j) Adanya sistem mahkamah yang bebas, hakim-hakimnya orang yang bertaqwa
hingga keputusan atau hukum yang dijatuhkan adil dan bertanggungjawab tiada rakyat yang teraniaya dan terzalim.

Begitulah seterusnya adanya sistem-sistem yang lain yang tidak perlu diperkatakan di sini. Selagi ia diperlukan oleh negara dan rakyat di zamannya kenalah diwujudkan semuanya itu termasuk fardhu kifayah.

Setelah kita mempelajari global Islam di semua peringkat, untuk hendak mencari global di dalam individu pun payah wujud di zaman ini.Kerana itulah kerosakan dan gejala di dalam masyarakat berleluasa.Kerana itulah memperjuangkan negara hanya sia-sia sahaja. Sekalipun telah diberi kuasa dan dapat mentadbir negara
namun pengisian tidak berjaya.Justeru ia tidak bertapak di dalam individu setiap insan . Para pujangga ada berkata: Dirikanlah kedaulatan Islam di dalam diri kamu, nescaya ia akan dapat ditegakkan di dalam negara kamu.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer