Islam Itu Menyelamatkan Apabila Tepat Kaedahnya
28/10/2005
Tidak Boleh Maaf - PM - Hukum Pegawai Cuai Sebabkan Bank Islam rugi RM700 juta
Oleh Mustafa Kamal Basri
PUTRAJAYA 27 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Bank Islam Malaysia Berhad, mengambil tindakan ke atas pegawai-pegawainya yang cuai sehingga menyebabkan bank itu mengalami kerugian besar sebanyak RM700 juta.
Sambil menegaskan kecuaian itu tidak boleh dimaafkan kerana melibatkan kerugian yang begitu besar, Perdana Menteri berkata, tindakan tersebut perlu bagi memulih semula imej serta keyakinan pelanggan kepada bank berkenaan.
``Kita perlu mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang cuai itu supaya menjadi contoh kepada pegawai lain bahawa mereka mesti bekerja dengan tekun, cekap dan amanah,`` katanya.
Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara di sini hari ini.
ULASAN
Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Hendaklah kamu masuk ke dalam Islam secara keseluruhannya. " (Al Baqarah: 208)
Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Apakah kamu mengambil sebahagian isi kitab dan menolak sebahagian yang lain. Tidak ada balasan bagi orang yang melakukan demikian itu melain-kan akan ditimpa kehinaan di dunia. Manakala diAkhirat akan dicampakkan pada azab yang pedih. " (Al Baqarah: 85)
Firman Allah SWT lagi:
Maksudnya: "Bukan sifat mukmin lelaki mahupun perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan hukum, mereka memilih-milih (yang sesuai dengan selera mereka)." (Al Ahzab: 36)
Islam itu satu sistem keselamatan. Kalau Islam itu tidak diambil atau diamalkan keseluruhannya, akan ternafilah keselamatan yang dijanjikan oleh Islam. Kita tidak boleh beriman dengan sesetengah ayat Quran dan kufur dengan sesetengah-nya. Kita tidak boleh amalkan sesetengah ayat Quran dan meninggalkan sesetengahnya. Kita tidak boleh campur aduk-kan sistem Islam dengan sistem-sistem yang lain, dan kemudian menuntut keselamatan dari Tuhan.
Sistem Islam itu adalah penawar. Sistem-sistem yang lain adalah racun. Kita tidak boleh campurkan racun dengan penawar dan kemudian menganggapnya sebagai ubat. Kalau kita berbuat begitu, bukan sahaja penyakit yang ada tidak akan sembuh, bahkan akan timbul pula berbagai-bagai penyakit yang lain.
Kalau kita berjaya mengamalkan Islam keseluruhannya iaitu berjaya menegakkan cara hidup dan tamadun Islam, baik yang lahir mahu pun yang batin, maka Tuhan janjikan apa yang difirmankan Allah SWT dalam Quran:
Maksudnya: "Negara aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan." (As Saba`: 15)
- 1631 reads
Post new comment