Islam Itu Keselamatan, Hadhari Itu Islam Yang Maju Dan Makmur


13/09/2006

Abdullah mahu Barat hindari Islamophobia
Daripada ZAINI HASSAN Utusan Malaysia

HELSINKI 12 Sept. Di saat-saat dunia sedang mengingati peristiwa 11 September serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan Barat supaya tidak membenarkan politik ketakutan menguasai pemikiran mereka terhadap orang Islam.

Perdana Menteri berkata, Islamophobia - ketakutan kepada Islam - harus ditolak daripada menguasai hubungan antara rakyat dan negara serta jurang kejahilan antara dunia Barat dan dunia Islam harus disambung semula.

Saya sedar kita bertemu hari ini semasa ulang tahun 11 September, tapi jangan benarkan politik ketakutan ini menguasai hubungan antara dunia Barat dan Islam, katanya semasa menyampaikan ucaptama pada sesi Dialog Antara Budaya dan Peradaban di Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) Ke-6 di sini, lewat petang semalam.

ASEM ialah dialog peringkat tertinggi kerajaan membabitkan dua benua itu diadakan setiap dua tahun sekali.

Sambil mengambil contoh pengalaman Malaysia, Abdullah berkata di hadapan 39 pemimpin dunia, rakyat negara itu menjadi lebih menghargai erti toleransi dan harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum setelah mengalami pengalaman pahit perselisihan kaum 1969.

Kami yakin punca akar umbinya adalah akibat ketidaksamaan dari segi penguasaan ekonomi antara masyarakat dan usaha membetulkannya dilakukan. Kami juga menekankan pentingnya pelajaran kerana ia menjamin kejayaan, kemajuan dan kesedaran.

Oleh itu kami yakin, dengan kesungguhan politik, pengalaman seperti Malaysia boleh diulang dalam bentuk yang lebih besar.

Jika kita boleh melihat dunia ini sebagai satu komuniti, merangkumi pelbagai etnik dan kumpulan agama, dan belajar daripada pengalaman dan pengorbanan mereka, saya percaya kita akan berada atas landasan bagi mewujudkan keamanan di antara perbezaan budaya dan peradaban di dunia ini, katanya.

Antara pemimpin besar yang mendengar ucaptama Abdullah ialah 25 ketua kerajaan Eropah termasuk Presiden Perancis, Jacques Chirac; Presiden Finland, Tarja Halonen serta 11 pemimpin Asia termasuk Perdana Menteri China, Wen Jiabao Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi dan Presiden Korea, Roh Moo Hyun.

Menurut Abdullah, ASEM merupakan forum yang sesuai bagi membincangkan isu itu kerana sebagai pemimpin politik yang memimpin dialog ini, ia lebih mudah meresap ke peringkat masyarakat yang lain.

Katanya, kepercayaan dan keyakinan harus diterapkan bukan sahaja di peringkat pemimpin politik antarabangsa, tetapi juga di peringkat pemimpin agama, orang awam, pemikir, pendidik dan belia.

Tetapi pertama, kami harus menerima hakikat bahawa krisis keyakinan yang saya rujuk itu menjangkaui agama. Ketidaktoleransian agama menggambarkan satu manifestasi kepada perpecahan akibat perbezaan pendapat antara Barat dan Muslim, jelasnya.

Katanya, tindakan ketenteraan terhadap Palestin, Afghanistan, Iraq dan terbaru Lebanon telah dilakukan atas nama perang terhadap keganasan.

Tetapi dunia Islam melihat ia sebagai sesuatu yang memalukan negara-negara Islam dan masyarakatnya. Kita harus menerima hakikat bahawa rasa dimalukan ini adalah akibat hilangnya rasa percaya dan yakin. Jika kita tidak menerima hakikat ini, kita akan menafikan kebenaran dan perpecahan akibat perbezaan pendapat ini akan lebih mendalam, jelas beliau.

Merujuk kepada Malaysia lagi, Abdullah berkata, kerajaannya sedang melaksanakan program bagi menghargai Islam sebagai sesuatu yang baik.

Kami memanggilnya sebagai pendekatan Islam Hadhari, satu pendekatan bagi mencapai kemajuan yang selari dengan pemodenan, tapi berakar kepada nilai-nilai murni dan mengikut ajaran Islam. Pendekatan itu telah diterima oleh semua pihak di Malaysia kerana ia menjamin keadilan dan kesaksamaan kepada semua penganut, katanya.

Bagaimanapun, apa yang beliau khuatiri ialah pihak Barat tidak menghargai peranan agama dalam kehidupan umat Islam.

Utusan.

ULASAN: Belum pernah pemimpin yang ditunjuk oleh jari di dalam sejarah dapat menegakkan keadilan. Mereka kalau ada pun paling baik hanya dapat membangun,dapat membuat berbagai-bagai kemajuan dan kemudahan di dalam negara. Belum pernah berlaku di dalam sejarah pemimpin yang dilahirkan oleh demokrasi dapat membawa kasih sayang. Kalau berlaku pada lahirnya ada kasih sayang hanya kasih sayang yang pura-pura.

Kalau begitu mengapa kita mengharapkan sangat keadilan dari seorang pemimpin yang ditunjuk oleh jari, lebih-lebih lagi apa yang kita harapkan dapat kasih sayang darinya? Padahal kita yang inginkan keadilan dari pemimpin itu, menempuh jalan demokrasi juga, menempuh jalan yang sama, hasilnya sama juga. Kalau pemimpin itu kita tukar dengan jari kita maka diganti pula pemimpin yang lain, kita akan dapat jawapannya sama sahaja.Mana boleh sistem demokrasi melahirkan pemimpin yang adil dan dapat memberi kasih sayang yang tulen.

Kalau begitu lebih baik kita didik rakyat dan asuh orang ramai membaiki diri terutama kita yang menganjurkan itu lebih dahulu membaiki diri. Moga-moga dengan itu Tuhan akan lahirkan segera pemimpin yang Allah sendiri tunjuk. Apabila Tuhan yang tunjuk pasti pemimpin itu adil dan pengasih dan penyayang.

Mana boleh kita hendak makan kuih bahulu, mengikut acuan apam balik. Mana mungkin kita tanam pokok rambutan inginkan buah durian. Tidak mungkin di kalangan rakyat yang masih jahat hendak melahirkan pemimpin yang baik. Pemimpin cara demokrasi ertinya pemimpin dari rakyat. Kalau kita baik pun dan rakyat seluruhnya masih jahat bagaimana hendak melahirkan pemimpin yang baik. Berapa banyak pemimpin yang silih berganti yang berlaku oleh sistem demokrasi hasilnya sama sahaja bahkan adakalanya yang mengganti lebih jahat lagi daripada yang diganti.

Sekalipun yang mengganti itu atau yang menang itu katanya memperjuangkan Islam . Bukankah dunia telah membuktikan berapa ramai pemimpin yang silih berganti oleh sistem demokrasi. Tidak ada seorang pun yang adil dan membawa kasih sayang.Mengapa kita tidak boleh berfikir lagi?!

Lebih baik kita memperkatakan Islam Hadhari daripada negara Islam, Islam Hadhari janganlah sesiapa salah faham, takutkan dan bimbangkan kerana ia bukan bersifat agama semata-mata yang hanya meyakinkan Tuhan dan ketuhanan serta cara penyembahan. Janganlah hendaknya jika negara mengajak kepada Islam Hadhari ada yang mengertikan mengajak semua kaum dan bangsa masuk Islam. Yang bersifat agama masing-masing boleh pertahankan, pegangan masing-masing tentang Tuhan dan penyembahan tanpa paksaan, itu adalah hak asasi setiap insan.

Bahkan kalau ada orang tidak percaya Tuhan pun tidak ada sesiapa pun boleh paksa tinggalkan keyakinannya demikian. Agama adalah hak peribadi setiap insan yang ini janganlah dibimbangkan. Tapi di dalam kepentingan bersama di dunia di sebuah negara untuk semua kaum
dan bangsa, semua orang boleh mencari jalan keselamatan dan keharmonian. Kerana itulah di dunia hari ini, setiap dasar negara asas-asasnya bukan dari negara berkenaan. Masing-masing negara mengambil asas-asas dan sistem negara masing-masing untuk diundang-undangkan mengambil di mana-mana sahaja yang boleh membawa keadilan dan keselamatan.Tidak pula kaum dan bangsa di negara itu persoalkan dan menentang.

Saya membawa beberapa contoh sebagai pengetahuan

Rata-rata negara di dunia asas undang-undang negara itu mengambil dari undang-undang dan sistem Islam yang silam di zaman gemilangnya. Baratlah yang mengambil lebih dahulu untuk panduan kemudian undang-undang dan sistem mereka itu dari masa ke semasa diubah dan disesuaikan dengan keadaan dan perubahan zaman. Tidak pula kaum dan bangsa yang ada di barat menentang dan persoalkan kerana itu adalah kebaikan. Tidak pula ada yang mengatakan mengapa kita dipaksa atau mesti masuk Islam! Mengambil peraturan dan sistem hidup itu tidak boleh dikatakan masuk Islam. Ini adalah satu kenyataan yang sangat terang dan satu fakta yang tidak boleh dipertikaikan.

Memanglah setiap bangsa dan negara dari masa ke semasa sentiasa mencari-cari sistem dan peraturan untuk kebaikan rakyat tempatan setiap zaman.Dari masa ke semasa sentiasa dibuat perubahan-perubahan mengikut keperluan dan peredaran zaman. Yang rasa tidak sesuai ditinggalkan, ada pandangan baru yang munasabah digunapakai menjadi tambahan.

Saya bawa contoh-contoh lain agar kita memandang jauh dan terbuka fikiran.Hampir seluruh dunia hari ini asas-asas dasar negara mereka diambil dari luar mungkin ramai tidak perasan.
Banyak negara di dunia hari ini, mengambil demokrasi sebagai dasar negara untuk diundang-undangkan. Demokrasi adalah ajaran dari barat bukan dari negara masing-masing atau ajaran tempatan tidak pula dipertikaikan. Ia hanya sebagai sistem yang ada di dalam ideologi buatan manusia cuma setiap negara itu mengubahsuaikan ajaran yang diambil dari luar itu, kemudiannya diterima pakai.

Begitulah faham komunis dan sosialis yang dipakai oleh setengah negara di dunia adalah ideologi dari barat juga. Pengasasnya adalah Karl Mark, negara Cina yang penduduknya begitu ramai menerima ajaran itu sebagai pegangan negaranya, dianggap satu kebaikan. Tidak pun rakyat Cina itu membantah dan menentang setelah diundang-undangkan. Bahkan dunia sedang mencari-cari ajaran dan sistem-sistem yang baru untuk diamalkan kerana ajaran yang sedang diamalkan sekarang samada komunis, sosialis, mahupun demokrasi sudah nampak kelemahan.
Bahkan ketiga-tiga ajaran itulah yang sedang menyumbang kepada gejala masyarakat yang tidak sihat yang sedang berlaku sekarang..Krisis politik, krisis moral, penzinaan, pembunuhan, rasuah, dadah, ketidak adilan dan peperangan adalah kesan oleh sistem dan ajaran yang sedang diamalkan.

Jadi kalau ada pemimpin-pemimpin negara sekarang hendak mencari dan cuba mengundang-undangkan satu ajaran dan sistem yang baru bukanlah satu kesalahan.Sebagai contoh PM Malaysia hendak mengamalkan Islam Hadhari untuk diundang-undangkan samada bertulis atau tidak di negara Malaysia bukanlah satu kesalahan kerana ajaran Islam itu bukan sahaja bercorak agama tapi ia adalah peraturan hidup, cara bernegara atau tatanegara dan bangsa, untuk semua kaum dan bangsa.Kalau kita tidak mahu agamanya, kerana masing-masing sudah ada agama menjadi pegangan tidak mengapalah ia tidak boleh dilarang dan tidak boleh ditentang.

Agama adalah hak individu tidak boleh dipaksa sekalipun oleh negara. Agama ada hubungan dengan keyakinan yang ghaib dan ketuhanan. Peraturan hidup, cara atau tatanegara apalah salahnya diterima untuk keselamatan. Kita bukankah sedang mencari-satu satu sistem yang lebih baik untuk semua kaum dan bangsa di dalam sebuah negara demi perpaduan kaum, keharmonian dan keselamatan?

Oleh itu mari kita memperkatakan Islam Hadhari, cara hidup dan tatanegaranya sahaja untuk difahami supaya kita dapat melihat keindahannya dan boleh dipakai bersama demi keharmonian kaum dan bangsa Malaysia yang bersefahaman

Apa erti Islam? Apa erti Hadhari?

Islam ertinya keselamatan, apakah ada orang tidak suka keselamatan?
Erti keselamatan secara umum yang besar-besar dan asas-asasnya yang pentingnya adalah seperti berikutan:

Keadilan adalah termasuk keselamatan, keadilan di segi undang-undang, keadilan mendapat pekerjaan, keadilan pengagihan kekayaan mengikut kemampuan dan kebolehan.Termasuk keselamatan juga berkasih sayang, bersatu-padu, rasa bersama, bekerjasama semua orang memerlukan, tolong-menolong, bela-membela, bertolak ansur sangat penting di dalam kehidupan.
Hormat-menghormati satu sama lain, tidak boleh hina-menghina kerana berlainan agama dan bangsa sangat diperlukan di dalam pergaulan.Setiap orang diberi kebebasan melaksanakan hak asasi masing-masing mengikut undang-undang dan peraturan supaya tidak ada perlanggaran.
Begitulah ertinya keselamatan mengikut Islam Hadhari secara lebih kurang atau secara rambang. Setelah digambarkan sepintas lalu erti keselamatan mengikut Islam Hadhari saya rasa semua orang memerlukan, apakah ada yang menentang?! Itulah yang patut semua kaum dan bangsa di dalam negara ini faham dan perjuangkan

Erti Hadhari pula, perlu setiap kaum dan bangsa di negara ini ada pengetahuan tentangnya agar tidak salah faham untuk diamalkan di dalam kehidupan. Hadhari kalau dihuraikan ertinya Islam yang maju dan membawa kemakmuran. Keperluan-keperluan asasnya setidak-tidaknya seperti tempat tinggal, alat-alat perhubungan, alat-alat pentadbiran, kemudahan-kemudahan mencari ilmu dan pelajaran melalui alat yang canggih mengikut keperluan dan zaman. Keperluan-keperluan di bidang makan minum, pakaian dapat diwujudkan dan di dalam kesejahteraan dan kemakmuran. Kemajuan kampung dan bandar, alat-alat ketenteraan diwujudkan mengikut zaman. Itulah dia Islam Hadhari adalah gabungan di antara pembangunan insaniah dan kemajuan material yang sangat diperlukan setiap insan, oleh bangsa dan negara mengikut zaman.

Apakah hadhari di sudut insaniah seperti yang digambarkan di atas tidak diperlukan?
Apakah kemajuan material seperti yang disebut ada orang yang hendak menentang dan persoalkan?Kalaulah setiap warganegara di Malaysia faham erti Islam Hadhari, maju dan makmur apakah patut ditentang?

Islam yang membawa keselamatan dan keharmonian dan membawa kemajuan dan kemakmuran adalah idaman setiap insan.Kalau rakyat yang berbilang kaum dan bangsa di Malaysia faham memang itulah yang diidam-idamkan. Jika rakyat Malaysia mengerti tentang Islam Hadhari itu adalah khabar gembira buat mereka. Cadangan perdana menteri kita adalah kebaikan untuk semua. Ini adalah satu perubahan yang memang kita perlukan. Kalau rakyat Malaysia faham dan perjuangkan Islam Hadhari dari sekarang kita akan lihat satu perubahan yang luarbiasa akan berlaku sangat menguntungkan.

Mari kita bersatu di belakang PM dan bersama-sama memahami dan mengamalkan Islam Hadhari yang membawa keharmonian dan kemajuan. Integrasi atau perpaduan kaum dan bangsa akan menjadi kenyataan. Ia mesti bermula daripada sekarang diperjuangkan. Itulah caranya juga gejala masyarakat yang sangat ditakuti oleh semua kaum dan bangsa di Malaysia akan berkurangan. Sangat bijak PM kita mencari satu formula yang sesuai untuk semua kaum dan bangsa.Marilah kita berjuang ke arah itu, Malaysia akan lahir satu bangsa baru yang semua mendapat keuntungan.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer