Ilmu Rasa(2)
26/06/2006
2.
Hati Terbakar
Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a. yang terlahir dari rasa hatinya yang pecah-pecah dengan Allah, rindu dan dendamnya akhirnya
hatinya terbakar hangus dan bau hangitnya terkeluar. Baunya
tercium oleh para Sahabat yang lain.
3.
Hati dan Jantung yang Gementar
Hati-hati salafussoleh ini semuanya gementar kerana takutkan
Allah sepertimana disebut di dalam Al Quran. Contohnya berlaku
pada Sayidina Umar Al Khattab r.a. kerana hatinya terlalu
takut dan gerun dengan Allah serta rasa kehebatannya, setiap
masa getaran hati dan jantungnya dapat didengar daripada jarak
tiga saf sembahyang.
Sayidina Umar juga terkenal dalam sejarah sebagai seorang
yang suka menghisab dirinya sendiri kerana mengenangkan
dosanya. Dia menangis teresak-esak dan kadang-kadang ketawa
kerana mengenangkan kebodohannya sewaktu di alam jahiliah.
Di malam-malam hari, dia selalu memukul-mukul badannya
sambil berkata:
Inilah Umar yang banyak dosa. Biarlah Umar
rasa sakit di dunia asalkan jangan diseksa di Neraka.
Sedih dan menyayat hati bila mengenangkan kisah-kisah
bagaimana Sahabat-Sahabat membersihkan diri mereka dari
dosa-dosa. Sedangkan mereka sudah dijamin Syurga oleh
Rasulullah SAW.
4.
Dapat Menahan Sakit
Semasa berperang dengan orang kafir musyrik, Sayidina Ali r.a.
terkena panah di belakangnya. Ada sesetengah riwayat menyatakan
di betisnya. Sahabat-Sahabat telah mencabut anak panah
tersebut sewaktu Sayidina Ali sedang sembahyang kerana Sahabat-
Sahabat sedar di waktu itu saja tidak menyakiti Sayidina
Ali disebabkan dia tenggelam dalam lazatnya sembahyang. Kelazatan itu telah dapat mengalahkan kesakitan apabila panah
itu dicabut.
Ertinya, kalaulah bukan kerana hatinya terasa kehebatan dan
kebesaran Allah, terasa terlalu hina dan rasa lazat yang amat
sangat sewaktu bermunajat dengan Tuhannya, tentu mustahil
dia tidak sedar panah itu dicabut. Bukankah pelik.
Ertinya segala
kesakitan-kesakitan di dunia akan hilang atau tidak terasa kalau
kita tenggelam dalam cinta Allah.
Ibarat orang yang sedang bercinta. Apabila bertemu dengan
cintanya, masa yang lama dirasakan sekejap sahaja. Dua jam
dirasakan dua puluh minit sahaja kerana terlalu asyik.
Banyak lagi cerita Sahabat-Sahabat lain yang turut sama
dipanah, ditikam dan ditetak tetapi tetap teruskan berperang
sehingga terbunuh (syahid). Sahabat yang bernama Anas bin
An Nadhri ketika selesai perang didapati lebih 80 kesan tikaman
pedang, tombak, panah dan dicincang-cincang oleh kaum
musyrikin. Begitu juga Sahabat-Sahabat yang lain. Dorongan
cinta Allah inilah yang membolehkan mereka berbuat begitu.
Ada di kalangan mereka sewaktu sedang berperang itu, mereka
ternampak bayangan Syurga dan bidadari-bidadarinya. Sampai
terlupa kesakitan yang mereka hadapi dan sangat rindu dengan
Tuhannya. Sebab itu mereka sanggup syahid waktu itu juga
untuk menemui cintanya.
5.
Menangis kerana Takutkan Allah SWT
Allah SWT telah menceritakan perihal salafussoleh ini.
Firman-
Nya:
Maksudnya:
Dan sujudlah mereka sambil menangis
dan bertambah khusyuk. (Israk:109)
Dalam sebuah Hadis disebutkan:
Anas r.a berkata bahawa pada suatu hari Rasulullah
SAW berkhutbah, belum pernah dia mendengar khutbah seperti itu. Lalu baginda bersabda dalam khutbahnya itu:
Maksudnya:
Andainya kamu mengetahui sebagaimana
yang kuketahui, nescaya sedikit tertawa dan banyak menangis.
Anas berkata: Seketika itu para Sahabat menutup muka
masing-masing sambil menangis teresak-esak. (Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Hadis yang lain pula mengatakan:
Maksudnya: Abdullah Syeikhir r.a. berkata:
Saya datang
kepada Nabi SAW sedang baginda sembahyang, maka
terdengar nafas tangisnya bagaikan suara air mendidih
dalam bejananya. (Riwayat Abu Daud dan At Tarmizi)
- 1367 reads
Post new comment