Ilmu Rasa(1)


25/06/2006

Ilmu rohani juga dikatakan ilmu rasa (zauk) kerana perbahasan ilmu ini adalah mengenai rasa. Yakni rasa-rasa atau perasaan semula jadi yang bertapak di hati sama ada rasa positif atau rasa negatif. Rasa ini berhubung kait dengan roh. Bila ada roh, adalah rasa. Bila roh tidak ada seperti jamadat (seperti batu, pasir, besi), rasa pun turut tidak ada padanya.

Ertinya hakikat rasa adalah rohnya. Yang rasa marah itu adalah roh. Yang rasa sakit adalah roh.Yang rasa angkuh pun roh. Yang rasa sabar dan rasa sayang adalah roh. Begitulah seterusnya rasa-rasa yang lain. Sebab itulah ilmu roh ini juga dikatakan ilmu rasa.

Pengalaman atau kesan daripada mereka yang mendapat ilmu rasa (zauq):

1. Sembahyang sunatnya banyak
Rasulullah SAW adalah manusia biasa tetapi kemampuan baginda untuk sembahyang banyak dan berlama-lama adalah perkara luar biasa. Ianya tidak termampu dilakukan oleh manusia biasa. Sembahyangnya sampai beratus-ratus rakaat sehari semalam. Dalam pada itu, baginda tetap mentadbir dunia, tetap berhubung dangan Sahabat-Sahabat dan masyarakat. Bagaimana hal ini boleh berlaku serentak? Ini tentulah tidak terbuat oleh manusia biasa. Tentu ada yang akan berkata, Yalah dia tu nabi, tentulah boleh buat begitu!

Baginda berbuat itu bukanlah kerana baginda itu nabi. Baginda berbuat kerana merasa dirinya adalah hamba Allah. Walaupun Allah sudah jamin Syurga tetapi baginda tetap berbuat bukan kerana hendakkan Syurga. Sebaliknya kerana dia adalah hamba. Jadi baginda tetap berbuat walau tidak diminta atau diarahkan.

Buktinya Sayidatina Aisyah r.a. isteri kesayangan pernah menegur baginda: Kenapa engkau sembahyang sampai bengkak-bengkak kaki, ya Rasulullah! Sedangkan Allah mengampuni dosa-dosamu yang lalu dan yang kemudian.

Baginda menjawab: Tidakkah layak aku menjadi seorang hamba yang mengenang budi (yang bersyukur).

Baginda dapat berlama-lama sembahyang sunat dan banyak pula sampai bengkak-bengkak kakinya dan pernah terjatuh. Rehatnya ialah dalam sembahyang. Di waktu itulah dia terasa benar-benar dapat bercakap dengan Allah, terasa amat dekat dengan-Nya, dapat bermanja, merintih, rindu yang amat sangat, merasa terlalu lazat dapat berdialog, mengadu, menyerahkan diri, menceritakan segala hal dan terasa Allah menjawab cakapcakapnya itu. Terasa satu kepuasan dan nikmat hingga tenggelam dalam kerinduan cintanya. Itu sebabnya baginda terlalu lama sembahyang sehingga tanpa disedari kaki baginda jadi bengkak dan badan terkulai, langsung jatuh.

Ertinya, kerana dia terlalu asyik sampai terlupa yang fizikalnya sudah tidak mampu lagi menanggungnya walaupun rohnya kuat. Jadi kalau bukanlah kerana terlalu lazat dalam sembahyang sudah tentu Rasulullah SAW juga tidak mampu berlama-lama dalam sembahyang baginda. Dalam pada itu baginda juga tetap sempat memikirkan pentadbiran dunia dan rakyatnya. Dunia yang ada di tangan, semuanya digunakan untuk agama Allah. Salah seorang Sahabat Rasulullah SAW, Huzaifah r.a. pernah meriwayatkan tentang lamanya sembahyang baginda.

Maksudnya: Abu Abdullah (Huzaifah) bin Al Yaman r.a. berkata, Saya bersembahyang di belakang Rasululah SAW pada suatu malam. Dan setelah membaca Al Fatehah baginda membaca surah Al Baqarah. Mulanya saya menduga akan rukuk pada ayat keseratus, mendadak terus dibacanya. Dalam perasaanku mungkin akan dibacanya satu surah dalam satu rakaat, mendadak setelah selesai terus memulai membaca surah An Nisaa sehingga selesai dan mulai surah Ali Imran. Maka dibacanya dengan tartil, tiap ada ayat tasbih, baginda membaca tasbih, dan bila ada ayat taawwiz, dia berlindung kepada Allah daripada bahaya. Kemudian dari itu semua baru rukuk sambil membaca Subhana rabbiyal azimi wabihamdih. Dan rukuknya hampir sepanjang berdirinya. Kemudian bangun membaca Sami Allahu liman hamidah, Rabbana lakalhamdu. Dan lama berdiri sama dengan rukuknya. Kemudian bersujud sama dengan berdirinya. (Riwayat Muslim)

Begitu juga dengan Sahabat-Sahabat yang lain. Sembahyang mereka juga banyak, ratusan rakaat dan lama. Paling sedikit dikalangan mereka ialah seratus rakaat.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer