Ikhlas Itu Adalah Rahsia Dan Anugerah Tuhan


23/11/2006

Dalam Al Quran Tuhan ada berkata, "Yang selamat ialah hamba-hamba Aku yang diikhlaskan oleh Tuhan." Tuhan tidak kata, "Yang selamat ialah hamba-hamba Ku yang ikhlas."

Ikhlas itu adalah rahsia dan anugerah Tuhan. Tidak mampu hendak usahakan sendiri. Malaikat pun tidak tahu siapa yang ikhlas. Ikhlas itu ruh amal, jika tidak ikhlas tidak dikira beramallah. Kita tidak mampu hendak ikhlas kalau tidak diikhlaskan sendiri oleh Tuhan. Malaikat pun tidak tahu amalan yang dibawa itu ikhlas atau tidak. Hanya Tuhan sahaja yang tahu samada amalan itu ikhlas atau tidak.
Ia ada kaitan dengan Tuhan, dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan supaya seimbang dan kita tidak rasa putus asa. Saluran rahmat itu banyak. Rahmat itulah yang akan selamatkan kita. Sumber rahmat itu banyak sebab itu dikatakan orang masuk syurga dengan rahmat Tuhan. Jika atas dasar amalan hamba walaupun menggunung tidak mungkin selamat. Tuhan bagi jalan keluar dengan rahmatnya yang amat luas. Seorang hamba masuk syurga bukan kerana ibadah tetapi rahmat Tuhan. Rahmat Tuhan itu beribu-ribu. Contohnya, kita buat dosa itukan bahaya. Tapi bila kita mengeluh dengan dosa, itu rahmat. Ertinya, Tuhan berkata jangan buat dosa. Itu tidak mungkin berlaku kerana kita sentiasa buat dosa. Tapi bila kita terbuat dosa, kemudian mengeluh tentang dosa, di situ ada rahmat Tuhan.

Contoh lain, makan dengan orang soleh dan ulama ul amilin itu rahmat. Tolong orang susah juga rahmat. Mungkin nanti dia doakan kita. Untuk atasi susahnya untuk mendapat amalan yang ikhlas dan keredhaan Tuhan itu, Tuhan bagi banyak jalan untuk mendapat rahmat Tuhan. Kita tolong orang berjuang sedangkan kita tidak mampu, di situ juga ada rahmat Tuhan. Banyakkan selawat itu rahmat sebab Rasulullah SAW akan syafaatkan walaupun tidak khusyuk. Oleh itu, rahmat Tuhan itu bermacam-macam bentuk.

Walaupun dosa yang kita buat berat, tetapi bila datang tetamu, semua dosa itu terhapus. Ia seolah-olah najis yang menggunung hendak dibasuh dengan segelas air. Tuhan beri rahmat-Nya. Sebab itu mesti cari rahmat Tuhan. Zaman Rasulullah kalau rumah yang tidak pernah diziarahi tetamu, Rasulullah tidak mahu masuk sebab rumah itu tidak ada rahmat Tuhan sebaliknya di dalam kutukan Tuhan.

Kita dimasukkan syurga atas dasar rahmat dan masuk neraka kerana keadilan Tuhan. Tetamu yang datang merupakan penghapusan dosa. Kalau kita hendak harapkan amal ibadah yang kita buat, tidak mampu hendak masuk syurga. Carilah rahmat Tuhan, walaupun perkara itu nampak kecil. Ada orang yang dimasukkan ke dalam syurga kerana memberi anjing minum air di padang pasir.

Orang yang sibuk bekerja tetapi tidak dapat buat perkara-perkara sunat seperti wirid zikir, kemudian susah hati pula, itu lebih baik daripada orang yang berwirid zikir tetapi tidak susah hati. Tuhan akan beri rahmat untuk orang yang tidak dapat wirid tetapi susah hati. Orang yang amal ibadah banyak pun jika tidak ada rasa takut, itu lebih bahaya daripada yang kurang beribadah tetapi takut. Kadang-kadang tukang masak lebih selamat. Kalau Tuhan takdirkan kita boleh beribadah, boleh buat itu dan ini, apalah kita hendak bangga. Kita tetap hamba. Janganlah hendak berlagak sombong. Walaupun kita nampak megah tapi tidak ada apa yang hendak dibanggakan kerana kita hanya seorang hamba yang dhoif. Semuanya bergantung kepada kepada pemberian Tuhan.

Tafakkur adalah digalakkan kerana waktu itulah kita dekat dengan Tuhan. Kadang-kadang solat pun tidak mendekatkan hati kita dengan Tuhan. Waktu hendak tidur jika kita bertafakkur, hati lebih menggelupur takut dengan Tuhan dan lebih dekat dengan Tuhan daripada waktu bertahlil. Kadang-kadang waktu bertahlil pun hati tidak dekat dengan Tuhan. Oleh itu, di mana ada ruang dan peluang untuk rebut rahmat Tuhan, berbuatlah sekalipun amalan itu hanya kecil pada nilaian zahir. Ini adalah kerana jika Allah ikhlaskan amalan kita yang kecil itu, di situlah padangan dan keredhaan untuk kita yang bakal menyelamatkan kita di akhirat kelak.

Petikan sebuah kisah di zaman kegemilangan Islam untuk dihayati bersama:

Semasa pemerintahan Sayidina Umar Al Khattab r.a., ada seorang lelaki bernama Hassan. Suatu hari dia keluar dari kampungnya dengan menunggang seekor unta untuk membuat satu perjalanan yang jauh.Setelah lama menunggang, dia keletihan lalu turun dari untanya dan bersandar disebatang pokok lalu tertidur.

Setelah sedar dari tidurnya didapati untanya tidak ada. Dia terburu-buru mencari untanya. Dalam keadaan cemas dan bimbang itu Hassan terjumpa untanya, tetapi telah mati. Alangkah terkejutnya Hassan.

"Pakcik yang membunuhnya," kata seorang tua yang berada disitu. "Tetapi bukan sengaja. Unta ini memakan tanaman pakcik, jadi pakcik lontar dengan batu kecil. Kena betul-betul di kepalanya. Tiba-tiba unta itu rebah lalu mati."

Hassan dalam keadaan bingung kerana terkejut dari tidur, tiba-tiba mencabut pedangnya dan dihayun ke arah orang tua itu dan terpenggallah leher dari badan.

Hassan seakan-akan baru tersedar dari mimpi dan menyesal yang amat sangat. Hassan lalu mencari keluarga simati dan menceritakan segala-galanya. Dua orang anak lelaki kepada orang tua itu terus membawa Hassan kepada Amirul Mukminin hari itu juga. Hassan dihadapkan ke mahkamah pengadilan dengan dihadiri beberapa orang Sahabat, pembicaraan pun dijalankan.

Setelah mendengar pengakuan Hassan sendiri, Sayidina Umar selaku hakim telah menjatuhkan hukum bunuh ke atas Hassan. Mendengar itu Hassan berkata; "Demi Allah, saya lebih sanggup dibunuh didunia daripada mendapat hukuman Neraka di Akhirat. Tapi, wahai Amirul Mukminin, saya minta ditangguhkan hukuman beberapa hari kerana saya hendak pulang memberi tahu keluarga saya tentang perkara ini. Mereka semua belum tahu dan kerana jauhnya dari sini tentu mereka tidak akan tahu kalau saya tidak memberitahunya."

Sayidina Umar tidak dapat memperkenannya kalau tidak ada penjamin. Walaupun Hassan merayu, tetapi Sayidina Umar tetap bertegas.

Akhirnya seorang Sahabat bernama Abu Zar bangun dan berkata, "Sekalipun saya tidak kenal saudara Hassan, namun atas nama Sahabat Rasulullah, saya minta tuan hakim memperkenankan permohonan Hassan. Jika sekiranya Hassan tidak datang pada hari akan dijatuhkan hukuman, maka biarlah saya yang dihukum."

Dengan jaminan itu, maka Hassan pun dibenarkan pulang kekampungnya. Sampai di rumah, Hassan terus memberitahu keluarganya tentang apa yang berlaku dan berkata, "Biarlah saya jalani hukuman di dunia dari hukuman di Akhirat."

Menangislah ibubapa dan anak isterinya.Tetapi Hassan tidak lemah semangat, terus dipacunya kuda menuju ketempat pengadilan. Dia lebih takut kpd Allah dan cintakan Akhirat lebih dari anak isteri.

Dipertengahan jalan, tiba-tiba tali kekang kudanya putus. Hassan cemas kalau-kalau dengan itu dia terlewat sampai. Bagaimanapun dengan susah payah, Hassan dapat membetulkan tali kekang kudanya dan akhirnya dapat meneruskan perjalanannya tetapi sudah lewat. Di padang tempat hukuman hendak dijatuhkan kerana kelewatan Hassan, semua menanti sangat cemas. Mereka cemaskan Abu Zar yang terpaksa menggantikan tempat Hassan.

Dalam suasana kecemasan yang memuncak, tiba-tiba berbalam-balam dikejauhan semua yang hadir nampak kuda pacuan berlari kencang menuju ketempat itu. Setelah yakin Hassan yang datang mereka bertempik, "Allahu Akbar!Allahu Akbar!"

Suasana tiba-tiba bertukar menjadi sedih dan terharu. Betapa jujurnya anak muda Hassan memegang janjinya sekalipun nyawa akan melayang.

Sebaik turun dari kudanya, Hassan mengadap tuan hakim dan berkata, "Demi Allah, saya tidak berniat untuk menempah kelewatan ini.Tali kuda saya putus di tengah padang pasir. Puas saya usahakan mencari tali untuk menyambungnya. Alhamdulillah, saya dapat dan selamat tiba ke sini, tuan hakim." Kemudian katanya lagi, "Sebelum saya dibunuh, izinkan saya bersembahyang dua rakaat."

Sayidina Umar pun membenarkan. Dalam doa akhirnya, Hassan berdoa; "Ya Allah, ampunkan keterlanjuranku di dunia dan di Akhirat." Selesai menyapu muka, Hassan pun mengadap menyerahkan dirinya untuk menjalani hukuman bunuh. Tetapi pada saat genting itu, tiba-tiba kedua-dua beradik anak simati mengadap tuan hakim dan berkata, "Kami telah menyaksikan kejujuran dan keikhlasan saudara Hassan dan telah kami saksikan juga keberanian dan kasih sayang Abu Zar, juga telah kami saksikan ketegasan dan keadilan Amirul Mukminin menjalankan hukuman Tuhan. Hasilnya, kami memperolehi kekuatan untuk meredhakan kematian ayah kami dengan memaafkan saudara kami Hassan. Lepaskanlah saudara Hassan daripada hukuman, wahai Amirul Mukminin."

Mendengar itu sekali lagi padang itu bergema dengan laungan, Allahu Akbar! Allahu Akbar!"

Mereka semua bersyukur kerana terampunnya seorang saudara mereka dari hukuman di dunia dan di Akhirat, insyaAllah.

Banyak yang dapat kita pelajari dari peristiwa bersejarah itu.

Dari seorang tua yg berani mengaku salah hingga menemui kematian. Kemudian Hassan yg lebih berani mengakui kesalahannya dan menyerahkan dirinya untuk dibunuh.Abu Zar yang berjiwa `sahabat` dan sanggup mati kerananya.Tuan hakim yang tegas dan adil.Akhir sekali dua beradik yang berhati mulia merela dan memaafkan pembunuh ayah mereka.

Dengan hati yang beriman dan berkasih sayang, manusia dizaman sahabat telah menempa satu sejarah yang agung. Dengan hati-hati yang beriman, mereka telah berjaya mengangkat Islam setinggi-tingginya sesuai dengan sifatnya. Dengan itu mereka bukan sahaja telah menguasai dunia, tetapi sedang menikmati kesenangan dan kerehatan di Alam Barzakh dan akan Allah anugerahkan Syurga. Itulah nasib orang yang bernama mukmin yang sebenar.

Sekarang Allah taqdirkan giliran kita untuk menentukan nasib dan maruah diri. Semoga kita menggunakan peluang ini sebaik-baiknya menuruti jejak langkah mereka yang mulia lagi diredhai.

SEKIAN

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer