Hati Penentu Kedamaian Atau Krisis Serta Huru Hara


11/08/2006

Dunia hari ini sedang dicengkam oleh gejala jahiliah moden yang melanda di merata-rata. Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa masyarakat dunia sedang ditimpa berbagai penyakit kronik. Saban hari kita dikejutkan dengan berita-berita peperangan, pembunuhan, penipuan, rompakan, penyalahgunaan wang dan kuasa, penindasan, salah guna dadah, pelacuran, rogol, sumbang mahram, pendedahan aurat, pergaulan bebas dan lain-lain lagi.

Gejala sosial yang melanda manusia hari ini makin berleluasa dengan tidak mengira bangsa, agama, keturunan dan kedudukan. Kesemua peringkat masyarakat daripada kanak-kanak hingga orang dewasa tidak terlepas daripada `virus` yang sangat merbahaya ini.

Para cerdik pandai dan pihak-pihak yang berwajib telah mengusahakan berbagai kaedah untuk mencari formula mengatasinya, tapi nampaknya seolah-olah usaha-usaha ini telah menemui jalan buntu. Makin dibendung makin menjadi-jadi. Makin dikaji makin berleluasa. Malah kadar jenayah sama ada jenayah berbentuk kriminal, sosial, ekonomi, politik dan kekeluargaan makin meningkat di merata dunia.

Di tengah kepesatan pembangunan ekonomi dan teknologi hari ini manusia hidup dalam serba ketakutan dan kegersangan. Seolah-olah kemajuan teknologi dan masalah gejala sosial sama-sama naik. Dunia ini bagaikan tidak menjanjikan keindahan dan keselamatan lagi. Betapa menderitanya hidup dalam suasana begini. Bagaikan neraka sebelum Neraka. Umat Islam juga tidak terkecuali turut terlibat dalam gejala ini.

Dalam iklim dunia yang sedang kritikal ini, di waktu manusia sedang mencari-cari jalan keluar kepada persoalan ini,apakah Islam tidak mempunyai formula untuk menyelesaikan kemelut dunia hari ini? Memandangkan percubaan demi percubaan melalui segala bentuk formula rekaan fikiran manusia telah dicuba dalam menangani gejala yang makin meruncing ini, namun hasilnya tetap mengecewakan.

Segala cerdik pandai, para filasuf, para pendidik, para pemikir yang telah mencipta pelbagai kefahaman dan ideologi telah mengerahkan seluruh daya akal fikiran mereka bagi mencari formula untuk menyelamatkan dunia serta para penghuninya. Tetapi ternyata akal semata-mata telah gagal dalam menangani kemelut dunia yang semakin kronik ini. Maka apabila akal telah buntu, manusia perlu mengubah semula pola pemikiran mereka dengan mencari jalan keluar yang terjamin tepat dan selamat iaitu dengan merujuk kepada sistem roh. Dalam erti kata lain manusia perlu kembali merujuk kepada Tuhan, menggunakan sistem Tuhan dan dipimpin oleh orang Tuhan dalam memulihkan kerosakan masyarakat yang kian meruncing ini.

Peranan roh sebenarnya cukup penting dalam kehidupan manusia. Apabila manusia telah meminggirkan peranan roh, telah lalai daripada pencipta-Nya maka akibatnya manusia sedang menanggung segala bentuk gejala yang cukup membimbangkan.

Peranan hati atau roh amat penting sekali. Ia penentu hidup mati manusia. Ia penentu kepada kebaikan atau penentu kepada kejahatan setiap individu. Kemudian bertolak dari individu yang baik atau jahat inilah menggambarkan kehidupan seluruhnya sama ada di sudut ekonomi, pendidikan, perubatan, perhubungan,pentadbiran, politik, sosial dan sebagainya.Jadi semuanya berpunca dari hati. Hati ini merupakan satu makhluk yang sangat tersembunyi, rahsia dan sulit untuk mengesannya. Tambah pula ia dibentengi oleh kubu-kubu kebal jasad manusia itu sendiri. Ia jadi raja dalam diri. Duduknya di atas singgahsana hati daging. Istananya diri manusia itu sendiri.

Jarang manusia pedulikan raja dirinya. Sedangkan raja (hati) inilah yang menguasai manusia itu. Yang mengarahkan anggota lahir (tentera-tenteranya) supaya buat kebaikan atau kejahatan, yang jadi penentu selamat di dunia dan penentu selamat di Akhirat.

Di dalam diri manusia, roh adalah sebagai raja, akal sebagai penasihat, nafsu adalah musuhnya manakala anggota lahir (jawarih) adalah rakyat di dalam diri. Kalau raja di dalam diri baik, seluruh anggota (rakyat di dalam diri) menjadi baik. Samalah seperti di dalam sebuah negara, ada keterangan di dalam kitab mengatakan:
Maksudnya: Manusia itu mengikut agama pemerintahnya. Ertinya bagaimana sikap pemerintah begitulah sikap rakyatnya. Begitulah pemerintah di dalam diri (hati atau roh). Bagaimana keadaannya begitulah anggota lahirnya sebagai rakyat di dalam diri. Kalau hati baik (raja di dalam diri baik), maka baiklah anggota lahir manusia (rakyat di dalam diri). Kalau hati jahat maka jahatlah seluruh anggota lahir manusia. Ia memang telah ditegaskan oleh Hadis Nabi:
Maksudnya: Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, kalau baik daging itu maka baiklah manusia, kalau ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati atau roh. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman bin Basyir)

Justeru itu hati (roh) wajib dibangunkan dengan cara dididik dan diasuh. Ini kerana dari pembangunan jiwa, lahirlah kebudayaan, tamadun kerohanian dan akhlak mulia yang sangat penting. Ia tempat pandangan Allah dan tempat jatuh hati manusia. Dan kerana itulah para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam diutus oleh Allah SWT demi untuk pembangunan insaniah tersebut. Mereka tidak diutus kerana pembangunan material dan fizikal. Pembangunan material,tanpa rasul dan nabi pun manusia boleh membangunnya. Itu memang telah dibuktikan oleh sejarah, manusia membangun tidak perlu adanya orang kerohanian seperti rasul dan nabi atau ulama ul amilin. Contohnya bangsa Rom, Yunani, Farsi, bangsa-bangsa yang disebut di dalam Al Quran seperti kaum Aad, kaum Tsamud, kaum Saba dan bangsa Babil atau Babylon. Mereka membangun dan menegakkan tamadun tanpa orang-orang kerohanian bahkan mereka menolak para rasul dan menentangnya.

Lantaran itulah juga Rasulullah SAW pernah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya aku diutuskan kerana menyempurnakan akhlak yang mulia. (Riwayat Malik)

Maksudnya: Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya. (Riwayat At Tabrani)

Perlu diingatkan bahawa membangunkan insaniah untuk melahirkan akhlak yang mulia pada seorang manusia, tidak semudah yang kita sangka. Betapalah kalau satu keluarga, sebuah sekolah, satu kampung, satu mukim, sebuah daerah, satu negeri, lebih-lebih lagilah satu negara. Membangunkan material seperti membangun sebuah bangunan 100 tingkat mungkin lebih mudah daripada membangunkan insaniah seorang manusia. Membangunkan pencakar langit setinggi 100 tingkat mungkin boleh siap dengan memakan masa tiga tahun, tapi hendak membangunkan insaniah seseorang manusia, mungkin memakan masa 30 tahun, itu pun belum tentu berjaya. Lantaran itulah untuk pembangunan insan ini Allah datangkan orang-orang-Nya iaitu para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam. Selepas itu mereka yang tunduk kepada ajarannya seperti para auliya, kemudian para ulama ul amilin, paling tidak orang yang soleh.

Apabila disebut akhlak, akhlak yang utama terbahagi kepada dua iaitu:

Pertama: akhlak kepada Allah.
Kedua: akhlak kepada manusia.

Akhlak kepada Allah, di antaranya yang paling besar selepas beriman kepada-Nya ialah menyembah-Nya (sembahyang), ikhlas, rasa bertuhan, ertinya hati sentiasa merasa di mana sahaja kita berada, Allah sentiasa mengawasi, melihat dan mendengar terhadap kita, rasa malu, rasa takut, rasa kasih, sabar, redha, tawakal, khusyuk, khuduk.

Akhlak kepada manusia di antaranya kasih sayang, pemurah, mesra, adil, amanah, menunai janji, bercakap benar, merendah diri, bertolak ansur, ziarah-menziarahi, berlemah-lembut, bertolong bantu, baik sangka. Selain dua bahagian akhlak yang utama ini ada lagi akhlak dengan haiwan dan jamadat seperti pokok, batu dan lain-lain lagi. Kita tidak boleh menyeksa binatang sesuka hati. Kalau kita memeliharanya seperti kambing, disediakan kandangnya, makan minumnya, sakit diubati, jika disembelih gunakan pisau yang tajam. Begitu juga dengan jamadat seperti pokok, kita tidak boleh menebang pokok sesuka hati, mesti ada maksud dan tujuan yang memberi manfaat.

Begitu sekali luas akhlak di dalam ajaran Islam dan begitu indah sekali akhlak yang dianjurkan oleh agama akhir zaman ini. Ia bersifat sejagat, ia disukai oleh semua manusia sekalipun orang bukan Islam. Justeru itulah kalau umat Islam kembali berakhlak seperti zaman tiga kurun selepas Rasulullah SAW, umat Islam akan dihormati semula oleh dunia kerana dengan akhlak yang mulia terlalu sedikit orang hasad dengki. Kerana akhlak bersifat sejagat laksana bunga yang indah, tidak ada orang yang tidak suka dan tertarik.

Inilah menjadi rahsia hidup manusia. Bagaimana corak hidup seseorang begitulah corak hatinya. Hati yang menentukan manusia. Segala bentuk perjalanan hidup yang ada di dunia, hati yang mencoraknya. Hal-hal yang dapat kita saksikan dengan mata kepala, sama ada yang menyenangkan kita atau menyusahkan adalah merupakan buah-buah yang wujud berpunca daripada sebatang pokok yang tidak dapat dilihat oleh mata kepala iaitu hati atau roh.

Kedamaian dan keharmonian yang berlaku, membayangkan kedamaian dan keharmonian hati-hati manusia itu sendiri. Jadi kalau berlaku sebaliknya yakni huru-hara, haru-biru, hiruk pikuk, berlakunya pergaduhan, perselisihan, pertarungan antara manusia dengan manusia, krisis yang tidak habis-habis, perbalahan di mana-mana, tekanan, penindasan, penzaliman yang wujud di muka bumi ini, peperangan yang memusnahkan kehidupan manusia serta menghancurkan tamadun mereka, semuanya adalah berpunca daripada hati atau roh.

Hati yang jadi penentu kepada kebaikan dan kejahatan itu sudah tidak dipedulikan oleh manusia, sudah tidak diambil pusing lagi oleh pemimpin-pemimpin manusia, sudah tidak dihiraukan lagi oleh ulama-ulama. Cuma yang terfikir oleh mereka ialah bila hendak baiki keadaan atau suasana, mereka buatlah akta. Akta yang dijangka boleh membendung sedangkan yang buat akta itu sendiri pun tidak mahu ikut peraturan tersebut. Dia mahu aktakan orang lain saja. Kalau sudah semuanya jahat, siapa lagi yang mahu ikut akta itu? Dia tidak benarkan atau aktakan jangan mencuri. Tapi dia sendiri merompak. Dia katakan orang lain jangan rasuah tapi dia sendiri pecah amanah. Dia aktakan orang lain jangan bergaduh, tapi dia sendiri cetuskan pergaduhan. Dia aktakan orang jangan main pedang, tapi dia sendiri jadi pembunuh. Jadi sampai bila pun dunia tidak akan aman. Sebab yang hendak diaktakan ialah orang lain, sedangkan untuk diri sendiri terlepas.

Oleh kerana tidak mahu kembali memikirkan membaiki hati masing-masing, maka manusia di dunia hari ini sudah tidak boleh dipimpin lagi. Kejahatan-kejahatan yang dibuat oleh manusia itu akhirnya menyusahkan mereka sendiri. Para-para pemimpin, ulama-ulama, para pemikir masyarakat terus bingung dan langsung tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Mereka tahu penyakit tetapi tidak tahu mana sumbernya. Mereka tahu penyakit tetapi tidak tahu bagaimana mengubatnya. Mereka rasa mereka pakar-pakar masyarakat tapi makin diubat, makin bertambah kronik sakitnya. Makin parah. Hingga doktor pun turut sama sakit. Pening dan bingung. Payahnya kerana mereka hendak membaiki kejahatan manusia yang sudah majoritinya jahat. Cuma kejahatan-kejahatan itu bentuknya tidak sama. Ibarat doktor pakar lemah jantung tapi dia sendiri kencing manis yang serius. Dia ubat orang tapi dia juga sakit. Paling tidak mereka hanya mampu melihat penyakit-penyakit dengan mata lahir tapi tidak dapat melihat dengan mata batin.

Begitulah manusia sekarang ini setelah hatinya buta, otaknya yang pandai melangit tidak boleh memimpin manusia lagi. Hati kalau sudah rosak, rosaklah tindakannya. Binasalah masyarakat. Otak yang bergeliga itu sudah tidak berfungsi dan berguna lagi. Tindakannya akan merosakkan lagi suasana yang sudah rosak itu. Manusia sudah tidak berjiwa manusia lagi. Sebaliknya sudah berjiwa binatang atau syaitan. Akhirnya lahirlah masyarakat haiwan dan syaitan yang dilahirkan oleh manusia-manusia tadi.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya Kami masukkan manusia ke Neraka kebanyakan daripada jin dan manusia yang mereka mempunyai hati tapi tidak mahu memahami dengannya dan mereka mempunyai mata tapi tidak melihat dan mereka mempunyai telinga tapi tidak mahu mendengar. Mereka itu umpama binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. (Al Araf: 179)

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer