Hasil Sembahyang Terbina Tamaddun


24/05/2006

Rasulullah pernah memberitahu kepada para Sahabatnya di dalam suatu majlis sebanyak tiga kali, tentang seorang lelaki yang bakal menjadi ahli Syurga. Ada seorang Sahabat yang mengambil serius cerita tersebut, lalu dia pun mengikut Sahabat yang dikatakan ahli Syurga itu ke rumahnya dan bermalam di sana.

Setelah berlalu dua malam dan masuk malam yang ketiga, Sahabat itu pun berkata dalam hatinya, "Rasulullah kata dia ahli Syurga. Tapi aku lihat dia tidak ada istimewa apa-apa pun, ibadahnya macam biasa saja. Dia cuma buat yang fardhu, yang sunat tidak pula dibuatnya."

Sahabat itu merasa hairan sekali, sedangkan dia sendiri bangun malam. Akhirnya dia bertanya kepada tuan rumah itu apa kelebihannya sehingga dia layak menjadi ahli Syurga.

Sahabat ahli Syurga itu berkata bahawa dalam hatinya tidak ada sedikit pun rasa hasad terhadap orang, bahkan .tidak terniat pun untuk berhasad dengki. Rupa-rupanya inilah sebab dia menjadi ahli Syurga.

Apa yang kita faham dari cerita ini ialah:
Pertama :
Sahabat tersebut hanya buat yang fardhu,tapi ia dapat melahirkan akhlak mulia. Dia sembahyang fardhu saja, tapi sembahyangnya itu berhasil, sebab itu ahli Syurga. Sebaliknya kita makin banyak sembahyang sunat, makin sombong, bangsa diri, memandang rendah pada orang yang kurang ibadah.

Para Sahabat memang sangat serius dengan sembahyang. 30 minit atau satu jam lagi hendak bersembahyang, mereka sudah tidak bercakap. Sayidina Umar waktu mengambil wudhuk pucat mukanya dan menggeletar. Ketika ditanya Umar menjawab, "Engkau tahu dengan siapa aku berhadapan. Aku nak berhadapan dengan Tuhan!"

Sebaliknya kita dalam hendak bersembahyang sempat lagi mengata orang, membaca surat kabar. Sedangkan para Sahabat itu terlalu takut hendak berhadapan dengan Tuhan, masing-masing diam tidak mampu bercakap, memikirkan nanti sembahyangnya macam mana agaknya, diterima atau tidak, beradab atau tidak beradab. Kita pula masih boleh rilek-rilek macam tidak ada apa-apa.

Mereka selepas sembahyang lagi terasa takut, beristighfar banyak-banyak, mereka rasa sembahyang yang dibuat itu tidak sempurna. Kita pula lepas sembahyang rasa lega, "Alhamdulillah!" . Jauh bezanya kita dengan Sahabat.

Kedua :
Melalui ibadah sembahyang yang berbuah inilah lahirnya peribadi-peribadi agung. Rasulullah SAW telah berjaya mendidik bangsa yang asalnya hanya tahu bela kambing, tidak tahu menulis dan membaca, berhadapan dengan dua bangsa besar, Rom dan Parsi yang mempunyai kebudayaan yang tinggi. Hanya 23 tahun, Islam sudah boleh menjadi empayar. Padahal orang di luar Islam memerlukan 200 hingga 300 tahun untuk membina empayar.

Tapi mengapa ini tidak berlaku lagi pada kita? Mengapa umat Islam terhina di mana-mana? Sebabnya, sembahyang kita tidak betul. Yang tidak sembahyang itu lain kira. Yang sembahyang pun masih tidak betul. Semasa kita menyembah Tuhan, adakah terasa kita sedang menyembah dan membesarkan-Nya? Terasakah bahawa kita ini hina? Jika tidak rasa, itu bukan menyembah namanya. Katalah kita berhadapan dengan Yang Dipertuan Agung. Tentu kita tidak berani hendak bercakap. Mengapa? Sebab kita tahu Yang Dipertuan Agung itu siapa. Itu bila berhadapan dengan manusia yang baru sedikit kita kenal kebesarannya, maka kita pun tidak berani hendak bercakap. Mengapa tidak terasa begitu dengan Tuhan?

Puncanya ialah kita tidak kenal Tuhan
. Kita hanya beriman dan percaya, tapi tidak kenal. Sebab itu tidak terasa apa-apa. Bahkan apa yang kita lihat, makin jadi ulama, makin laju sembahyangnya.

Jadi hasil didikan Rasulullah, dalam masa 23 tahun saja umat Islam berjaya membina empayar. Padahal bangsa yang dididik itu, huruf pun mereka tidak kenal. Sedangkan kita umat Islam, sudah merdeka di seluruh dunia. Makin merdeka semakin terhina. Cuma kelebihannya kita boleh membangun. Di sudut lain kita telah terhina terutama akhlak, terlalu hina. Dulu waktu tidak membangun orang tidak terlibat dengan dadah. Murid tidak pukul guru.Waktu mundur, murid tidak bakar sekolah. Tapi sesudah membangun, murid bakar sekolah. Tidak hinakah? Dulu kita tidak dengar anak pukul emak, hari ini ada yang sampai bunuh emak.

Orang kata inilah bayaran kepada pembangunan. Inilah yang kita kena terima. Tetapi itu jawapan menurut Barat. Menurut Islam kita boleh dapat dunia, pembangunan dunia dan pembangunan Akhirat. Islam menjamin kedua-dua pembangunan boleh berlaku. Mengapa kita tidak memberi peluang kepada Islam?

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer