Gejala Yang Tidak Nampak Di Mata Amat Merbahaya


10/07/2006

82j meter padu air dicuri -- Di Lembah Klang sejak 2005... Sama banyak untuk 4 juta keluarga
Oleh S. ANAND KUMAR dan WAN HAFIZ WAN HAMZAH Utusan Malaysia Isnin 10 Julai 2006

KUALA LUMPUR 9 Julai - Percaya atau tidak, sejak tahun lepas hingga 30 Jun lalu, kira-kira 18 bilion gelen air atau 82 juta meter padu bahan itu dicuri di sekitar Lembah Klang.

Lebih mengejutkan, jumlah air yang dicuri itu dikatakan dapat menampung bekalan kepada kira-kira empat juta keluarga.

Pengerusi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail ketika mendedahkan perkara itu berkata, kegiatan mencuri air melibatkan kedua-dua kawasan (Lembah Klang dan Selangor) kini semakin serius.

Akibat perbuatan itu, Syabas menanggung kerugian lebih RM100 juta, jelasnya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau mendakwa, kegiatan curi air itu kebanyakannya dilakukan oleh syarikat komersial dan industri terutama syarikat pembinaan.

Tambahnya, syarikat pembinaan sering mencuri air kerana menggunakan banyak bekalan air dalam kos operasi harian mereka.

Berdasarkan statistik yang kami peroleh daripada aduan orang ramai, lebih 60 peratus kegiatan ini dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam sektor perindustrian dan komersial berbanding pengguna domestik, ujar Rozali.

Justeru, beliau meminta kerajaan negeri memandang serius kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

Menurut Rozali, Syabas tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam kegiatan itu.

Hanya kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk membawa pencuri ini ke muka pengadilan.

Kata beliau, kegiatan mencuri air juga secara tidak langsung melibatkan kepentingan rakyat negara ini.

Adalah tidak adil bagi para pengguna yang terpaksa membayar sedangkan penyamun berlesen ini mengambil jalan mudah dengan mencuri air untuk mengurangkan kos perbelanjaan mereka, jelas beliau.

Di samping itu, beliau turut mempersoalkan kelewatan pendakwaan terhadap beberapa syarikat yang dikenal pasti terbabit dalam kegiatan tersebut.

Sebagai contoh, Syabas berjaya mengesan kegiatan itu sejak awal tahun lepas dan telah mengeluarkan surat pendakwaan untuk dibawa ke mahkamah.

Namun apa yang menjadi persoalan, mengapakah perbicaraan terhadap syarikat tersebut ditangguhkan begitu lama dan perbicaraan baru dimulakan pada pertengahan tahun ini, soal beliau.

Menurutnya, kegiatan itu semakin berleluasa ekoran tindakan kurang tegas serta pemantauan yang tidak berkesan oleh pihak yang terbabit.

Ini menyebabkan pencuri air semakin bermaharajalela melakukan kegiatan tersebut, katanya.

Sementara itu, Rozali mendakwa segelintir daripada kontraktor yang dilantik Syabas turut bersubahat dalam kegiatan itu.

Saya juga mendapat laporan ada sesetengah daripada mereka (kontraktor) yang menawarkan kepada pengguna sama ada mahu cara yang halal atau haram, ujarnya.

Ditanya apakah yang beliau maksudkan dengan penawaran halal dan haram itu, katanya, halal bermaksud seseorang pengguna perlu membayar bil mengikut bekalan yang digunakan.

Manakala haram pula bermaksud, pengguna tidak perlu membayar jumlah bil yang digunakan, sebaliknya hanya memberi imbuhan dengan jumlah tertentu kepada kontraktor berkenaan yang jauh lebih rendah daripada bil sebenar, tegasnya.

Rozali mendedahkan terdapat beberapa pekerja Syabas yang telah diambil tindakan akibat menerima sogokan untuk mengurang bil air dengan cara menipu bacaan meter.

Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pekerja, atau kontraktor yang didapati terlibat dalam kegiatan ini.

Kami juga berharap pihak kerajaan terutama jabatan yang terbabit supaya mengambil langkah pencegahan dan pemantauan yang lebih berkesan dalam usaha untuk mengatasi masalah ini, ujar beliau.

............................................

Gejala ada dua bentuk, ada yang nampak di mata dan ada yang tidak nampak di mata. Yang nampak di mata dilakukan oleh rakyat jelata iaitu mereka golongan bawahan yang tidak ada kuasa dan tidak ada kedudukan di dalam negara. Gejala yang nampak di mata adalah seperti berlepak-lepak, pergaduhan, sosial yang di luar batas, dadah, vandalism, gangsterism, melawan guru dan melawan ibu bapa.

Gejala yang tidak nampak di mata pula dilakukan oleh golongan atasan iaitu mereka yang biasanya ada kuasa dan ada kedudukan di dalam masyarakat dan negara. Gejala ini berlaku di tempat-tempat eksklusif, tempat-tempat tertutup di mana ada pengawal dan penjaga.Gejala-gejala itu lebih besar lagi daripada yang dapat dilihat oleh mata seperti ekonomi runtuh, negara tergugat, politik merbahaya, mungkin musuh boleh campurtangan di dalam negara.

Gejala-gejala yang tidak nampak di mata adalah seperti rasuah, tidak ada semangat bekerja, wang negara disalahguna, klik-klik dan kroni-kroni diberi peluang istimewa. Projek-projek di tangan mereka, orang yang berkuasa berlindung di sebalik orang yang diberi projek untuk peribadi mereka.

Di antara orang yang berkuasa dan yang diberi projek ada perjanjian-perjanjian yang tidak nyata. Belum lagi maksiat-maksiat seperti zina di tempat-tempat eksklusif, perempuan-perempuan simpanan oleh setengah orang penting negara. Mungkin juga kerana wang rahsia negara pun dijual kepada musuh negara. Gejala ini tidak nampak tapi buruknya amat merbahaya.

Gejala ini yang merosakkan negara payah hendak dibaikpulih kerana ia terjadi oleh orang yang berkuasa. Di setengah negara kerana kemarahan rakyat, berlakulah demostrasi setiap masa. Lagilah negara dan rakyat bertambah rosaknya dan huru-hara, keamanan tergugat, ekonomi bertambah musnah dibuatnya. Amat dahsyat dan buruk sekali dikeranakan gejala yang tidak nampak di mata.

Gejala yang nampak di mata hanya gangguan-gangguan dan kesusahan-kesusahan biasa yang adakalanya rakyat pun boleh memberi kerjasama menanganinya. Gejala yang tidak nampak di mata rakyat susah campurtangan menanganinya. Hanya Tuhan sahajalah yang campurtangan yang boleh menyelesaikannya.

Ini sebenarnya ada hikmah yang tersembunyi ramai orang tidak mengetahuinya. Ini berlaku adalah hukuman Tuhan kepada mereka yang derhaka dan sama-sama kena hukum di dunia lagi kerana dosa-dosa mereka. Gejala yang nampak di mata adalah hukuman kepada mereka yang membuat angkara yang tidak nampak di mata. Gejala yang tidak nampak di mata adalah sebagai hukuman kepada rakyat jelata yang derhaka. Begitulah caranya hukuman Tuhan di dunia kepada hamba-hamba-Nya yang derhaka. Kalau tidak insaf dan tidak bertaubat hukuman di Akhirat adalah Neraka.

Kalau satu generasi itu, apabila lahir sahaja disatu zaman, membesar di zaman itu dan melihat masyarakatnya sudah terlalu kusut di semua aspek, semua golongan sudah rosak, yakni sebagai contoh, sudah wujud krisis, pepecahan, jatuh menjatuhkan, sudah wujud pendedahan aurat, dadah, sumbang muhram, jenayah yang berbagai bentuk, pergaduhan, perkelahian dan peperangan di mana-mana, biasanya generasi yang hidup di waktu itu, secara umumnya, sudah tidak pandai menilai lagi penyakit masyarakat itu dari mana datangnya, dari mana sumbernya, siapa yang membawanya dan bila ia mula berlaku. Ini antara fikiran umum waktu itu. Biasanya generasi ini, kalau lahir sahaja, sudah begitu rupa masyarakatnya, maka setidak-tidaknya ada 3 kategori masyarakat dalam menilai dan berhadapan dengan situasi masa itu.

1. Golongan yang tidak susah hati dan boleh menerima keadaan itu

Golongan ini yang paling ramai. Mereka tidak susah hati dan boleh menerima keadaan. Seolah-olah apa yang berlaku itu sudah jadi satu budaya. Kalau orang hendak dedah aurat, dedahlah. Orang hendak bergaduh, bergaduhlah. Ikut sahaja apa yang dicorak oleh masyarakat. Kalau masyarakat penipu, dia pun tipu sama. Kalau masyarakat jahat, dia pun jahat sama. Kalau masyarakat khianat, dia pun khianat sama. Kalau masyarakat amalkan rasuah, dia pun rasuah sama. Begitu juga kalau masyarakat jatuh menjatuhkan, dia pun kalau berpeluang, buat juga. Sudah begitu keadaannya. Dia lahir sahaja, hidup masyarakat sudah begitu. Seolah-olahnya, budayanya sudah begitu. Ikut sahaja lah. Ini satu golongan. Bahkan golongan ini yang paling ramai.

2. Golongan yang rasa sedih berhadapan dengan situasi itu

Golongan ini tidak boleh terima apa yang sedang berlaku. Bukan begini masyarakat Islam. Masyarakat yang tidak ada harmoni dan kasih sayang. Menakutkan dan membimbangkan. Ini golongan yang kedua. Golongan ini, walaupun tidak terpengaruh dengan suasana masyarakat tetapi tidak ada cita-cita hendak membaikinya. Kalau dia tidak tahan, dia carilah tempat-tempat yang dia agak boleh selamat. Dia memencilkan diri dan bawa diri. Kurang berada di tengah masyarakat. Ini golongan yang kedua. Golongan ini sangat sedikit.

3. Golongan yang tidak boleh menerima keadaan masyarakat, bercita-cita dan berusaha membaikinya

Golongan ini tidak boleh terima keadaan masyarakat yang begitu rupa. Bukan begini yang dibuat oleh Rasulullah. Bukan begini berlaku di zaman salafussoleh. Bukan begini masyarakat yang Tuhan hendak. Datang satu cita-cita dan kemahuan yang kuat untuk baiki semula masyarakat Islam yang sudah rosak. Dia pun mencari kawan-kawan yang sealiran lalu menyatu padukan kawan-kawan yang seiya sekata. Kemudian dia susun barisan perjuangan, datang ke tengah mastarakat, berdakwah, memberi ilmu dan pendidikan untuk pulihkan semula masyarakat yang sudah begitu kronik. Ini golongan yang paling sedikit. Ini golongan yang ada cita-cita. Biasanya, kalau masyarakat itu sudah di puncak kronik penyakitnya, orang yang ada cita-cita begini, mesti bermula dari seorang pemimpin yang yang mengumpul kawan-kawannya yang juga ada cita-cita, datang ke tengah masyarakat untuk membaiki semula masyarakat yang sudah rosak. Biasanya bila di kemuncak kejahatan, maka pemimpin yang Tuhan lahirkan itu, kalau waktu ada Rasul, maka Rasul-lah. Kalau waktu itu sudah tidak ada Rasul, maka pemimpin yang Tuhan lahirkan itu ialah mujadid. Mujadid datang 100 tahun sekali yakni di setiap awal kurun Hijrah.

Bila satu generasi itu melihat gambaran hidup yang saya telah katakan tadi, mereka yang sedar dan insaf, yang hendak membaik pulih semula masyarakat Islam yang telah rosak, dia mesti mengkaji, dari mana sumbernya penyakit ini, bila bermulanya dan siapa pencetusnya. Jadi pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan, pasti Tuhan beri dia faham. Di antara yang Tuhan fahamkan, ada dua sebab terbesar mengapa masyarakat itu jadi begitu, sudah begitu dirosakkan. Kebanyakan orang tidak tahu sumbernya. Pemimpin yang ditunjuk Tuhan itu, dia dapat melihat mengapa masyarakat itu jadi sampai begitu rupa. Pemimpin yang dipimpin oleh Tuhan, dia sempat melihat apa yang disebut oleh hadis yakni bila masyarakat itu sudah begitu rosak, ada dua sebab terbesar yakni ada dua golongan penting dan berpengaruh di tengah masyarakat sudah rosak iaitu ulama dan pemimpin. Ini memang dijelaskan oleh hadis. Ada dua golongan manusia yang apabila mereka baik, maka baiklah masyarakat. Tetapi apabila dua golongan ini rosak, maka rosaklah masyarakat. Mereka ialah ulama dan pemimpin.

Golongan yang pertama adalah ulama. Bila ulama sudah rosak, oleh kerana dia adalah contoh maka rosaklah rakyat. Ulama ibarat benteng masyarakat. Bila benteng rebah, masyarakat ikut rebah. Yang kedua adalah pemimpin. Pemimpin itu ada berbagai-bagai peringkat. Samada bertaraf negara, bertaraf bangsa, bertaraf etnik, bertaraf jemaah atau bertaraf puak, pokoknya dia pemimpin. Pemimpin itu adalah bayangan masyarakat. Pemimpin adalah orang yang disegani dan berpengaruh di kalangan masyarakat. Apabila dia rosak, mudah sahaja masyarakat rosak. Bila pemimpin semua peringkat sudah rosak, maka rosaklah masyarakat.

Dari sini baru kita faham, bila masyarakat itu rosak, puncanya bukan dari masyarakat tetapi ia adalah berpunca dari dua golongan ini iaitu ulama dan para-para pemimpin. Ini diberitahu oleh Tuhan melalui lidah Rasulullah SAW.

Hadis juga beritahu, sebab yang kedua mengapa berlakunya kerosakan masyarakat adalah kerana umat Islam ini sudah cinta dunia dan takut mati untuk Tuhan. Untuk dunia, umat Islam sanggup mati. Untuk pangkat, sanggup mati. Untuk duit dan untuk perempuan, sanggup mati. Tetapi untuk Tuhan, tidak. Jadi faktor kedua ialah cinta dunia dan takut mati. Bila cinta dunia, ertinya tidak cinta Tuhan. bila cinta dunia, ertinya tidak takut Tuhan. Bila tidak takut dan tidak cinta Tuhan, ertinya jati diri umat Islam sudah roboh. Rohnya sudah kiamat. Sudah terdedah kepada segala maksiat. Bila tidak takut dan cinta Tuhan, seolah-olah hati itu sudah ternganga untuk menerima berbagai-bagai kejahatan. Bila begitu keadaannya, musuh ambil peluang. Yahudi ambil peluang setelah mereka faham jati diri umat Islam sudah tumbang. Maka Yahudi masukkan berbagai perkara negatif seperti bahan-bahan lucah, bahan-bahan yang boleh merosakkan akhlak, perkara-perkara yang boleh menyuburkan nafsu jahat, sesuai dengan hati umat Islam yang sudah terdedah kepada kejahatan kerana tidak takut dan tidak cinta Tuhan lagi.

Orang Yahudi ambil perhatian. Orang Islam tidak ambil perhatian. Termasuklah para ulama. Orang yahudi menunggu. Dari masa ke masa dia baca umat Islam. Bila dia lihat umat Islam sudah cinta dunia dan takut mati kerana Tuhan, dari situlah dia masukkan berbagai perkara negatif untuk rosakkan iman, rosakkan akhlak, rosakkan nafsu dan perpaduan umat Islam. Akhirnya makan masa beratus tahun, maka terjadilah masyarakat sebagai mana yang saya gambarkan tadi. Bila satu generasi itu lahir-lahir sahaja sudah berada dalam masyarakat yang tidak sihat itu, mereka tidak tahu apakah puncanya.

Dengan kasih sayang Tuhan, Dia tidak biarkan keadaan itu berlama-lama. Maka Tuhan lahirkan seorang pemimpin.Begitulah yang disebut oleh Rasulullah. Sebab itu Rasulullah pesan, waktu ini kena cari walaupun terpaksa susah payah dan berkorban. Bila jumpa, wajib ditaati. Begitulah anjuran Allah melalui lidah Rasulullah SAW. Malangnya umat Islam lupakan pesanan hadis. Dia terpengaruh dengan pejuang-pejuang yang ada. Terpengaruh dengan politik, dengan militan, terpengaruh dengan ajaran-ajaran ekonomi yang ada hingga terlupa pesanan Allah melalui lidah RasulNya.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer