Gejala Sosial(2)


05/03/2006

Keduanya, membersihkan hati atau jiwa. Kejahatan manusia ada yang berbentuk maksiat batin dan ada yang berbentuk maksiat lahir. Maksiat batin hendaklah gunakan pendekatan dakwah dan pendidikan yang berterusan. Barulah berkesan untuk manusia meninggalkan kemungkaran. Kita juga hendaklah menutup segala pintu maksiat supaya bukan sahaja manusia tidak melakukan kejahatan bahkan menghampirinya juga hendaklah dilarang.

Gejala masyarakat ini ibarat najis. Ia sudah merata. Hendak dibersihkan mestilah berhati-hati. Jika tidak ia akan merebak lebih jauh lagi atau tidak terbendung lagi. Najis bersifat rohaniah lebih susah untuk dibersihkan. Ia ibarat mengubat satu wabak penyakit. Ia memerlukan seorang doktor pakar, tepat kaedah merawat dan dapat memberi ubat yang tepat untuk wabak itu cepat sembuh.

Begitu juga dengan gejala masyarakat ini. Untuk membenterasnya tidak boleh teragak-agak, mencuba-cuba, trial and error kerana ia melibatkan nyawa manusia. Jika silap cara pengubatannya, pesakit akan tenat dan penyakit akan merebak hingga membawa maut. Jika seorang mukmin mati dengan penyakit lahir, ia sebagai penghapusan dosa atau untuk meninggikan darjatnya. Jika ia mati bersama-sama dengan penyakit batin, ia akan dihumbankan ke dalam neraka.

Gejala masyarakat boleh dibendung dengan adanya orang yang pakar tentangnya, berwibawa dan disegani untuk memimpin masyarakat ke arah pencegahan gejala ini. Dia mesti tahu cara untuk merawat gejala ini dengan ada ilmu tentangnya yang boleh digunakan secara praktikal dalam perlaksanaannya. Dia juga mesti mampu untuk memberi kaedah yang bijaksana, tepat, sesuai dengan suasana yang tertentu, penyakit yang tertentu dan golongan yang tertentu.

Didik manusia tidak boleh dipaksa-paksa, diugut-ugut, ditakutkan, diasak-asak. Tidak boleh trial and error. Mendidik binatang atau kaedah tanam pokok bolehlah dicuba-cuba. Tanaman jika tidak menjadi, boleh dimusnahkan. Kalau manusia rosak, binasa generasi ke generasi. Manusia ada akal dan nafsu tidak boleh dilayan seperti tanaman dan haiwan. Binatang kalau payah dididik di sembelih sahaja. Dia boleh melawan tetapi tidak pandai bertindak melawan tuannya. Manusia kalau dididik tidak menjadi, mereka bukan sahaja akan sakit hati malah boleh bertindak. Dunia bertambah rosak.

Generasi yang rosak bukan boleh dipulih dalam masa yang singkat atau mudah. Bila kerosakan merata dan tidak dapat dibendung lagi, Tuhan hantar wakilnya yang membawa kaedah dan ubat dari Tuhan. Wakil Tuhan itu mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Ikhlas berbuat kerana Tuhan. Bukan dipaksa, kebetulan atau sudah terkena diri baru ingin bertindak.
2. Faham siapa yang patut menjadi teras dalam menanganinya. Bukan sebarang orang yang layak. Hanya orang yang bertaqwa yang layak.
3. Golongan sampingan yang perlu turut serta mesti dikenalpasti.
4. Faham golongan mana dalang atau yang sedang berperanan secara sedar atau tidak sedar merosakkan masyarakat.
5. Peka dan kenal pasti golongan yang mengambil kesempatan atas kerosakan.
6. Faham maksud tersirat Tuhan iaitu gejala ini merupakan bala dari Tuhan.

Syarat-syarat ini mesti dipenuhi. Jika tidak menepati syarat-syarat ini, jangan masuk campur sekalipun berjawatan tinggi, dikenali ramai. Ia ibarat tikus membaiki labu. Oleh itu, kita patut serahkan pada orang yang berkelayakan. Tuhan tidak memberi seseorang itu pakar dalam semua bidang. Kita patut memberi laluan kepada orang yang layak dan tepat walaupun tercabar. Kalau masing-masing ingin mempertahankan kuasa dan kedudukan, binasalah generasi di tangan kita nanti.

Banyak perkara yang kita bertindak dan salah tangani gejala ini. Di antaranya:
1. Zina, khalwat, pergaulan bebas, rogol, sumbang muhram. Majalah, filem, novel, lagu-lagu lucah berlambak tanpa sekatan. Majalah, filem bentuk keagamaan dan kesedaran disusah-susahkan penerbitan, pasaran dan penyiarannya. Tindakan ini ibarat menanam pokok beracun. Ia akan menghasilkan buah beracun dan memudaratkan tapi disiram dan dibajai setiap hari. Bolehkah tangan-tangan sedemikian yang hendak membenterasnya?

2. Mengintip, mengendap kes-kes khalwat. Pihak-pihak tertentu mencegah kefasikan dengan cara fasik. Mencegah yang haram dengan cara haram.

3. Gejala dadah ingin dibenteras tetapi diwaktu yang sama rokok tidak disekat samada iklan, jualan dan kilang memproses rokok.

Jika pemimpin yang tidak cukup syarat atau jahat sifatnya yang bertindak membenteras gejala ini, mereka memimpin orang jahat dan orang baik. Hasilnya, orang baik pun akan menjadi jahat. Rakyat yang jahat bertambah kejam dan zalim. Akan berlakulah orang jahat memikirkan orang jahat. Penzaliman dan penindasan difikirkan oleh orang zalim dan menindas. Yang kaki tipu pula akan membendung penipu dan berbagai kerosakan lagi.
Ramai yang akan teraniaya terutama orang yang baik. Orang jujur dimusuhi, yang benar akan disalahkan, yang ikhlas akan dipandang serong dan sebagainya. Orang jahat akan mendapat tempat, dimuliakan, diberi anugerah, disanjung, mentadbir, membangun dan menguasai dunia. Kalau pemimpin itu tidak menekan dia pula tertekan. Mereka tutup kelemahan dengan memarahi rakyat atau orang bawah. Perlulah pemimpin yang tepat dan layak tampil untuk membenteras gejala masyarakat ini agar masyarakat kembali aman dan makmur, membesarkan Tuhan dan merasakan diri ini hanya hamba Tuhan.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer