Gejala Sosial - Bagaimana Menanganinya?(2)

Kuliah Perjuangan


25/02/2006

Selain daripada faktor di atas, ada beberapa perkara lain yang perlu kita ambil perhatian serius dalam soal menangani masalah gejala sosial. Antaranya:

1)Kalau di sekolah tempat sumber para pendidik dan pendidikan manusia sudah tidak mampu lagi melahirkan manusia yang berdisiplin lahir dan batin, tentulah lebih susah melahirkan manusia yang berdisiplin lahir dan batin di kilang-kilang, di padang, di hutan-hutan rekreasi, di ladang, di pejabat dan lain-lain tempat, kerana tempat-tempat itu bukan gelanggang pendidikan.

2)Sepatutnya manusia yang terdidik itu lahir daripada guru-guru yang terdidik, pemimpin guru-guru seperti pengarahnya, nazir-nazirnya dan menteri-menterinya juga terdidik kerana meraka adalah specialists dalam bidang itu.

3)Dasar pelajaran dan pendidikan yang digunakan mestilah baik.

4) Dasar pendidikan dan pelajaran yang baik itu menekankan hubungan manusia dengan Allah, dan hubungan manusia sesama manusia, hingga lahir manusia yang takutkan Allah . Dari sinilah timbul sifat adil, amanah, timbang rasa, tawadhuk, pemurah dan pandai menghormati manusia mengikut taraf masing-masing; dengan guru bagaimana, dengan ibu bapa bagaimana, dengan pemimpin bagaimana, dengan kawan sebaya bagaimana, dengan orang yang di bawah peringkatnya bagaimana dan meletakkan diri di dalam pergaulan bagaimana.

5)Kita harus terima bahawa gejala-gejala masyarakat hari ini merupakan hukuman atau bala dari Tuhan . Sudah tentulah ada maksud kenapa Tuhan lakukan sedemikian. Kebanyakan manusia tidak tahu perkara yang batiniah ini. Di antara perkara-perkara yang boleh mengundang hukuman Tuhan ialah ibu bapa dan guru-guru tidak benar-benar mendidik anak-anak dengan berdasarkan syariat; ada guru-guru dan tenaga pendidik yang tidak benar-benar ikhlas dalam mendidik. Mereka mengajar anak murid mereka kerana hendakkan gaji atau kedudukan dan bukan untuk mencari keredhaan Tuhan.

6)Mungkin kita sudah menjadi sombong, bangga, suka mencari nama, memperkecil-kecilkan orang lain kerana kita sudah berjaya di sudut-sudut lain seperti dalam bidang pembangunan dan ekonomi. Kerana sudah hilang rasa-rasa hamba ini maka Allah rosakkan pula aspek yang lain, seperti pendidikan dan kehidupan yang aman damai. Akhirnya kejayaan-kejayaan itu tidak lagi memberi erti kepada kita. Apa ertinya sebuah banglo yang besar tetapi anak menjadi pembunuh? Apa erti sebuah perniagaan yang berkeuntungan besar apabila masyarakat sekeliling sentiasa hasad dengki dengan kita? Tujuan Allah datangkan bencana ini ialah supaya kita kembali kepada Allah dan tidak menghina orang lain yang tidak mampu membuat kemajuan. Allah mahu supaya semakin banyak nikmat Allah (kemajuan) yang Allah berikan, semakin kita merendah diri dan bukan membesar diri. Allah mahu mengajar kita bahawa manusia mampu berusaha, tetapi yang menjayakannya ialah Allah Taala, agar kita tidak sombong.

7)Mungkin kita hanya mengiktiraf usaha-usaha (pendidikan) kita atau golongan yang sama prinsip dengan kita. Kemudian kita ketepikan dan menyalahkan sehingga ke tahap menyusahkan orang lain yang (kaedah pendidikan mereka) tidak sebulu dengan kita, sama ada secara terang-terangan atau secara senyap-senyap. Lantaran itu Allah murka, maka Allah lakukan melalui usaha dan dasar yang kita buat itulah yang menimpakan mala petaka kepada kita.

8)Untuk sebahagian umat Islam, mereka tidak percaya bahawa bala bencana yang berlaku (gejala sosial) itu adalah disebabkan oleh dosa. Oleh itu mereka tidak akan merasa berdosa dan dengan itu mereka tidak akan bertaubat kepada Allah di dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Mereka sekadar menghubung-kaitkan gejala itu dengan sebab-sebab lahiriah seperti masalah kemiskinan, tidak ada hubungan yang rapat dengan ibu bapa, oleh kerana keadaan memaksa seperti bekerja di tempat yang jauh atau masa panjang di luar rumah, maka hal-hal inilah yang cuba dibaiki. Y ang sebenarnya hal-hal lahir itu adalah sampingan sahaja atau hal-hal tambahan yang menjadi penyebab, tetapi yang lebih pokok lagi ialah dosa.
Bukankah Al Quran ada berkata yang bermaksud:
Kami tidak membinasakan suatu kampung (negara/negeri) kalau penduduknya baik.
Apabila Allah timpakan sesuatu bala bencana itu lantaran dosa, maka balanya merata. Orang yang baik juga tidak terkecuali ditimpa sama.

9)Kebanyakan pelajaran dan tenaga pengajar kita lebih banyak menekankan tentang soal teknikal. Terlalu kurang yang menekankan tentang roh/nafsu. Terlalu banyak masa dan wang yang terkorban kerana memikirkan soal teknikal. Persoalan seperti bagaimana hendak menundukkan hawa nafsu yang jahat seperti tamak, cinta dunia, pemarah, sombong dan lain-lain lagi hampir tidak diajar oleh guru. Kalaupun ada yang menyebut hal kerohanian, ia masih kabur dan tidak dapat membangunkan jiwa.

10)Pendidikan kita sekarang lebih banyak menekankan hal-hal akli dan fizikal. Terlalu sedikit tentang kerohanian, yang sedikit itu pun tidak begitu jelas.

11)Semua guru sepatutnya menjadi guru kaunseling dan tidak payah diwujudkan guru-guru yang tertentu sahaja untuk menjadi guru kaunseling. Di dalam Islam setiap guru itu bertanggungjawab tentang pelajaran dan pendidikan anak-anak muridnya. Mereka akan memberi bimbingan kaunseling dalam apa jua hal yang tidak kena pada para pelajar bahkan guru yang mengajar lebih berhak memberikan bimbingan kaunseling kepada pelajar kerana mereka rapat dengan pelajar. Sudah tentulah mereka lebih faham bagaimana hendak membantu pelajar. Tetapi guru-guru kaunseling yang dikhususkan, mereka hanya memberi kaunseling bila ada timbul masalah pada pelajar itu. Hanya pada waktu masalah itu timbullah, mereka baru hendak kenal pelajar itu. Sudah tentulah ini menjadi satu kekurangan.

12)Apabila ukuran kita selama ini tentang baik dan buruknya sesuatu perkara itu dibuat berdasarkan akal dan bukan syariat, ada perkara-perkara yang menjadi gejala-gejala masyarakat yang tidak dianggap gejala. Seperti pendedahan aurat, pergaulan bebas, tari-menari yang bercampur lelaki dan perempuan, gambar-gambar perempuan yang seksi semua ini dibiarkan berleluasa. Padahal setengah-setengah gejala sosial itu berpunca daripada amalan yang kita anggap tidak apa ini. Contohnya, masalah homoseks, lesbian, masalah pencabulan kehormatan, rogol dan lain-lain lagi. Jiwa pelaku-pelaku yang sudah rosak teruk ini sebenarnya berlaku sedikit demi sedikit secara tidak sedar lantaran amalan-amalan yang telah disebutkan tadi.

Demikianlah di antara perkara-perkara penting yang perlu diambil kira di dalam usaha-usaha membanteras gejala sosial. Ia bukan satu perkara mudah yang boleh dicuba-cuba.
Untuk mendapatkan kaedah yang tepat, mahu atau pun tidak, maka bagi kita yang masih teraba-raba dan tercari-cari ini hendaklah mencari dan merujuk kepada pendidik yang benar-benar sudah berjaya mendidik diri, keluarga dan anak muridnya sehingga bebas dari sebarang unsur gejala sosial.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer