Gejala Sosial - Bagaimana Menanganinya?(1)

Kuliah Perjuangan


24/02/2006

" Kaedah pendidikan tidak boleh trial and error. "

Petikan:

" Mereka ini mestilah faham golongan manakah yang menjadi teras kepada sesuatu masalah itu, serta tahu pula golongan sampingan yang perlu dibawa bersama. Selain itu, mereka juga tahu golongan mana yang sedang merosakkan generasi kita itu yang perlu dibanteras dan puak mana pula yang mengambil kesempatan dengan kerosakan yang ada. "

Kaedah untuk melatih binatang atau menanam pokok boleh dicuba-cuba. Kalau tidak tepat atau tidak menjadi, binatang atau pokok itu boleh dimusnahkan sahaja atau dijual murah, disembelih atau dibuat sayur. Kemudian kita boleh cari formula atau kaedah yang lain untuk dibuat percubaan kepada haiwan atau tanaman itu.

Tetapi untuk mendidik manusia yang berperanan sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya serta penerus generasi yang ada, kita tidak boleh mendidik mereka dengan membuat formula atau kaedah secara mencuba-cuba (trial and error) kerana kalau kaedah itu tidak tepat, akan musnahlah satu generasi itu. Kalau tersilap kaedah didikan kita, pelbagai gejala sosial akan timbul daripada generasi yang tidak terdidik dengan baik itu. Antaranya yang boleh kita lihat jelas wujud di dalam masyarakat kita ialah menipu, mencuri, suka merosakkan barang-barang awam, malas dan suka berpoya-poya, terjebak dalam hiburan yang melalaikan, mencabul kehormatan orang sehingga ke tahap merogol, homoseks dan lesbian, terlibat dalam ajaran sesat, membunuh dan lain-lain lagi. Yang sangat kita bimbangkan, gejala-gejala sosial ini nampaknya semakin hari semakin menjadi-jadi, baik dari segi kuantiti mahu pun dari segi magnitudnya.

Bayangkan bagaimana generasi yang ada hari ini hendak mendidik generasi mereka yang berikutnya. Kalau sudah ada lima puluh ribu penagih dadah sekarang ini, mungkin akan ada lima ratus ribu penagih dua puluh tahun akan datang. Kalau sudah ada sepuluh ribu pembunuh sekarang ini, tidak mustahil akan ada seratus ribu pembunuh yang lebih handal dan kejam dua puluh tahun akan datang. Bak kata pepatah, guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Akan punahlah suatu bangsa itu bukan untuk sedekad dua tetapi akan berlarut-larutan beratus-ratus tahun lamanya.

Pendek kata, kerja mendidik anak-anak kita adalah suatu pekerjaan yang tidak boleh gagal. Justeru itu, kaedah-kaedah atau formula-formula yang digunakan dalam melaksanakan pendidikan tersebut tidak boleh merupakan percubaan semata-mata atau trial and error. Kaedahnya mestilah tepat dan orang yang melaksanakannya mestilah layak, iaitu dia sendiri dapat menghayati kaedah-kaedah pendidikan dan boleh diapplykan kepada pelajar-pelajar atau belia-belia. Dia juga boleh mengenalpasti sasarannya yang tepat agar usahanya itu berkesan. Dengan ini, kita tidak perlu lagi teraba-raba atau mencari formula serta sentiasa mencuba-cuba.

Apakah usaha-usaha yang sudah kita buat setakat ini untuk menangani gejala sosial yang semakin meruncing ini? Sebenarnya, untuk menangani gejala sosial, tidak boleh sekadar menggembar-gemburkan isu-isunya di dalam suratkhabar, disemarakkan dengan majlis-majlis forum, dan tidak cukup juga sekadar dibuat bermacam-macam undang-undang dan peraturan atau digertak-gertak dan ditakut-takutkan dengan polis. Kaedah ini kalaupun ada kesan baiknya, hanya boleh jadi sokongan atau tambah-tambahan sahaja. Hakikatnya, kita lebih bimbang kalau usaha-usaha ini hanya akan menyuburkan lagi gejala-gejala sosial di dalam kehidupan kita.

Untuk menangani gejala sosial di dalam masyarakat, kita perlukan golongan yang ikhlas. Mereka ini yang merupakan golongan pendidik, mestilah faham golongan manakah yang menjadi teras kepada sesuatu masalah itu, serta tahu pula golongan sampingan yang perlu dibawa bersama. Selain itu, mereka juga tahu golongan yang mana yang sedang merosakkan generasi kita itu yang perlu dibanteras dan puak mana pula yang mengambil kesempatan dengan kerosakan yang ada.

Dan kalau kita bukanlah orang yang tepat untuk menangani gejala sosial di kalangan pelajar atau remaja, kita jangan campurtangan walaupun kita ada jawatan ataupun oang yang terkenal. Kita serahkanlah kerja ini kepada orang lain yang boleh melaksanakannya. Kita sedar bahawa Tuhan tidak memberi seseorang itu pakar dalam semua bidang. Walaupun boleh mencabar kewibawaan kita, kalau kita tidak faham bidang ini, kita janganlah memandai-mandai. Kalau ada golongan yang lain, cuma mereka tidak menonjolkan diri atau keadaan tidak membolehkan mereka menonjolkan diri, maka kita yang ada kuasa hendaklah memberikan laluan kepada mereka. Kita tonjolkanlah mereka, dan kita boleh membantu secara teknikal, kewangan atau dengan berdoa untuk mereka.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer