Gambaran Umat Islam Di Dunia(2)

Kuliah Umum


19/07/2006

Tidak kurang juga di dalam hidup kita ini kita bertemu dengan orang yang cemerlang di dalam bidang agama dan cemerlang juga di sudut dunianya. Berjaya di dalam kemajuan agama berjaya di bidang kemajuan dunianya. Di bidang dakwah dia yang berjaya menyedarkan dan menginsafkan sebahagian manusia samada yang Islamnya dapat ditingkatkan keislamannya mahupun dapat mengislamkan orang yang bukan Islam. Ramai orang yang berubah hasil didikan daripada jahat kepada baik, daripada tidak Islam menjadi Islam, ramai orang sayang kepadanya, kerana dia membawa agama cintakan Tuhan dan cintakan sesama manusia tidak kira apa bangsa dan agama.

Di samping itu dia juga berjaya membawa pengikut-pengikutnya maju di sudut kemajuan dunianya dapat menegakkan ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. Maka dia pun terkenal. Pengaruhnya besar maka ada pula sebahagian pemimpin yang iri hati akhirnya hasad dengki. Pemimpin itu merasakan kepimpinannya tercabar dan tercalar. Ditakuti pengaruhnya terhakis, maka untuk menjatuhkannya dia dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan dan alasan, dia dituduh militan, tidak campur orang, membawa ajaran sesat dan lain-lain lagi tuduhan untuk mengelirukan rakyat agar dia munasabah ditangkap dan diharamkan gerakannya. Padahal orang itu menguntungkan bangsa, negara dan agama bahkan menjadi aset bangsa dan negara tapi oleh kerana dia berpengaruh mengatasi pemimpin yang ada maka dia dinyahkan dan dipinggirkan melalui hukuman yang dijatuhkan.

Begitulah bangsa Islam yang sudah rosak fikiran dan jiwanya, sekalipun seseorang itu menguntungkan bangsa, negara dan agama tapi pemimpin tercabar, tidak menguntungkan pemimpin maka terpaksalah bangsa, negara dan agama menerima kerugian yang besar dan inilah salah satu sebab di akhir zaman tidak ada satu bangsa umat Islam yang kuat dan gagah kerana sikap yang telah kita nyatakan tadi.

Di dalam hidup ini kita jumpa juga ada sekelompok manusia di kalangan umat Islam yang akhlak mereka telah rosak, ramai umat Islam yang telah menjadi mangsanya, terutama muda-mudi. Mereka merosakkan generasi di zamannya melalui pergaulan bebas, melalui suaranya, melalui budaya kuning dan liar yang selalu dipertontonkan.di kaca tv, di tempat umum. Dipamerkan akhlak mereka dan sikap hidup mereka di muka-muka suratkhabar dan media-media massa. Kalau ada orang yang sedar dan mengkritik, kerana perbuatan mereka sudah ramai orang yang rosak agama dan akhlaknya. Orang yang akan mempertahankan puak-puak itu adalah para pemimpin mungkin juga ada sebahagian ulama. Bukan mereka tidak sedar bahawa puak itu telah merosakkan agama dan akhlak rakyat dan telah meliarkan muda-mudi daripada Tuhannya maka side effectnya berlaku banyak jenayah, zina, rogol, pergaduhan, tidak taat ibu bapa dan guru, pergaduhan, vandalism dan lain-lain gejala sosial yang memeningkan kepala semua golongan masyarakat oleh kerana mereka sudah terlalu lalai bukan sahaja mereka telah meninggalkan agama mereka bahkan kemajuan dunia pun mereka abai dan cuaikan.

Setengah golongan yang menguasai masyarakat dan media massa bukan tidak sedar bahawa perbuatan mereka boleh merosakkan agama dan bangsa, tapi mereka mendapat untung dan tidak mencabar para pemimpin bahkan setengah pemimpin pula ambil peluang dan tumpang semangkuk di tengah-tengah majlis bersama mereka itu. Maka sebab itulah para pemimpin membiarkan sahaja perbuatan mereka itu tanpa dibendung dan disekat, padahal setengah mereka ada kuasa membendung dan menyekat. Begitulah kalau pemimpin juga sudah rosak moral dan aqidah mereka, mereka juga turut hanyut di tengah masyarakat itu bukan sahaja mereka tidak mendapat cemuhan, bahkan memberi tempat berleluasa golongan perosak itu. Mereka disanjung dan dimuakan, hinggakan golongan perosak itu lebih berani lagi mencipta budaya liar dan tidak bersopan hingga susah hendak dikawal.

Pernah juga kita berjumpa ada golongan korporat yang berjaya, hidup mewah tajaan negara. Dia memberi kekuatan ekonomi kepada negara, menteri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan pun segan dan hormat kepada mereka kerana kekayaannya dia pun lupa daratan, agama itu hanya di upacara-upacara yang rasmi sahaja, bergaul pun dengan orang yang ada kelas, dia hanya bergaul dengan para-para menteri sahaja. Pada mereka agama hanyalah untuk orang-orang kampung, orang-orang miskin dan ahli-ahli agama. Dia lebih popular daripada para menteri di mana ada menteri dia ada. Kalau menteri bersembahyang di masjid dia sama ikut bersembahyang di masjid. Bergaul dengan golongan bawahan jangan mimpilah kecuali mungkin di majlis-majlis rasmi sekali-sekala sebagai adat dan tradisi masyarakat.

Mereka itu walaupun tidak mempedulikan agama, tidak pernah orang mengata, berleluasa, negara pun bangga. Dia hendak buat apa pun tidak ada orang yang berani mengkritik, siapa berani mengkritik, dia orang penting negara, dia memberi kekuatan kepada ekonomi negara, seolah-olah mereka orang istimewa yang dikecualikan daripada sebarang disiplin agama, maklumlah anak emas negara.

Begitulah kalau seseorang itu kedudukan dan status dunianya tinggi dan istimewa kalau sikap hidupnya orang tidak suka pun, orang segan hendak mengata dan menghinanya. Tapi kalau orang itu beragama, berpengaruh pula, cuma dia bukanlah anak emas sesiapa, tapi ada pengikut, akan ada para pemimpin dan ahli agama yang iri hati dan sakit hati maka akan dicari-carilah kesalahannya. Kalau kecil pun kesalahannya maka akan dibesar-besarkan lebih-lebih lagi kalau ada perbuatan mereka yang tidak boleh difaham oleh masyarakat umum sekalipun ada di dalam ajaran agama tapi sudah tidak difaham lagi oleh ramai umat Islam apatah lagi mengamalkan maka ada alasan untuk disesatkan agar orang itu ditolak oleh masyarakat Islam. Begitulah watak akhir zaman, yang haq selalunya ditolak, yang batil diterima. Orang baik dimusuhi, orang jahat dihormati kerana ada keuntungan duniawi.

Oleh kerana kebenaran dan yang haq itu dari Tuhan, ia adalah teguh dan kuat di belakangnya dibacking oleh Tuhan jangka panjang yang benar dan haq itu akan terserlah juga. Akhirnya yang haq itu akan berjaya dan menang. Ia hanya sebagai ujian dari Tuhan kepada pejuang-pejuangnya. Memang sudah menjadi tradisi dan sunnatullah yang batil itu cepat berjaya dan menang. Yang haq lambat berjaya dan lambat menang.

Kerana memang Tuhan lakukan begitu agar orang yang memperjuangkan kebenaran itu diberi pahala yang banyak kerana Tuhan mahu orang-orang-Nya itu biarlah istimewa di Akhirat daripada dunia yang murah dan sementara waktu ini.

Sekianlah sedikit gambaran kehidupan manusia umat Islam di dunia akhir zaman ini, nilainya telah berubah begitu rupa, sudah terbalik. Orang jahat mendapat tempat dan sanjungan, orang baik dimusuhi, disingkirkan dan dipinggirkan.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer