Gambaran Umat Islam Di Dunia(1)

Kuliah Umum


18/07/2006

Di dalam kehidupan kita ini kalau kita luas pergaulan, lebih-lebih lagi jika kita jauh perjalanan, lihat kehidupan di kampung dan kehidupan orang di bandar, bandar kecil atau bandar besar apatah lagi kalau kita ada kesempatan pergi keluar negara melihat kehidupan berbagai-bagai etnik dan bangsa, terutama yang berbagai etnik dan bangsa itu adalah yang beragama Islam.

Di dalam pergaulan kita yang luas itu berbagai-bagai watak, ragam dan sifat manusia yang kita temui dan jumpa di dalam berbagai-bagai ragam, watak dan sifat manusia itu pula tidak sama pula orang atau golongan yang memberi nilai kepada masyarakat yang di sekelilingnya, tidak kurang juga ada orang yang tidak mempeduli orang yang di kelilingnya, apa pun yang berlaku dan terjadi dia tidak ambil peduli, dia tidak ambil kisah pun, dia dengan keluarganya sendiri sahaja. Seolah-olah dia hidup tidak campur orang, hanya dia sendiri dan sekitar keluarganya sahaja sekalipun hidup berada di tengah ramai. Memang ada orang yang hidupnya sikapnya begitu.

Pernah kita jumpa ada keluarga yang hidup mereka miskin, mereka hidup dengan hasil pertanian yang mereka usahakan sendiri, pada mereka tidak ada duit, yang ada adalah bahan-bahan makanan daripada hasil tangan mereka, mereka hidup beragama secara sederhana, sembahyang tidak pernah ditinggalkan, hidup di dalam satu keluarga yang aman damai, bekerjasama, rasa bersama, jiran di sekelilingnya mereka sangat hormati, hasil pertanian mereka setelah dipetik diagih-agih kepada jiran-jiran mereka, keluarga yang begini baik tidak ada pun masyarakat hendak memuji-muji sekalipun mereka beragama dan sangat berbudi kepada masyarakatnya. Bahkan tidak pernah mengganggu masyarakatnya. Mereka tidak dinilai apa-apa oleh masyarakat kerana di kalangan keluarga itu tidak ada yang berkelulusan tinggi betapa pulalah yang cemerlang di dalam pelajaran dan jawatan. Mereka pun memang tidak terfikir hendak meminta dipuji oleh masyarakat, orang pun tidak ambil pusing tentang mereka kerana keluarga itu tidak ada apa-apa istimewanya di segi dunia begitulah di dalam masyarakat yang hidup cintakan dunia bahawa kejayaan dunia itulah nilai manusia. Soal mereka tidak beragama mereka tidak ambil kira bahkan tidak dianggap cacat pun, yang penting mereka ada kelulusan, ada jawatan tinggi, ada nama, maka mereka itu manusia yang mendapat sanjungan dan pujian. Nama mereka sentiasa di dalam bualan manusia, memuji-muji, menyanjung-nyanjung mereka dijadikan contoh dan model sekalipun mereka tidak kenal dan tidak takutkan Tuhan, agama ditinggalkan di dalam kehidupan.

Di dalam pengalaman hidup kita, tidak kurang juga kita pernah melihat ada keluarga yang kejayaan dunianya cemerlang dan terbilang, berpelajaran tinggi, berjawatan istimewa. Ada anaknya yang jadi doktor, ada yang engineer, pensyarah, korporat. Oleh kerana kejayaan itu keluarga itu merasakan ada kekuatan berdiri sendiri, tanpa bersandar dengan orang lain, mereka telah mencipta kejayaan hidup yang senang dan selesa. Orang begini biasanya lupa Tuhan, agama tidak ada di dalam kamus hidupnya, tanpa memikirkan Tuhan mereka boleh hidup istimewa, tanpa beragama mereka boleh senang. Mereka lebih istimewa hidupnya daripada orang beragama, mereka melihat memang ada orang yang beragama hidupnya miskin, susah, anak-anaknya tidak ada yang berpelajaran dan berjawatan tinggi, lantas memandang orang yang beragama itu hina, bahkan ada yang menuduh agamalah yang menjadi sebab mereka miskin, tidak berpelajaran tinggi dan tidak berjawatan tinggi. Fikiran dan jiwa masyarakat umum pun sudah sama macam fikiran mereka, sekalipun ada di kalangan mereka itu juga tidak maju dan tidak bernasib baik maka keluarga tadi dianggap orang yang berjaya di dalam hidupnya walaupun sudah kehilangan Tuhan dan agama.

Masyarakat memuji-muji dan menghormati mereka. Masyarakat menjadikan keluarga itu adalah contoh, mereka dibual-bualkan oleh masyarakat di dalam perbualan-perbualan mereka, sekalipun mengikut Tuhan mereka adalah orang-orang jahat dan fasik, tapi ukuran masyarakat adalah baik.

Begitulah apabila dunia yang menjadi ukuran bukan agama, orang baik dianggap jahat, orang jahat dianggap baik. Yang cemerlang dianggap malang, yang malang dianggap cemerlang. Di dalam kehidupan kita di dunia ini, tidak kurang juga ada keluarga tidak maju di dalam pelajaran, tidak ada jawatan tinggi, tidak pula kaya, hanya hidup sederhana. Oleh kerana mereka sedar membina nama dengan kecermelangan dan terbilang itu adalah mengikut ukuran dunia bukan Akhirat, mereka hidup berbangga dengan pelajaran dan jawatan tinggi sedangkan mereka tidak berjaya memperolehinya. Mereka hendak juga membina nama dan glamor, mereka inginkan disanjung tinggi dan dihormati, maka mereka pun mencari nama dengan jalan singkat, mereka membuat perkara-perkara yang pelik untuk mencari nama dan kemasyhuran, mereka pun memanjat gunung-gunung yang tinggi, atau berenang menyeberang di lautan dalam, maka mereka pun mendapat pujian negara.

Mereka diberi pingat dan diberi gelaran wira bangsa dan negara sekalipun mereka tidak berpelajaran tinggi dan berjawatan istimewa dan tidak beragama, Tuhan tidak ada di kepalanya, maka mereka pun dianggap orang baik dan berjasa oleh negara atau bangsa yang semacam mereka. Padahal mengikut pandangan Tuhan mereka adalah orang-orang jahat yang diberi gelaran baik. Mereka adalah tertipu oleh nama dan gelaran. Mereka tidak pun mengharap keredhaan Tuhan, tapi mengharapkan keredhaan bangsa dan negara. Orang semacam ini termasuk orang yang tertipu di dalam kehidupan. Kalau tidak bertaubatlah mati, Nerakalah jawapannya, waliyazubillah.

Mungkin pandangan saya ini sensitif buat masyarakat hari ini, ia mungkin akan menjadi kemarahan sesetengah orang, yang sudah rosak cara berfikirnya dan yang sudah rosak jiwanya.

Orang yang tidak ada jasa pada bangsa dan negara hanya sekadar boleh panjat gunung yang tinggi dan boleh menyeberangi lautan yang dalam dan luas, kalau kita kritik ramai orang yang akan marah dan menuduh kita hasad dengki dan sebagainya Padahal apa sahajalah jasa mereka kepada bangsa dan negara lebih-lebih lagi kepada agama, sekadarkan menunjukkan kekuatan fizik padahal pada waktu menjayakan kemampuan-kemampuan itu agama sudah terabai, Tuhan sudah di kebelangkan. Mungkin di masa itu negara terpaksa menyumbang kewangan untuk kejayaannya, sedangkan mereka tidak menyumbang apa-apa yang berbentuk material dan ilmu kepada bangsa dan negara.

Begitulah cara berfikir umat Islam hari ini di seluruh dunia termasuk pemimpin umat Islam mungkin juga ulama yang sudah begitu tersasul dan tersasar dari kebenaran. Yang sudah jauh daripada yang dikehendaki oleh Tuhan pencipta manusia itu sendiri.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer