Fitrah Semulajadi Manusia Inginkan Perpaduan


15/11/2006

Telah menjadi fitrah atau tabiat semulajadi manusia, setiap orang, setiap kaum atau bangsa ingin bersatu-padu. Bahkan sebaliknya iaitu perpecahan, tidak ada orang walaupun apa kaum dan bangsa suka pada perpecahan. Lebih-lebih lagi kalau perpecahan itu hingga sampai membawa permusuhan dan peperangan.

Kerana kalau sudah sampai perpecahan itu membawa permusuhan dan seterusnya peperangan, ia akan menyusahkan semua pihak. Susah mencari rezeki, tidak aman di dalam perjalanan, tidak lelap mata tidur, payah mahu rehat, sentiasa bimbang, mungkin rosak harta benda, terkorban nyawa. Kalau hidup pun ada yang cacat anggota, terhalang mencari kekayaan, terhalang membangun dan membuat kemajuan.

Apabila perpecahan berlaku, terutama apabila membawa peperangan, manusia sudah hilang kebebasan, hidup dalam ketakutan, jiwa tertekan, keluh-kesah dan gelisah.

Oleh kerana kesan daripada perpecahan itu buruk padahnya, besar risikonya yang hendak ditanggung oleh manusia dan kerosakan pula mungkin akan ditanggung berpanjangan hingga kepada beberapa generasi yang kemudian, maka justeru itulah bahawa perpecahan itu sebenarnya adalah musuh kepada manusia.


Kerana itulah tidak ada manusia yang mahu dan suka. Manusia fitrah semulajadi memang ingin kepada hidup aman damai kerana di situlah rahsia adanya kebahagiaan dan keharmonian yang memang setiap manusia tidak kira apa etnik dan bangsa menjadi idaman mereka. Justeru itulah manusia ingin kepada berpadu dan bersatu.

Mengapa manusia ingin perpaduan?

Telah menjadi fitrah semulajadi kepada setiap manusia tidak kira apa kaum dan bangsa bahawa manusia itu suka dan perlu bergaul, bermasyarakat, bertemu dan berjumpa di antara satu sama lain. Di antara sebabnya ialah:

1. Manusia tidak boleh hidup bersendirian, kerana bersendirian terasa sepi dan kekosongan. Apabila bertemu ada perbualan dan perbualan itu fikiran dan hati sedikit terisi (terhibur) walaupun tidak kukuh.

2. Manusia hendak mendapat keperluan hidup paling tidak yang asas seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal, tidak mungkin dapat diusahakan sendirian kecuali ada bantuan orang lain sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung.

3. Manusia tidak boleh lepas daripada menerima berbagai-bagai ujian hidup seperti sakit, miskin, ditimpa bencana alam, kematian. Oleh yang demikian untuk menyelesaikan masalah itu tidak mungkin boleh dibuat tanpa bantuan orang lain.

4. Manusia watak semulajadinya atau tabiat semulajadinya sering mengundang musuh dengan orang. Untuk menolak kejahatan musuhnya manusia memerlukan pertolongan orang lain, kalau begitu perlu adanya kawan dan orang yang menolong.

5. Telah menjadi tabiat semulajadi manusia, lelaki ada rangsangan inginkan perempuan, dan perempuan juga ada rangsangan inginkan lelaki. Maka timbul perlu-memerlu satu sama lain. Seterusnya terjadilah perkahwinan dan pertemuan di antara dua keluarga.

6. Fitrah semulajadi manusia ingin membangun dan maju, maka lahirlah perhubungan antara buruh dengan majikan. Majikan perlukan buruh, buruh pula perlukan majikan untuk dapat gaji.

7. Tabiat semulajadi manusia ingin ilmu, maka timbullah cari guru dan orang yang memberi ilmu ingin pula memperpanjangkan ilmunya. Timbullah perlu-memerlukan satu sama lain.

8. Telah menjadi tabiat semulajadi orang yang kuat dan pandai ingin jadi pemimpin, maka perlu pada pengikut dan orang yang lemah pula ingin perlindungan oleh seorang yang kuat (pemimpin). Terjadilah perlu-memerlukan satu sama lain.

Setelah kita mengkaji secara rambang, nyata dan jelas sekali bahawa manusia itu di dalam mengendalikan kehidupan mereka memerlukan satu sama lain, sandar-menyandar, memerlukan bertolong bantu, kerjasama. Kalau tidak, tidak boleh hidup, sama ada suka atau tidak. Terpaksa manusia hidup begitu. Kalau fitrahnya tidak mendorong, namun keadaan hidup itu memaksa perlu-memerlu satu sama lain.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer