Falsafah Perniagaan Islam
Kuliah Umum
20/10/2006
Berniaga bukan semata-mata untuk mencari untung kerana
di dalam perniagaan tidak semestinya kita sentiasa mendapat
untung. Dalam perniagaan sering juga kita menghadapi
kerugian.
Tujuan perniagaan mengikut Islam sebenarnya ialah untuk
memperbesarkan, memperpanjangkan dan memperluaskan
aktiviti syariat dan dengan tujuan beribadah dan mendapat
pahala yang banyak. Justeru itu di dalam perniagaan, hendaklah
kita sentiasa mencari keredhaan Tuhan dengan niat yang
betul serta perlaksanaan yang betul.
Mari kita lihat betapa di dalam perniagaan itu luas sekali
syariatnya atau luas sekali ibadah yang berlaku di mana
kebaikan dan pahalanya pula amat banyak sekali.
Di antaranya:
1. Di dalam Islam berkawan itu disuruh. Di Akhirat kelak,
kawan itu boleh memberi syafaat. Melalui perniagaan, kita
akan banyak dapat kawan sama ada dari kalangan pembekal-
pembekal, kawan-kawan sekerja ataupun para pelanggan.
2. Melalui perniagaan, kita dapat memberi khidmat secara
langsung mahupun secara tidak langsung kepada manusiadan ahli-ahli masyarakat. Ada Hadis yang bermaksud:
Yang paling baik di antara kamu ialah kamu yang
paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.
3. Islam sangat menggalakkan kerjasama. Di dalam perniagaan
banyak terdapat unsur-unsur kerjasama dan peluang
serta keperluan untuk bekerjasama. Di dalam Al Quran ada
disebutkan:
Maksudnya: Bertolong bantulah di atas kebaikan dan
ketaqwaan. (Al Maidah: 2)
4. Di dalam perniagaan juga ada banyak tolak ansur, iaitu
satu sifat terpuji yang sangat dianjurkan oleh Islam. Kalau
tidak ada tolak ansur, kita tidak boleh berniaga.
5. Perniagaan membantu dan memudahkan manusia dan ahli
masyarakat mengurus dan mendapatkan keperluan hidup
mereka, terutama di bidang makan minum dan keperluan
harian. Mendahulukan, mengutamakan dan memudahkan
orang lain itu sangat dipandang tinggi dan baik dalam
Islam.
6. Dengan berniaga kita dapat menyelamatkan barangan
keluaran umat Islam sama ada hasil pertanian, hasil ternakan
dan lain-lain dengan mengumpul dan memasarkannya.
Kalau tidak, barangan itu akan rosak dan terbuang.
Akan timbul pembaziran. Dalam Islam pembaziran sangat
dilarang. Menjauhi dan mengelak pembaziran adalah satu
kewajipan.
7. Kita dapat memperolehi banyak pengalaman melalui perniagaan
sama ada di bidang pengurusan, perakaunan,
mengenal barang, mengenal tempat, mengenal cara hidup
dan masalah manusia dan lain-lain lagi. Dalam Islam, mencari
ilmu dan pengalaman seperti ini sangat dituntut.
8. Dalam berniaga, kita boleh berlatih sabar dalam menghadapi
berbagai-bagai masalah perniagaan dan dalammenghadapi berbagai-bagai kerenah pelanggan. Sabar
adalah satu sifat mulia (mahmudah) yang sangat diperlukan
dalam kehidupan. Orang yang sabar diberi pahala oleh
Tuhan tanpa hisab.
9. Berniaga merupakan salah satu cara untuk memajukan
agama, bangsa dan negara. Ia merupakan tanggungjawab
manusia sebagai khalifah Tuhan di muka bumi supaya dapat
dilihat kebesaran Tuhan serta dapat dibesarkan dan
dinikmati segala nikmat dan anugerah-Nya agar manusia
boleh bersyukur dan mendapat pahala pula di atas kesyukuran
mereka itu.
10. Dalam berniaga, kita berpeluang mengeluarkan zakat
perniagaan. Dengan itu salah satu dari rukun Islam dapat
kita tunaikan. Dapat kita wujudkan salah satu sumber atau
saluran untuk membantu fakir miskin dan asnaf-asnaf yang
lain. Banyak golongan akan terbantu dan terbela.
11.Dalam perniagaan, kita dapat membuat latihan berlapang
dada terutama apabila berhadapan dengan karenah
manusia. Ia sentiasa mencabar emosi dan perasaan kita.
Maka kita selalu sahaja menyembunyikan kemarahan kita.
Menyembunyikan kemarahan itu disuruh oleh Islam. Di
dalam Quran ada disebut bahawa menyembunyikan sifat
marah itu adalah satu dari sifat orang bertaqwa.
12.Perniagaan memerlukan sifat berlapang dada, bertolak
ansur, bertimbang rasa, memberi maaf, berlebih kurang,
bersimpati dan sebagainya. Sifat-sifat ini terpuji dan sangat
diperlukan dalam pergaulan. Dalam Hadis ada disebut
bahawa Islam itu adalah as-samhah iaitu agama pemaaf
dan berlapang dada.
13.Perniagaan mewujudkan peluang pekerjaan untuk manusia
sebagai sumber mencari rezeki. Dengan perniagaan,
manusia boleh mengelak diri dari menganggur yang ditegah
oleh syariat. Sekaligus tenaganya dapat dimanfaatkan
oleh orang lain. Ertinya, dengan adanya perniagaan, tenaga
manusia tidak dibazirkan dan manusia itu boleh jadiproduktif dengan mengeluarkan hasil untuk faedah
manusia lain.
Jelas bahawa dengan apa yang disenaraikan di atas, begitu
banyak sekali syariat Islam dapat kita tegakkan melalui perniagaan.
Maksudnya, berbagai-bagai aspek dalam Islam dapat
kita bangunkan di dalam perniagaan. Apabila banyak aspek
syariat yang dapat kita bangunkan maka banyaklah ibadah
kita. Banyaklah pahala yang kita dapat. Oleh itu, tidak hairanlah
Islam menganggap orang yang berniaga secara jujur dan
menepati kehendak-kehendak syariat itu sebagai orang yang
berjihad fisabilillah. Munasabah juga berniaga itu dianggap
kerja yang paling baik dalam Islam kerana kebaikan yang
diperolehi oleh masyarakat hasil dari perniagaan adalah terlalu
banyak.
- 2892 reads
Post new comment