Fakir Miskin Sudah Jadi Bahan Publisiti


30/03/2006

Apa sudah jadi! Fakir miskin sudahlah malang dan hidup mereka susah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka dijadikan subjeknya pula oleh petualang-petualang termasuk juga pemimpin-pemimpin politik yang tidak memikirkan perasaan orang.

Mereka dijadikan bahan publisiti untuk kepentingan diri. Mereka diberi bantuan bukanlah seberapa tetapi berita mereka diisytiharkan di seluruh dunia di media massa. Sudah tentu malunya mereka dijadikan bahan berita.

Mereka juga dijadikan bahan propaganda untuk menjatuhkan lawan politiknya kerana tidak mempedulikan mereka menderita. Untuk mengangkat diri sebagai pembela mereka menuduh si polan si polan itu bukan pembela.

Kasihan fakir miskin di mana mereka telah menjadi mainan oleh para pemimpin.Mereka dijadikan alat sekaligus menaikkan diri sebagai pembela konon.

Sesiapa yang ikhlas bantu sahajalah mereka senyap-senyap tanpa heboh-heboh dan bising-bising. Mereka terbela tanpa orang tahu dan selamatlah mereka daripada mendapat malu. Maruah mereka sama-sama kita jaga, mengisytihar kemiskinan mereka bukan caranya kerana mereka juga ada maruah.

Miskin juga bukan satu kesalahan atau satu masalah. Yang salah kerana miskin mencuri, menipu dan meminta-minta, kerana tidak redha.Yang menjadi masalah ialah orang kaya dan orang yang berharta yang masih merasa tidak ada.Mereka suka banyak harta, merasa tidak cukup-cukupnya dan suka menimbun-nimbun dan menompok-nompok, tanpa menginfakkannya. Kemudian penyakit tamak pun tiba, penyakit bakhil pun ikut sama.

Kapitalis monopoli harta negara, segala bahan-bahan mentah dikontrol oleh mereka dan harga barang mereka yang menentukannya. Orang miskin dan buruh dijadikan hamba kemudian disalahkan si miskin yang menderita.
Orang miskin bukan hendak ditolong tetapi orang kaya mengambil kesempatan mengguna tenaga fakir miskin untuk mencari kekayaan. Sudahlah orang miskin susah dan menderita mereka diperhamba pula oleh orang kaya yang tidak pernah merasa cukup.
Oleh itu bukan orang miskin yang menjadi masalah yang menjadi masalah di dalam kehidupan adalah orang kaya dan punyai harta kerana mereka rasa miskin lebih daripada si miskin. Orang miskin terbiar tidak ada siapa yang membela.

Tidak pernah orang menganggap orang kaya yang membuat masalah dan tidak pernah dituduh orang kaya yang bersalah tetapi yang menjadi sasaran tuduhan adalah si miskin yang menderita.Yang menuduh itu orang yang kaya juga.
Kerana hendak menyorokkan kesalahan, dituduhlah fakir miskin pemalas.Kalaupun ingin membantu hanya untuk mencari nama dan glamour. Pemberiannya tidak sampai ke mana, fakir miskin pula terhina. Begitulah watak dunia akhir zaman. Orang yang miskin dan susah tidak ada pembela.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer