Ekonomi Dalam Islam


04/02/2006

Asas ekonomi dalam Islam bukan wang atau duit atau aset, bahan mentah atau kekayaan semula jadi. Asas ekonomi dalam Islam adalah tenaga manusia. Ini kerana sebab yang hendak menggerakkan ekonomi itu adalah manusia.

Ada hadis yang maksudnya:
Orang yang berekonomi mengikut syariat itu satu jihad seperti berjihad fisabilillah.

Dalam berekonomi dan berniaga Islam menyuruh dan menuntut umatnya untuk menjaga halal dan haram. Ini adalah syariat. Manakala dalam perniagaan dan jual beli pula peniaga dapat membantu dengan menyedekahkan barangan yang tidak habis dijual kepada golongan fakir miskin dan ini merupakan khidmat yang besar. Ini semua adalah kehendak syariat Islam. Memang manusia diutuskan ke dunia ini untuk berkhidmat. Iaitu khidmat kepada Tuhan dan khidmat kepada manusia. Dengan Tuhan peniaga berkhidmat melalui ibadah manakala dengan manusia peniaga berkhidmat sebahagian besarnya melalui ekonomi.

Berekonomi juga sebahagian daripada ibadah. Ini dapat dilihat daripada sepotong ayat yang berbunyi :

Maksudnya: Akan ditimpa kehinaan di mana sahaja kamu berada kecuali kamu tegakkan dua hubungan iaitu habluminallah (hubungan dengan Allah) dan habluminnas (hubungan dengan manusia). (Al Imran : 112)

Kedua-dua bentuk ibadah ini sama ada yang khususiah mahupun yang umumiah perlu ditegakkan serentak. Di dalam Islam disebabkan ekonomi itu adalah ibadah, maka peniaga perlu berusaha untuk menegakkannya. Soal untung atau rugi tidak perlu dijadikan faktor utama kerana ia adalah urusan Tuhan. Yang penting setiap pengusaha, menjalankan ekonomi dan mengikut peraturan yang telah Tuhan tetapkan dan dilakukan kerana ia ibadah kepada Tuhan.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja, maka rugilah dia kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan ingatlah, Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat. (An Nisa : 134)

Dalam Islam, berekonomi dan berniaga bukan semata-mata untuk mencari duit atau untung. Kalau duit dan untung matlamatnya pasti akan berlaku krisis, monopoli, penipuan, inflasi, ketidakadilan, tindas menindas dan perebutan. Ekonomi dan perniagaan Islam adalah berteraskan kasih sayang. Seperti juga ibadah-ibadah lain, matlamat berekonomi adalah untuk mendapatkan Tuhan dan untuk mendapatkan keredaan Tuhan. Ini kerana jika duit atau keuntungan material menjadi matlamat dalam berekonomi maka ia tidak layak dikatakan sebagai ibadah. Ini kerana ibadah itu adalah apa-apa kebaikan yang dibuat dengan niatkan kerana Tuhan.

Sebenarnya dengan konsep ekonomi dan perniagaan sebagai ibadah ini maka secara tidak langsung akan menyuburkan iman dan taqwa dan seterusnya menambahkan ukhwah dan kasih sayang kepada hubungan kita sesama manusia dan memperbaiki juga hubungan kita dengan Tuhan. Islam menganjurkan perniagaan dan ekonomi bukan untuk mendapat duit atau untung tetapi untuk mendapat taqwa. Untung itu perkara mendatang. Di dalam Islam, rugi di dalam perniagaan pun tidak mengapa asalkan mendapat taqwa.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer