Dunia Dapat Ditawan Hanya Melalui Proses Pembersihan Hati


20/09/2006

Rahsia kejayaan Rasulullah SAW, Khulafaur Rasyidin dan salafussoleh dapat memerintah dan menawan tiga suku dunia dengan jayanya adalah kerana mereka cintakan Allah lebih daripada cintakan dunia. Juga kerana mereka memberi tumpuan yang serius kepada Akhirat dengan membersihkan hati mereka. Mereka mampu menundukkan nafsu, lalu dunia jatuh terjelapak ke tangan mereka.
Kalaulah mereka tidak mengutamakan sifatsifat terpuji (mahmudah) lebih daripada sifat-sifat terkeji (mazmumah) tentulah mereka senasib dengan kita. Yakni bukan saja tidak dapat menegakkan empayar, hendak memerintah satu negara pun tidak akan berjaya. Memerintah satu negeri pun akan gagal. Bahkan memerintah satu kampung pun akan timbul pecah belah. Bahkan gagal untuk menawan walau satu hati pun.

Kalau masalah dalam diri tidak dapat diatasi, tidak selesai-selesai, apa logiknya untuk tawan hati orang lain? Lebih-lebih lagi apa logiknya untuk tawan hati manusia dalam satu empayar?
Bukankah fitrah hati itu akan jatuh hati hanya dengan orang yang mempunyai akhlak terpuji?
Sekali lagi diulang, berjayanya Rasulullah SAW dan para Sahabat serta salafussoleh mengislamkan dunia adalah kerana mereka serius membersihkan hati mereka yang asalnya dari alam jahiliah kecuali Rasulullah SAW yang sememangnya bersih dan tidak berdosa (maksum). Memang sebahagian mereka pernah melakukan bermacam-macam dosa tetapi kerana seriusnya mereka dalam membersihkan hati daripada sifat terkeji melalui mujahadatunnafsi, riadatunnafsi, dengan disiplin serta barakah pimpinan Rasulullah SAW, maka mereka diberi Allah sifat-sifat hati yang bersih.

Contohnya rasa kasih sayang, berkorban apa sahaja, cintakan kebenaran, cintakan Allah, takut, harap, tawakal pada Allah, rasa gerun dan hebat pada Allah, merasa diri hamba, merendah diri dan malu dengan Allah, pemaaf, suka meminta maaf, takut dan gerun dengan Neraka-Nya, cinta dan mabuk dengan Syurga-Nya dan lain-lain sifat mahmudah lagi. Bahkan hidup mati mereka diserahkan kepada Allah. Hati mereka sedikit pun tidak terpaut dengan dunia. Sedangkan di waktu yang sama, mereka mengurus dan mentadbir serta memerintah tiga perempat dunia. Hakikat yang berlaku ialah bila mereka cintakan Allah dan cintakan Akhirat, di waktu itulah mereka mengorbankan hidup dan mati mereka untuk Allah. Seperti orang bercinta, dia sanggup beri apa saja demi menunaikan hajat cintanya. Begitulah hati mereka dengan Allah.

Hati, jantung, kaki, tangan serta seluruh anggota mereka gementar bila disebut nama Allah dan bila mendengar ayat-ayat-Nya. Mereka sangat cinta, rindu dan kasih kepada Rasul-Nya. Sesama mereka sangat berkasih sayang, bertolong bantu, bertolak ansur, berkorban apa saja, pentingkan orang lain, tenang dan damai serta hidup aman makmur. Dengan kehidupan yang beginilah mereka dapat tegakkan masyarakat yang baik selama 300 tahun. Itulah yang dikatakan masyarakat salafussoleh sepertimana yang Allah kehendaki. Firman-Nya:

Maksudnya: Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah. (Saba: 15)

Bilamana umat Islam sudah tidak mengikut kaedah ini lagi, yakni selepas umat Islam tidak mengamalkan Islam melalui proses pembersihan hati daripada sifat mazmumah, empayar Islam telah jatuh ke tangan musuh-musuhnya. Bila musuh datang, bukan musuh yang diperangi, tetapi sebaliknya yang berlaku. Kawan dianggap musuh maka mereka bermusuh sesama sendiri. Hati penuh dengan cinta dunia, hasad dengki, sombong, bakhil, penakut, pemalas, pemarah, gila pangkat, gila nama dan bermacam-macam gila lagi. Di waktu itu, dunia yang sudah ada di tangan, terlepas semula.

Tanpa proses pembersihan hati, negara dan masyarakat akan dikuasai oleh orang jahat kerana rakyatnya telah jahat. Rakyat akan hidup susah dan menderita. Sedangkan orang yang punya kuasa, hidup senang-lenang dan mewah serta berlumba-lumba membina empayar masing-masing. Hal ini kita boleh lihat dalam realiti hidup kita. Di mana negara yang umat Islamnya ramai, ekonomi negara dan masyarakat dikuasai oleh orang yang bukan Islam. Hidup masyarakat berkasta-kasta di mana yang kaya terlalu kaya dan yang miskin terlalu miskin. Hidup nafsi-nafsi, pecah amanah dan rasuah. Penipuan, pergaduhan, pencurian, demonstrasi, pembunuhan sering berlaku dan dunia seluruhnya tidak aman lagi.

Sebab itu Islam meminta agar umatnya membersihkan hati daripada sifat mazmumah dan menanam sifat-sifat mahmudah. Kerana dengan kaedah ini saja hati-hati manusia akan dapat ditawan. Hati cinta dengan Allah tapi dunia dalam tangan. Hati rindu dengan Allah tapi dunia dapat ditadbir dan diuruskan. Kaki berpijak di bumi, mengurus ekonomi, pertanian, perubatan, khidmat masyarakat, berdakwah dan mengajar, berhubung dan mesra dengan manusia tetapi hati dengan Allah.

Kesan dari mujahadah yang sungguh-sungguh untuk membersihkan hati, maka lahirlah buah dalam kehidupan masyarakat. Apabila salafussoleh ini memerintah dan mentadbir dunia, oleh kerana terlalu takutnya dengan Allah yakni takut ditanya tentang pentadbiran dan rakyatnya, dia tidak sempat memikirkan keperluan dirinya sendiri. Tidurnya hanya satu pertiga malam. Sembahyangnya terlalu banyak. Kalau mereka berniaga, di waktu tidak ada pelanggan, mereka akan terus bersembahyang, membaca Quran atau berzikir. Ada di antaranya tidak sempat mandi junub kerana mendengar panggilan jihad (gendang perang) lantas menyahut seruannya. Mereka menangis kalau tidak dapat ikut serta dalam perang. Mereka menangis dan pengsan bila mendengar ayat-ayat Allah. Sanggup berpisah dengan suami atau isteri sampai berpuluh-puluh tahun kerana berdakwah atau berjihad. Sanggup hidup ala kadar kerana Islam.Sanggup hidup mati untuk Allah dan Rasul-Nya.

Malangnya melalui sistem pengajian Islam yang sudah disekularkan, ilmu tasawuf atau ilmu rasa (zauq) ini sudah ditolak atau sudah tidak diambil berat lagi. Bahkan dianggap mengarut dan sesat serta menyesatkan. Kalau diajar pun ajaran tasawuf, hanya di mulut atau seronok menyebut istilah-istilahnya sahaja. Tetapi intipati ajaran tasawuf tidak bertapak di hati. Sebab itu orang yang belajar tasawuf, ilmunya itu tidak dapat mengubah sikap dan peribadi mereka.

Oleh itu mari kita fikirkan secara serius tentang ilmu tasawuf atau ilmu rohani atau ilmu rasa (zauq) ini supaya jiwa kita yang sudah buta dan mati ini dapat dicelikkan kembali serta hidup dan berfungsi. Agar ia dapat menjadi power kepada kebangkitan Islam di akhir zaman. Kalau dulu dunia dapat ditawan, maka kali ini sejarah itu akan berulang sekali lagi di tangan-tangan kita.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer