Didikan Hati Yang Diabaikan


24/05/2006

Utusan Malaysia 23 Mei 2006 , ms 8 Persidangan Dewan Negara

Sikap tidak sabar rakyat dorong rasuah - Rakyat Malaysia dididik supaya bersabar dalam apa jua urusan atau tindakan yang ingin diambil kerana rasuah mudah terdedah kepada orang yang tidak sabar........

Demikianlah kenyataan yang dibuat oleh seorang menteri di Jabatan
Perdana Menteri berhubung kes rasuah yang diajukan oleh seorang senator di Parlimen serta pembentangan pelan jangka panjang dan jangka pendek bagi menangani gejala rasuah yang semakin hari semakin kronik di negara ini. Amat menarik juga apabila beliau menyentuh soal-soal yang ada hubungkait dengan roh atau hati manusia di mana menurut pandangan beliau faktor tidak sabar menyebabkan seseorang itu mudah terjerumus ke dalam gejala rasuah. Dan umum mengetahui bahawa sabar bukan persoalan lahiriah, tetapi persoalan bathiniah yang hanya "pakar" dalam soal-soal ini sahaja yang mampu mengungkai dan merawatnya.

Persoalannya , siapakah yang dikatakan pakar tersebut ? Kalau seseorang itu muncul di khalayak ramai lantas mengaku dialah pakarnya , nescaya kita menyaksikan satu pembohongan besar. Mana mungkin pakar mengenai perjalanan hati manusia boleh membuat pengakuan secara terbuka bahawa beliau mampu merawat hati manusia. Beliau pastilah mempunyai ciri-ciri atau peribadi yang boleh menjadi suri tauladan. Kerana soal memulihkan hati ini bukan sekadar ilmu yang bertempat di akal , tetapi perlu kepada pembersihan jiwa secara amali dan praktikal bagi mengikis dan mengekangsifat negatif yang ada pada diri manusia. Itulah dia sifat mazmumah.

Maka pakar yang hendak memulihkan manusia daripada sifat negatif ini
pastilah beliau sendiri telah bebas daripada sindrom sifat negatif
tersebut bahkan boleh mengenal ciri-ciri ataupun sifat-sifat negatif
yang ada pada diri manusia lantas memberikan rawatan yang bersesuaian
dengan penyakit "dalaman" yang ada pada diri seseorang itu. Bukan
setakat soal tidak sabar , sifat bakhil , tamak , cinta dunia , ujub ,
ria` , sumaah , , pemarah , malu yang tidak kena pada tempat , mengadu
domba , hasad , gila pangkat , gila harta , gila perempuan dan lain-lain
sifat negatif , juga menyumbang ke arah kerosakan di dalam sesebuah
institusi kemasyarakatan kerana daripadanya boleh mendorong seseorang
itu berbunuh-bunuhan , rompakan , pecah-belah , bunuh diri , inferiority
complex ( rasa rendah diri ) , pemalas dan berbagai-bagai kerosakan
lagi.

Menanamkan sifat membenci sesuatu perkara negatif bukannya satu kerja
yang boleh diakal-akalkan sebagaimana lazim yang berlaku seperti
menangani masalah dadah yang hanya banyak dijuruskan kepada hukuman berat dan penerangan kepada bahaya dan kerosakan najis dadah itu sendiri. Statistik yang dibuat oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan ( AADK ) di bawah pemantauan Kementerian Dalam Negeri ( KDN ) telah memaklumkan kepada kita bahawa bagi setiap 1/2 jam , 2 orang akan terjebak dengan najis dadah ( sekiranya fakta ini bertepatan , di harap dapatkan pernyataan sebenar daripada AADK ) . Ini bermakna langkah yang diambil kurang memberi impak kepada langkah membenteras penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat di Malaysia. Maka dengan itu kita harus membuat satu langkah yang lebih jitu dan bertepatan dengan faktor manusia itu sendiri agar jalan penyelesaiannya diketemui. Iaitu dengan jalan mengenal punca sebenar kenapa seseorang itu boleh terjebak dengan unsur-unsur negatif sehingga mencetuskan satu situasi yang mencemaskan pada sesebuah negara
mahupun dunia.

Sekiranya kita rujuk kepada ahli akal , maka mereka akan berkata kerana tidak mempunyai ilmu , ianya ternafi dengan berlakunya salah laku di kalangan golongan intelek dan cerdik pandai yang mempunyai ijazah yang berjela seperti penipuan di alam cyber yang melibatkan jutaan ringgit.

Sekiranya ada yang berkata kerana faktor kemiskinan , jauh meleset juga kerana ada juga orang-orang yang berharta melakukan penyelewengan seperti yang berlaku di negara jiran Indonesia yang bertaraf menteri
agama pula , terlibat dengan skandal rasuah. Pokoknya sekiranya kita
mahu mengenal punca sesuatu masalah dalam diri manusia berdasarkan
kepada akal semata-mata maka pastilah kita akan ketemu kebuntuan. Sebab faktor hati bukan boleh disuluh dengan akal. Ianya perkara maknawi dan amat seni yang hanya orang yang Allah anugerahkan ilmu sahaja mampu mengungkainya. Sekiranya ilmu yang dipelajari secara kasbi ( usaha lahir seperti belajar dengan guru atau hasil berfikir ) hanya akan bertapak di akal , maka ilmu anugerah Tuhan iaitu Laduni atau ilmu secara ilham ( ilmu yang diperolehi kerana faktor taqwa dan darjat seseorang di sisi Tuhan ) sahaja akan bertapak di hati dan sekiranya disyarah dan dihuraikan akan menjadi satu ilmu dan huraian yang sangat ilmiah dan bermanfaat pada manusia sejagat lantas mampu menyelesaikan sebarang permasalahan diri manusia.

Sekiranya darjat seseorang itu bertaraf Nabi atau Rasul , maka ilmu yang
diperolehi olehnya adalah dinamakan wahyu samada diberikan oleh Tuhan oleh perantaraan malaikat ataupun jatuh terus ke hatinya. Inilah
anugerah Tuhan secara Mauhibah kepada mereka yang bertaraf Nabi atau Rasul tanpa usaha dan ikhtiar dan tidak akan mereka lupa sampai
bila-bila. Tetapi di zaman di mana tiada lagi Nabi dan Rasul maka mereka
yang bertaraf Waliyullah sahajalah yang boleh menerima ilmu Laduni atau
ilmu Ilham tanpa usaha dan ikhtiar. Dan daripada ilmu ini, mampu
menghurai masalah semasa setiap zaman kerana manusia yang bertaraf wali ini ada di sepanjang zaman lebih-lebih lagi kalau bertaraf Mursyid dan Mujaddid. Maka pastilah ilmunya lebih bersifat global yang tidak mampu dicapai oleh orang yang belajar secara kasbi ( usaha ikhtiar dan
berfikir ) kerana kerosakan yang sudah berlaku juga adalah global
sifatnya dan kaedah dan pendekatan yang digunakan mengatasinya adalah melalui ilmu Laduni tadi.

Berbalik pada masalah jiwa , rohani dan hati manusia , kerosakan yang
berlaku pada masyarakat masakini bukan berbuah daripada satu sifat
mazmumah sahaja seperti tidak sabar sebagaimana yang diperkatakan oleh Menteri tadi. Kerosakan yang berlaku adalah buah daripada berbagai sifat mazmumah yang dimanifestasikan melalui sifat manusia yang melakukannya.
Sebagai contoh , orang yang tidak sabar , bukan sahaja melakukan rasuah, malah mudah melenting bila ditegur , panas baran , tidak berhemah di jalan raya dan sebagainya. Kalau sebagai individu biasa , kerosakan yang berlaku adalah pada tahap individu biasa. Tetapi sekiranya dia merupakan pemimpin, maka seluruh negara akan diheretnya kekancah yang lebih besar bahayanya seperti peperangan dan berbunuhan seperti yang dilakukan oleh Hitler , Mussolini dan lain-lain pemimpin negara yang terlibat dengan kancah peperangan. Sekiranya sifat tidak sabar ada pada seorang yang cerdik pandai , maka atas kecerdikan dan kepandaiannya itu dia akan pergunakan untuk merosakkan orang lain seperti mencipta bom atau senjata pemusnah seperti yang dibuat oleh Einstein pada peperangan dunia kedua dahulu. Perkara seperti ini pastilah amat membimbangkan kerana sekiranya
persoalan mazmumah ini tidak diendahkan , makin besar pangkat dan
jawatan seseorang , maka makin besarlah kerosakan yang akan dilakukan.
Ini bahayanya. Maka sebab itu jalan keluar segera mestilah dicari bagi
mengatasi sebarang masalah yang ada hubungkait dengan jiwa dan rohani
manusia. Ubat bagi sakit fizikal seperti kencing manis , darah tinggi ,
barah dan sebagainya sudah ada di hospital , tetapi ubat bagi penyakit
di dalam jiwa manusia ini , tidak ada satu hospital pun di dunia ini
mampu mengubatnya dan tidak ada seorang doktor pun mampu mengesannya kerana ianya tidak mampu dikesan oleh mikroskop lahir ciptaan manusia.

Hanya manusia yang telah Allah pilih, bertaraf Mursyid sahaja mampu
mengenal dan memberikan jalan keluar bagaimana hendak mengungkai sifat mazmumah yang ada pada diri manusia. Kaedah dan method yang digunakan pastilah tidak akan sama dengan orang akal kerana jalan yang difikirkan dan jalan secara ilham pastinya tidak sama. Sebagai contoh masalah tidak sabar , lawan baginya adalah bersabar. Mudah sahaja bunyinya. Tetapi dalam menempuh proses bagaimana hendak mencapai tahap orang yang bersabar bukan calang-calang proses yang hendak ditempuhi. Bersabar itu terbahagi kepada 2 iaitu :-

1) Sabar dalam mengerjakan segala titah perintah Tuhan

2) Sabar dalam meninggalkan segala larangan Tuhan


Walaupun hanya 2 , tetapi meliputi seluruh kehidupan manusia. Hendak
mengerjakan perintah Tuhan dengan sabar seperti mengerjakan solat diawal waktu lantas , ketika mengerjakan solat tersebut segala perkara-perkara yang berkaitan dengan dunia, wajib ditinggalkan dan ditumpukan ketika itu hanyalah menghayati apa yang dibaca di dalam solat seolah-olah kita sedang berbual dengan Tuhan , bermanja-manja dan meminta-minta serta merayu kepada Tuhan. Senang ke ? Tahap alim ulama` pun belum tentu mampu bersabar dalam mengerjakan perintah Tuhan ini.
Begitu juga dalam hal sabar meninggalkan larangan Tuhan . Mampukah kita bersabar dalam tidak mengumpat orang yang kita tidak suka dan kita benci, dan bersabar dengan kerenah yang dilakukannya. Banyak berlaku dewasa ini umpat , caci maki , kejian malahan fitnah berlaku di mana-mana tidak kira dia orang biasa mahupun pemimpin.
Ini hanya soal-soal yang kecil , betapalah lagi persoalan-persoalan yang
besar-besar yang melibatkan soal integriti sesebuah negara, tentulah
lebih payah dan sukar untuk kita bersabar.
Maka dengan itu jalan keluar yang ditunjukkan kepada kita ialah dengan
mencari kekuatan dalaman yang hanya ada pada satu iaitu dengan meminta bantuan daripada Tuhan yang menciptakan manusia. Itulah sahaja jalannya. Jadi dalam hendak meminta bantuan daripada Tuhan kenalah penuhi dan patuhi syarat-syaratnya. Untuk lebih memperincikan lagi hal ini sila dapatkan buku " Pendidikan Rapat Dengan Rohaniah Manusia "
ditulis oleh Ustaz Haji Ashaari Muhammad yang merupakan buku ke 73 hasil tulisan beliau dan curahan ilmu yang diberikan kepada manusia sebagai panduan menyelesaikan sebarang masalah berhubung kait dengan masalah dalam manusia. Di samping itu juga buku yang ditulis oleh beliau
berjudul " Mengenal Diri Melalui Rasa Hati " dan " Iman Dan Persoalan "
juga menyentuh hal-hal dalam manusia.

Rasanya mungkin tidak terjangkau untuk mengulas isu-isu semasa tanpa
panduan yang diberikan beliau dalam menyuluh atas setiap isu. Dan bukan sahaja setakat ilmu yang perlu dimiliki , malahan langkah praktikal yang perlu diambil juga diberikan sebagai panduan . Pokoknya pada diri
individu terbabit , mahu atau tidak menerima dan mengamalkannya.
Sebagaimana tugas Rasul yang wajib menyampaikan ilmu wahyu kepada
manusia demi keselamatan manusia dunia dan akhirat , sekiranya manusia
ikut , maka manusia selamat , sekiranya manusia tinggalkan , neraka
dunia terentang luas sebelum Allah humbankan ke dalam neraka Akhirat
yang maha pedih dan maha azab , walyau`zubillah.


Wabihi Wallahua`lam.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer