Di Antara Syariat Dan Tauhid(1)


16/12/2005

Umat Islam mesti memahami letak duduk di antara syariat dan tauhid. Umat Islam mesti tahu di antara syariat dan tauhid , mana yang patut didahulukan. Umat Islam mesti sedar, di antara syariat dan tauhid, manakah yang lebih utama. Umat Islam mesti tahu apakah syariat itu timbul dari tauhid atau tauhid itu yang timbul dari syariat. Kalau semua ini tidak difahami dengan betul, kita boleh tersalah langkah dalam beragama. Agama kita boleh jadi tunggang terbalik. Kita boleh kehilangan Tuhan walaupun kita sudah serius beragama.

Sebenarnya perkara pertama yang berlaku dalam agama ialah soal aqidah atau ketauhidan iaitu soal mengenal Tuhan . Setelah Tuhan dikenali, barulah timbul keperluan untuk bersyariat, samada syariat lahir atau apa yang dinamakan fikh mahupun syariat batin atau apa yang dinamakan tasawuf . Syariat ialah cara atau kaedah bagaimana kita dapat memperhambakan diri atau cara mana kita dapat mengabdikan diri kepada Tuhan atau cara untuk kita membesarkan Tuhan setelah Tuhan itu kita kenali sungguh-sungguh.

Contohnya, apabila kita sudah kenal Tuhan dan kita rasa kita ini hamba dan Tuhan itu Khaliq, maka kita akan terdorong untuk menyembahNya. Tetapi kita tidak boleh menyembah Tuhan ikut sesuka hati kita. Maka untuk itu, kita perlu rujuk kepada syariat untuk mengetahui bagaimana cara yang Tuhan mahu kita menyembah-Nya. Begitulah juga dengan hal-hal lain dalam kehidupan.

Contohnya, dalam pendidikan, dakwah, masyarakat, pergaulan, perniagaan dan sebagainya yang Tuhan mahu kita tegakkan. Kita tidak boleh memandai-mandai dalam hal ini atau mengikut sahaja sistem orang Nasrani dan Yahudi. Tuhan hendak kita buat semua itu ikut cara yang Tuhan mahu. Untuk itu, syariat diturunkan. Jadi mengenal Tuhan itu mesti berlaku dahulu. Kemudian baru timbul keperluan bersyariat. Ini sesuai dengan hadis yang bermaksud, Awal-awal agama, mengenal Allah.
Kalau Allah kita belum kenal, atas dasar apa dan untuk siapa kita hendak beragama.

Tambahan pada itu, kalau kita belum betul-betul kenal Tuhan, sudah tentu kita belum berjiwa tauhid. Kalau belum berjiwa tauhid, sudah tentu kita belum khusyuk dengan Tuhan. Kalau belum khusyuk dengan Tuhan, sudah tentu kita belum bertaqwa. Kalau belum bertaqwa, kita tidak ada kekuatan jiwa untuk melaksanakan dan menegakkan syariat. Hanya orang yang bertaqwa sahaja yang mampu memperjuangkan syariat sungguh-sungguh.

Begitulah juga apa yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. Selama tiga belas tahun di Mekah, Rasulullah hanya mengajar para sahabat tentang Tuhan dan tentang ketauhidan. Rasulullah tidak mengajar apa-apa tentang syariat. Hanya apabila di Madinah, barulah turun hukum-hakam tentang syariat. Maknanya, para sahabat diperkenalkan kepada Tuhan terlebih dahulu sehingga mereka cinta dan takut dengan Tuhan sebelum mereka didedahkan kepada syariat.

bersambung................

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer