Di Antara Dua Tamadun
24/09/2006
Tuhan jadikan bumi dan manusia dan diberi-Nya manusia itu
dua peranan. Satu sebagai
hamba kepada Tuhan
dan satu
lagi sebagai
khalifah Tuhan
di muka bumi. Dengan wujudnya
bumi dan manusia, Tuhan mahu laksanakan dua program untuk
mengimarahkan bumi ini. Tuhan suruh manusia membuat dua
pembangunan iaitu:
1.
Pembangunan insaniah
2.
Pembangunan material
Pembangunan insaniah adalah untuk membina sifat hamba
pada diri manusia agar manusia bahagia di Akhirat. Pembangunan
material adalah tugas manusia sebagai khalifah
untuk kebahagiaan dan kesenangan manusia di dunia. Inilah
dua peranan manusia.
Untuk membangunkan material, siapa pun boleh buat.
Orang jahat, orang baik, orang kafir atau orang Islam, semuanya
boleh bangunkan material. Cuma mahu atau tidak sahaja.
Mahu atau tidak mahu berusaha mencari ilmunya.
Tetapi untuk membangunkan insaniah, tidak ada siapa yang
boleh buat kecuali orang yang Allah tunjuk iaitu para nabi
dan para rasul. Kalau tidak ada nabi dan rasul maka para
mujaddid. Kalau tidak ada mujaddid, paling tidak pemimpin
yang bertaqwa. Yang penting orang itu mestilah pemimpin.
Nabi, rasul dan mujaddid itu, sudah tentulah mereka pemimpin.
Kalau setakat bertaqwa sahaja tetapi bukan pemimpin,
dia hanya boleh bangunkan insaniah dirinya sendiri sahaja.
Dia tidak mampu membangunkan insaniah orang lain. Kalau
bukan pemimpin, walaupun bertaqwa, dia tidak mampu
bangunkan insaniah manusia secara umum. Itu sebab, orang
yang hendak membangunkan insaniah manusia ini paling tidak
mestilah seorang pemimpin yang bertaqwa.
Alangkah indahnya kalau kedua-dua pembangunan insaniah
dan material ini dapat dicetuskan serentak. Kalau dapat, itulah
yang dinamakan Islam Hadhari. Islam Hadhari itu ialah
pembangunan insaniah dan material yang berlaku seiring.
Namun, kalau keadaan tidak mengizinkan untuk kita mencetuskan
pembangunan material kerana sesuatu sebab, mungkin
kerana masanya tidak baik atau tempatnya tidak kena atau
situasinya tidak sesuai atau dihalang oleh berbagai kesulitan
yang lain, maka pembangunan insaniahlah yang perlu diutamakan.
Tidak apalah kalau kita susah di dunia asalkan
kita bahagia di Akhirat daripada kita bahagia di dunia tetapi
terseksa di Akhriat. Tetapi, kalau boleh, biarlah kita dapat
kedua-duanya sekali. Itulah yang hebat. Itulah yang dikatakan
Islam Hadhari. Itulah yang dikatakan:
Maksudnya
:"Negara yang aman, makmur dan mendapat
keampunan Tuhan. (As Saba: 15)
Untuk membangunkan insaniah, ahli fikir, ahli falsafah,
ahli sains atau para cerdik pandai tidak boleh buat. Hanya
orang Tuhan sahaja yang boleh melakukannya. Orang Tuhan
adalah para rasul, para nabi dan para mujaddid. Paling tidak,
seorang pemimpin yang bertaqwa. Itu pun sudah dikira lemah.
Tetapi kalau hendak membangunkan material, cukuplah
dengan ahli fikir, ahli sains, cerdik pandai atau ahli falsafah
dan pakar-pakar di berbagai bidang walaupun dia itu jahat,
zalim, tidak kenal Tuhan dan mazmumah atau sifat keji penuh
bersarang di hatinya.
Kedua-dua pembangunan ini bukan mudah. Ada halangan-halangannya.
Tidak ada pembangunan yang tidak ada halangan
sama ada pembangunan material mahupun pembangunan
insaniah. Hanya bentuk halangan dan cara untuk
mengatasi halangan-halangan itu yang tidak sama. Mari kita
bincang tentang halangan pembangunan material terlebih
dahulu sebab ianya lebih mudah dilihat, didengar dan dirasa.
Bagi pembangunan material, halangan-halangannya lebih
banyak berbentuk lahiriah seperti hutan, gunung, sungai, laut,
paya, padang pasir dan sebagainya. Dengan adanya halangan-halangan
dunia ini, hidup manusia jadi susah. Tempat tinggal
susah, hendak berjalan pun susah sebab dihalang oleh gunung,
hutan, paya, laut dan sungai. Tambahan pada itu, ada pula
binatang buas dan ganas seperti buaya, singa, harimau, gajah,
ular dan sebagainya. Bila pembangunan hendak dibuat,
binatang-binatang ini mengancam kita. Kalau jiwa tidak kuat
dan ilmunya tidak dicari sungguh-sungguh, maka manusia
tidak akan mampu berbuat apa-apa. Gunung akan tinggal
gunung, hutan akan tinggal hutan, sungai akan tinggal sungai,
paya akan tinggal paya dan laut akan tinggal laut.
Kalau begitu, manusia terpaksa hidup susah. Manusia hanya
mampu hidup macam orang Badwi atau orang asli (aborigine).
Hidup dalam gua. Hendak makan, petik buah hutan. Hendak
minum, cari sungai. Gambarkan betapa susahnya hidup kalau
halangan terlalu banyak. Selagi halangan-halangan ini tidak
dibuang atau ditawan, maka tidak akan ada pembangunan
dan kemajuan. Kita tidak boleh bina rumah atau bangunan.
Tidak ada jalan, tidak ada jambatan, kenderaan, kapal, ladang-
ladang pertanian, ladang ternakan dan sebagainya. Jadi
hutan perlu ditebang. Bila diusahakan, jadilah kampung.
Hidup cara kampung pun masih susah lagi. Kena usahakan
jadikan bandar. Mula-mula bandar kecil dan tidak berapa
moden. Kemudian bandar dibesarkan dan dimodenkan lagi.
Barulah maju dan membangun.
Pembangunan dan kemajuan ini bolehlah diibaratkan
sebagai mahmudah. Halangan-halangan seperti hutan, sungai,
gunung, paya dan laut bolehlah diibaratkan sebagai mazmumah.
Selagi halangan-halangan tidak dibuang, selagi itulah
tidak wujud pembangunan. Begitu juga, selagi mazmumah
(halangan lahir) tidak dibuang selagi itulah tidak akan wujud
mahmudah (pembangunan lahir).
Yang susahnya ialah hendak bangunkan insaniah. Berbeza
dengan membangunkan material, membangunkan insaniah
mazmumahnya atau halangannya tidak nampak. Ia mazmumah
atau halangan batin. Kemajuan mahmudahnya atau rohaniahnya
juga tidak nampak. Sebab itu ia lebih sukar. Ia memerlukan
orang Tuhan untuk tunjuk jalan, iaitu para rasul,
para nabi dan para mujaddid. Paling tidak pemimpin yang
bertaqwa. Mazmumah atau halangan dalam membangunkan
insaniah di antaranya ialah sombong, tamak, pemarah,
pendendam, bakhil dan macam-macam lagi. Semuanya kita
tidak nampak. Itulah penghalang untuk kita bangunkan
insaniah sepertimana juga hutan, gunung, sungai, laut, paya
dan padang pasir itu adalah penghalang untuk kita bangunkan
material.
Itu sebab untuk menghadapi halangan-halangan atau
mazmumah pembangunan lahir yang nampak oleh mata,
cukup dengan ilmu dunia. Cukup dengan ahli falsafah, ahli
fikir, ahli sains dan cerdik pandai yang menggunakan ilmu
otak atau ilmu akal. Tetapi untuk menghadapi dan memusnahkan
mazmumah batin agar dapat dibangunkan insaniah
supaya insaniah bertamadun, ia memerlukan ilmu yang special
atau khas iaitu ilmu wahyu. Ilmu ini otak tidak mampu teroka.
Ia adalah satu ilmu yang tidak ada campur tangan manusia
secara umum. Supaya manusia dapat menjadi hamba Tuhan
dan dapat kebahagiaan di Akhirat. Dalam waktu yang sama,
Tuhan benarkan juga kita membuang mazmumah dunia untuk
membangunkan material agar kita juga dapat merasa bahagia
dan senang di dunia. Membuang mazmumah dunia itu tidak
salah.
Pembangunan insaniah ini susah, payah dan berat kerana
sukar hendak membuang mazmumah batin. Mazmumahnya
tidak nampak. Mazmumahnya terlalu jahat. Manusia boleh
membuat kemajuan dunia yang berbagai-bagai dalam jangka
waktu yang singkat tetapi untuk mengubah watak, sikap dan
perangai manusia dari jahat kepada baik, dari sombong
kepada merendah diri, dari pemarah kepada pemaaf dan
pengasih, dari bakhil kepada pemurah, ini bukan senang. Tiga
puluh, empat puluh atau lima puluh tahun dididik, belum
tentu boleh berjaya.
Sebab itu Rasulullah ada bersabda:
Maksudnya:
Kalau ada orang kata Gunung Uhud sudah
berubah, walaupun kita tidak tengok, percaya sajalah.
Tetapi kalau ada orang berkata, Si Polan itu sudah
berubah, jangan terus percaya. Tengok dulu.
Bukan mudah untuk mengubah insaniah. Gunung lebih
mudah untuk diubah. Berapa banyak gunung telah ditarah
dan diratakan. Dibangunkan bandar dan pekan. Tetapi mazmumah
dalam hati manusia bukan sahaja tidak dapat dibuang
malahan bertambah merebak dan bercambah dari hari ke
hari. Sebab itu Allah datangkan orang-orang-Nya iaitu para
rasul dan nabi, para mujaddid dan pemimpin-pemimpin yang
bertaqwa. Selain mereka itu, sekalipun bijak, tidak akan
mampu membangunkan insaniah sekalipun terhadap anak dan
isteri mereka sendiri.
Sekarang, bila kita sebut tentang Islam Hadhari tamadun
yang ditumpukan dan disebut selalu hanyalah tamadun
material sahaja sedangkan tamadun insaniah tidak dihiraukan.
Hutan dalam hati kita terbiar. Ada ular, ada singa, ada harimau
dan ada gajah. Mungkin ini adalah kerana tamadun insaniah
susah dan sukar untuk dibangunkan. Oleh itu orang bagi keutamaan
kepada yang mudah dan senang iaitu tamadun
material. Tetapi kalau pemimpin benar-benar faham, akan
ditubi betul-betul pembangunan insaniah ini. Sebab walaupun
lebih susah, ia lebih penting dan bermakna. Ia bukan sahaja
sumber kebahagiaan di Akhirat. Ia juga boleh membawa ketenangan
di dunia walaupun hidup serba kekurangan.
- 1688 reads
Post new comment