Demi Waktu Malam


20/09/2006

Ayat kedua ialah "Demi waktu malam bila ia berlabuh." Ini boleh ditafsirkan dalam beberapa aspek:

1. Kita kenal waktu malam itu dari ia bermula dan bila akhirnya. Iaitu daripada mula ghurub (terbenam matahari) hingga terbit fajar.

2. Tuhan bersumpah dengan waktu malam untuk perhatian manusia bahawa banyak perkara negatif berlaku ada waktu malam. Waktu malam selalunya manusia tidak beranikan diri. Ramai orang buat kejahatan seperti merompak, mencuri, membunuh, berbuat maksiat di waktu malam. Tuhan juga suruh berjaga-jaga dan berwaspada terutama daripada binatang buas yang keluar malam mencari makan diwaktu malam. Hal-hal lahiriah yang merbahaya ini diberi amaran oleh Tuhan.

3. Perkara negatif yang batiniah ialah bila Tuhan memberitahu bahawa waktu malam, iblis melepaskan tentera-tenteranya untuk menggoda dan mengacau orang-orang yang hendak beribadah. Pada waktu ghurub, Tuhan mensunatkan menutup pintu dan tingkap. Syaitan akan keluar pada waktu itu dan mengambil peluang mengganggu anak kecil, orang bersembahyang dan sebagainya. Di waktu malam juga jangan menyidai pakaian di luar kerana syaitan-syaitan akan muntah ke pakaian itu dan menyebabkan penyakit. Juga sunat memadamkan lampu waktu hendak tidur.

4. Rahmat Tuhan jadikan waktu malam untuk manusia berehat. Agar kecergasan akal dan fizikal dapat dipulihkan kerana waktu siang, akal dan tenaga telah digunakan.

Firman Allah:

Maksudnya: "Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu beristirehat padanya dan (menjadikan) siang yang terang-benderang (agar kamu mencari kurnia Allah)." (Yunus:67)

5. Pada waktu malam Tuhan mendisiplinkan kepada para hamba-Nya yang cinta dan takut kepada-Nya agar bangun malam untuk tahajud.
Waktu malam juga Tuhan membekalkan kekuatan hati dan jiwa di mana Tuhan menyuruh kita bangun untuk menyembah Tuhan, bermunajat dan merintih-rintih kepada Tuhan. Malam adalah waktu untuk para hamba bertaubat di atas segala dosa yang telah dilakukan siang hari atau sebelumnya. Supaya hamba mendapat keampunan Tuhan, mendapat kekuatan dan ketahanan jiwa. Supaya dengan kekuatan itu kita dapat bekerja pada esok harinya dan berupaya menempuh segala ujian, cabaran atau masalah yang datang dengan bantuan Tuhan.

Begitulah Tuhan bersumpah, meminta hamba-Nya menjaga waktu malam untuk kekuatan disiang hari. Lantas munasabahlah Tuhan bersumpah dengan waktu dhuha dan waktu malam. Dua waktu ini kena dijaga betul-betul untuk kesihatan, kekuatan dan kemajuan.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer