Dalam Memburu Kita Diburu


16/11/2005

Petikan:
Tidak ada seorang pun manusia yang terlepas dari tangkapannya. Adakalanya di tangkap di istana, adakalanya di pejabatnya, sewaktu berdua-duaan bersama `mata air`nya, sewaktu di rumah bersama keluarga.
`SB Tuhan` sentiasa memburu manusia di mana-mana.

Di dalam hidup manusia, sama ada dia sedar atau tidak, ada dua perkara yang berlaku ke atas dirinya. Iaitu dia sentiasa memburu atau diburu. Kalau dia tidak memburu dia pasti diburu.

Perkara yang diburu itu pula adakalanya dapat dan tidak kurang juga yang kecundang. Tapi manusia tidak berputus asa. Diteruskan juga buruannya sampai dapat. Malangnya, dalam masa memburu, kadang-kadang perkara-perkara yang ditegah oleh Tuhan pun dia sanggup lakukan.

Demikianlah bila nafsu sudah bermaharajalela, manusia sudah tidak kira, dia sanggup buat apa sahaja. Cuma, dalam masa manusia memburu kehendak nafsunya itu, biasanya manusia seringkali terlupa bahawa dia juga sedang di buru.

Apa dan siapa yang sedang memburu manusia?

Yang pertama,
bukankah manusia sentiasa diburu oleh Malaikat `Atid yang merekod segala kesalahannya? Segala bentuk dosa; tidak kira sama ada dosa kecil apalagi dosa besar, semuanya akan dirakamkan di dalam `fail amalan`nya. Bahkan kata Allah, sebesar zarah pun tidak ketinggalan akan direkod oleh malaikat pencatat itu.


Yang kedua,
manusia sentiasa diburu oleh SB (Special Branch) Tuhan. Allah perintahkan SB-Nya itu untuk menangkap hamba-hamba-Nya yang sedang leka memburu. SB ini namanya Malaikat Maut. Tidak ada seorang pun manusia yang terlepas dari tangkapannya. Adakalanya di tangkap di istana, adakalanya di tangkap di pejabatnya, ditangkap sewaktu berdua-duaan bersama `mata air`nya, ditangkap sewaktu di rumah bersama keluarga. Merata-rata tempat SB Tuhan menangkap mangsanya. Yang bernasib baik, dia ditangkap sewaktu melakukan ibadah dan dalam keadaan sedang melakukan ketaatan kepada Tuhan. Kemudian mangsa yang ditangkap itu akan direman dilokap Alam Barzakh namanya. Di sana sekali lagi roh-roh manusia (yang jasadnya mungkin sudah hancur) diburu lagi oleh SB-SB yang lain pula. SB-SB yang bengis-bengis ini bernama Mungkar dan Nakir. Sekali mereka bersuara, bagaikan halilintar membelah bumi. Kalau tidak dapat menjawab dengan betul, manusia itu akan dilanyak, dibelasah dengan kejamnya. Remuk-redamlah tulang-belulang manusia dibuatnya. Setelah itu Tuhan perintahkan tubuh badan yang hancur luluh itu menjadi elok semula. Kemudian dibelasah lagi berterusan hingga berlakunya Qiamat. Justeru itu wahai manusia, marilah kita beringat-ingat. Sewaktu kita sedang leka memburu, kita juga sedang diburu. Buruan kita itu belum tentu dapat kita tangkap, tetapi kita yang menjadi buruan pasti akan ditangkap

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer