Buatlah Apa Sahaja Asalkan Halal Dan Kerana Tuhan


17/09/2006

Keranamu Malaysia ditukar tahun depan
Oleh: ZULHISHAM ISHAK Utusan Malaysia

KOTA KINABALU 16 Sept. Tema sam butan Hari Kemerdekaan Keranamu Malaysia akan ditukar tahun depan bagi memastikan ia disambut dengan lebih meriah dan bermakna, kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Menurutnya, pendekatan yang akan diambil sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 itu termasuk penggunaan simbol baru serta melibatkan penyertaan lebih aktif pihak swasta dan badan korporat.

Pada tahun depan, kita akan tentukan tema perayaan yang baru dan tidak lagi menggunakan tema Keranamu Malaysia yang telah diguna lebih enam tahun. Ini juga termasuk simbol yang diguna pakai pada setiap sambutan sebelum ini.

Bukan itu sahaja, kementerian juga akan merangsang pihak swasta dan badan korporat untuk turut serta pada tahun depan, katanya selepas melawat tapak Promosi Kraf Malaysia sempena acara penutupan Bulan Kemerdekaan ke-49, di sini hari ini.

Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan ke-49 turut melahirkan rasa puas hati terhadap keseluruhan sambutan tahun ini dan berharap semua lapisan masyarakat akan mengambil bahagian tahun depan.

Katanya, penyertaan kali ini tidak melibatkan semua kaum secara menyeluruh dan apa yang lebih penting sambutan itu dapat memberi makna besar dari segi pengisian erti kemerdekaan.

Persoalan yang timbul sekarang ialah setakat mana kita dapat wujudkan semangat merdeka itu secara menyeluruh, bagi saya, sebahagian besar sudah berjaya.

Tetapi ada segelintir masyarakat tidak kisah dengan Hari Kemerdekaan atau untuk turut serta dalam sambutannya, golongan ini akan kita cuba beri kesedaran untuk bersama-sama merayakan sambutan hari kemerdekaan pada tahun depan, katanya.

Menurut Rais, beberapa program yang diadakan tahun ini akan dikekalkan seperti penerbitan buku-buku mengenai perjuangan menuntut kemerdekaan, selain menambah peraduan sedia ada.

Sementara itu, bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2007, beliau memberitahu, kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Pelancongan akan menyertai pameran kraf tangan dan kebudayaan antarabangsa pada Mei tahun depan di Covent Garden, London, bagi mempromosikan Malaysia.

Jelasnya, melalui penyertaan pada bulan Mei lalu di pameran yang sama dengan disertai 69 negara, Malaysia memperoleh pendapatan RM12.3 juta dan sebahagian besar adalah hasil penjualan kraf tangan.

Melalui kejayaan ini, ia akan menjadi simbol budaya dan warisan mewakili kepentingan Malaysia di peringkat antarabangsa. Kabinet juga ada menasihatkan supaya meneruskan tradisi pameran luaran ini.

Cara ini akan membantu menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2007 dan seluruh dunia boleh mengenali negara kita melalui hasil kraf tangan, kesenian dan kebudayaan, ujarnya.

ULASAN:

Di antara ajaran sesat ialah orang yang memuja negara.Ia lebih dicintai dan dipuja daripada Tuhan yang mencipta negara. Sikit-sikit negara, sikit-sikit demi negara, negara mesti dijaga.Apa sahaja hendak dibuat kerana negara, berjuang kerana negara, membangun kerana negara, segala-galanya untuk negara.Mereka telah syirik di dalam keyakinannya, jangan siapa sahaja yang menyentuh negara, dia tersinggung sungguh.

Tuhan kalau dihina dia tidak pun rasa tersentuh, syariat Tuhan bukan sahaja kalau orang menghina dia sendiri pun menghina tidak terasa apa-apa. Orang ini negara telah menjadi agamanya. Negara disanjung dan dipuja lebih daripada segala-galanya sekalipun Tuhan yang Maha Pencipta.Di mana sahaja dan di masa bila pun, kalau bercakap negara mesti disebut Tuhan jarang-jarang sekali disebut.

Kalaupun Tuhan disebut, bukan kerana cinta atau takut hanya penyedap mulut. Kesalahannya terhadap negara dipandang besar, mereka dianggap subversif dan mesti dihukum. Kesalahan terhadap Tuhan, sudah tidak terasa lagi satu kesalahan. Betapalah hendak dihukum, memang tidak terfikir oleh fikirannya. Orang ini sungguh tersesat jalan dan orang ini bukan senang untuk dibetulkan kerana keyakinannya telah mendarah mendaging, telah menjadi hati dan fikiran. Dia sanggup mati kerana negara sanggup mengorban apa sahaja demi kerananya, kasihan orang ini, negara telah jadi agama.

Carilah pangkat bukanlah satu kesalahan, tapi biarlah kerana Tuhan dan untuk Tuhan. Mencari pangkat kerana Tuhan kepentingannya untuk insan dari sini boleh timbulkan kasih sayang. Carilah kekayaan supaya dapat diagih-agihkan sesama insan tidak semua insan mendapat kekayaan, yang tidak dapat dibela oleh orang-orang kaya. Di sini boleh menjalinkan kasih sayang sesama yang tidak punya.

Carilah ilmu ia adalah satu kewajipan, carilah ilmu atas nama Tuhan, untuk Tuhan. Faedahnya nanti dapat di manfaatkan sesama insan ia juga boleh melahirkan kasih sayang.Tidak salah jadi pemimpin, ia diperlukan untuk membela rakyat semua lapisan, tidak ada pemimpin rakyat tidak ada pembelanya. Terdedahlah rakyat kepada kesusahan, orang jahat ambil kesempatan .

Carilah apa sahaja, buatlah apa sahaja asalkan di halalkan oleh Tuhan dan undang-undang.Setiap apa sahaja dibuat, kalau kerana Tuhan,semua golongan akan jadi selamat dan menyelamatkan. Kalau buat apa sahaja bukan kerana Tuhan masing-masing nanti akan mengambil kesempatan. Mengambil kesempatan berlaku kemarahan Tuhan. Di sini juga akan berlaku perpecahan dan permusuhan.

Siapa yang beribadah dan dapat membuat baik dia rasa hasil usahanya, bukan anugerah Tuhan dia syirik dengan Tuhannya. Dia membuat baik hasil kemampuannya dia telah melupakan Tuhannya
dia tidak beradab lagi dengan Tuhannya.Padahal usaha itu adalah kuasa dan kehendak Tuhannya.Segala-galanya adalah dari Tuhan yang berkehendak. Kehendak kita itu adalah kehendak Tuhan.Kalau Tuhan tidak berkehendak, kehendak kita itu tidak akan diciptakan. Kalau bukan kuasa Tuhan dan kehendak Tuhan kita tidak akan berkehendak. Kita tidak akan berkehendak kalau bukan kehendak Tuhan. Kalau bukan kehendak Tuhan usaha kita tidak akan ada.

Ramai orang terperangkap dengan usaha-usahanya, ramai orang syirik dengan Tuhan oleh usaha-usahanya. Begitulah seterusnya orang rasa berjaya dengan kebolehannya syirik dengan Tuhan.Orang merasa dengan kepandaiannyalah dia berjaya, syirik dengan Tuhan. Orang yang rasa beribadah dengan tenaganya, syirik dengan Tuhan, kerana itulah Tuhan ajarkan kita apabila berjaya. Bertasbih sucikan Tuhan, memuji-Nya dan meminta ampun kepada-Nya supaya syirik bersih dari perasaan kita. Kerana syirik itu sangat halus datang di dalam hati. Adakalanya tanpa disedari ia menyelinap di dalam jiwa. Kalau Tuhan tidak selamatkan kita susah hendak elakkan syirik khafi. Berhati-hatilah kita berperasaan agar ia tidak menipu kita.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer