Berhiburlah Dengan Jiwa.. Dapat Hiburan Dan Pahala


04/07/2006

Program realiti jangan bertentangan dengan syariat
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

TAHUN 2003 mencetuskan evolusi dalam dunia penyiaran Malaysia apabila program-program realiti TV mula mengambil tempat di kalangan khalayak.

Pertandingan nyanyian berkonsep lama menerima perubahan paling ketara apabila keputusan bukan terletak di tangan juri sepenuhnya. Sebaliknya, kuasa penonton mengatasi segala-galanya dengan undian melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

Akademi Fantasia (AF) adalah program realiti pertama berbentuk hiburan yang mengundang polemik di kalangan masyarakat dan ahli akademik hingga ke hari ini.

Isunya bukan pertandingan nyanyian tetapi keterbukaan peserta bergaul mesra antara satu sama lain dan mereka pula ditempatkan dalam sebuah banglo. Kemudiannya, aksi-aksi berpelukan antara lelaki dan perempuan dipertontonkan dengan jelas di hadapan khalayak. Unsur-unsur emosi juga diterapkan secara terbuka.

Amat mendukacitakan, rata-rata pelajar AF adalah remaja Melayu beragama Islam yang sepatutnya tahu bahawa dunia fantasi tidak menjanjikan kebenaran.

Program realiti begini semakin bercambah. Muncul beberapa program seperti Audition yang disiarkan di saluran ntv7, Malaysian Idol (8TV), Mentor (TV3) dan terbaru, One In A Million (8TV). Semuanya mempunyai matlamat yang sama mencari pesona bintang dalam dunia nyanyian dan lakonan.

Tidak kurang juga ada program realiti dengan sedikit kelainan seperti Malaysias Most Beautiful (8TV) untuk mencari wanita tercantik di Malaysia. Paling kontroversi ialah program Mencari Cinta (TV3) yang dikatakan bertentangan dengan adat dan budaya Melayu. Agak unik dan berbeza, muncul MyTeam (TV3) yang tujuannya mencari bakat-bakat baru dalam dunia bola sepak.

.........................................

Inginkan hiburan adalah fitrah semulajadi manusia
Kerana ia adalah makanan batin manusia untuk kebahagiaannya
Tidak ada hiburan batin manusia kelaparan dan terasa kekosongan
Tidak ada hiburan jangka panjang amatlah bahayanya
Tapi kalau salah cara berhibur ia lebih lagi merbahaya
Boleh rosak jiwa, buahnya merosakkan pula akhlak diri dan manusia lainnya
Jika rosak akhlak ia pula rosak merosakkan pula sesama manusia
Kalau sudah rosak merosakkan akhlak masyarakat manusia akan jadi huru-hara
Oleh itu berhati-hatilah mencari hiburan agar kehidupan manusia dapat dijaga dengan mulianya
Kalau tidak manusia yang akan menerima padahnya
Hiburan ertinya hendak mencari kepuasan batin manusia
Samada kepuasan akal, kepuasan nafsu mahupun kepuasan roh atau jiwanya
Tuhan hanya membenarkan mencari kepuasan akal dan kepuasan jiwanya
Kepuasan nafsu walaupun ia hiburan tapi diharamkan kerana bahayanya
Kecuali hiburan nafsu didisiplinkan oleh syariat Tuhan di dalam kehidupannya
Hiburan akal adalah mencari ilmu melalui membaca, menyelidik dan lain-lainnya
Samada ilmu yang wajib mahupun ilmu yang sunat, yang diharuskan dibolehkan juga
Berhibur dengan ilmu boleh jemu dan boleh meletihkan akal manusia
Hiburannya yang berterusan selepas ada ilmu ia boleh menjadi panduan di dalam kehidupan
Panduan itu adalah juga hiburan di dalam kehidupan manusia
Kerana ia boleh menyenangkan kita di dalam berusaha dan tindakan bekerja
Hiburan menurut akal walaupun termasuk kepuasan batin manusia
Tapi ia masih belum dikatakan hiburan yang hakiki mengikut Tuhan pencipta
Hiburan cara akal walaupun dibolehkan
Hiburan akal tidak mampu membendung hati daripada mendapat ujian dan kesusahan di dalam kehidupan
Kalau ada bala berat yang menimpa, cita-cita yang gagal, mendapat kesusahan selalu sahaja jiwa derita
Dia akan gelisah, kecewa mungkin putus asa
Tidak hairanlah orang yang banyak ilmu,bijak dan pandai sakit jiwa
Bahkan ada juga di kalangan mereka membunuh diri kerana kecewa
Hiburan mengikut nafsu ia adalah diharamkan kecuali yang disyariatkan
Kerana bahayanya dahsyat di dalam kehidupan insan
Akhlak manusia rosak masyarakat manusia huru-hara menggugat keamanan
Hiburan nafsu amatlah banyaknya
Seperti melihat perempuan atau gambarnya terutama yang terdedah auratnya
Pakaian yang menjolok mata yang merangsang nafsu manusia
Melihat filem-filem lucah yang memberangsang nafsu merosakkan jiwa
Menonton tarian gelek, daripada perempuan-perempuan yang menggoyangkan badannya
Semuanya itu boleh menyuburkan nafsu jahat yang membawa perzinaan dan perogolan
Yang merosakkan keturunan, merosakkan rumahtangga dan membawa pergaduhan
Hiburan mengikut nafsu pada hakikatnya bukan hiburan
Di dalam hiburannya ada racun kepada jiwa manusia
Kerana ia membawa kerisauan, membawa angan-angan, fikiran kacau tidak keruan
Membawa fikiran tidak tenang selagi kemahuan tidak ditunaikannya
Akhirnya tidak dapat cara halal dilakukan secara haram yang dilaknat Tuhan
Ia membawa pula cemburu-mencemburui, benci-membenci, hasad dengki, rebut-merebutkan akhirnya buahnya adalah perbalahan dan pergaduhan kemuncaknya pembunuhan
Hiburan mengikut nafsu itulah yang telah memusnahkan kehidupan di dunia
Berbagai-bagai gejala masyarakat berlaku kerananya
Hilang keamanan, hilang ketenangan yang ada kebimbangan dan ketakutan
Negara susah rakyat parah, tergugat keselamatan
Termasuk juga hiburan nafsu melihat atau mendengar lawak jenaka yang keterlaluan
Melihat atau mendengar ahli-ahli lawak bercakap tidak keruan
gelak ketawa terbaha-bahak yang memalukan
Bercakap terlolong-lolong adakalanya perkataan mencarut tanpa segan silunya diucapkan
Pelawak-pelawak jiwanya akan mati dan mematikan jiwa para pendengarnya atau clientnya
Jiwa yang mati lupa Tuhan, jiwa yang mati lupakan mati,
jiwa yang mati lupa Hari Pembalasan
Jiwa yang mati ia selalu lalai dengan Tuhannya
Lalai adalah dibenci Tuhan
Hiburan yang hakiki adalah hiburan jiwa atau hati
Hiburan hati sebenarnya banyak sudut dan banyak bidangnya kalau diperhati
Membaca Al Quran atau mendengar bacaannya yang dihayati menembusi lubuk hati adalah salah satu caranya
Mengingati Tuhan hingga terasa kasih sayang-Nya, terasa kebesaran-Nya, terasa kuasa-Nya
Itu semuanya boleh membawa ketenangan jiwa
Ketenangan jiwa adalah hiburan
Takutkan Tuhan sebenarnya ada perkara yang tersirat iaitu hiburan
Takutkan Tuhan menjadikan tidak takut dengan kesusahan kehidupan
Tidak takut dengan kesusahan dan cabaran kehidupan di situ ada hiburan
Tidak takut selain Tuhan itu adalah hiburan kalau difikirkan
Ketakutan selain Tuhan itu adalah membunuh hiburan di dalam jiwa manusia
Kerana itulah Tuhan berkata yang bermaksud Ketahuilah ingatkan Tuhan itu menenangkan jiwa
Jiwa tenang itu adalah hiburan yang tidak perasan
Termasuk juga hiburan jiwa mendengar nasyid-nasyid yang merdu dan syahdu
Senikatanya pula yang menusuk jiwa
Seperti memuji-muji Tuhan, keampunan Tuhan, nikmat dan rahmat Tuhan kepada insan
Termasuk memperdengarkan kasih sayang Tuhan, penjaga dan penyelamat insan
Kasihkan Tuhan juga hiburan kalau dihayati oleh jiwa
Kasihkan Tuhan adalah rahsia kasih sesama manusia atau insan
Kasih sesama manusia adalah saluran hiburan bagi jiwa
Kasihkan manusia terhibur membantunya, terhibur menziarahinya, terhibur menolongnya
Seterusnya terhibur memaafkannya, terhibur memberi maaf kepadanya
Rupanya jiwa terhibur boleh menghiburkan jiwa manusia
Ketenangan jiwa itulah hiburan yang tersembunyi di dalam jiwa
Orang berhibur bukankah hendak menenangkan dan menyenangkan jiwa?
Takutkan Tuhan menghilangkan takut selain-Nya
Tidak takut lagi dengan kesusahan-kesusahan dunia
Tidak takut dengan kesusahan dunia itu adalah hiburan yang tersembunyi pada manusia
Rasa susah dengan kesusahan dunia jiwa tidak tenang hilanglah hiburan
Takutkan Tuhan sahaja menghilangkan takut dengan kesusahan dunia
Bukankah itu hiburan?
Sebagai menutup intipati hiburan manusia ada tiga bahagian
Hiburan akal, hiburan nafsu, hiburan jiwa
Ketahanan manusia adalah hiburan jiwanya
Ketahanan jiwa itulah jati diri manusia
Hiburan akal dan nafsu merapuhkan kekuatan jiwa
Jiwa yang rapuh tidak tahan berhadapan dengan ujian dunia
Carilah hiburan, untuk kepuasan dan kekuatan jiwa
Kepuasan dan kekuatan jiwa itulah ketahanan diri manusia
Orang yang selalu menghiburkan nafsunya ketahanan jiwa tidak ada
Tidak boleh teruji dengan kesusahan,dengan cabaran dan dengan kegagalan
Apatah lagi ujian-ujian itu besar dan berat ditanggung oleh jiwa
Jiwa pun gelisah, resah, derita, terseksa, kecewa dan putus asa
Kerana itulah penghibur-penghibur nafsu selalu sakit jiwa
Penghibur-penghibur nafsu banyak yang hidup kecewa
Penghibur-penghibur nafsu ramai yang putus asa
Mereka-mereka itu ada yang membunuh diri padahal mereka terkenal dan popular
Penghibur-penghibur nafsu ramai yang rumahtangganya porak-peranda
Mereka bercerai-berai perkara biasa sudah jadi budaya
Masih umur muda sudah jadi janda
Ini bukan hendak mengata ia adalah realiti kehidupan sebahagian mereka
Berhiburlah ia bukanlah salah
Tapi berhiburlah dengan jiwa
Berhibur dengan jiwa mendapat untung dua perkara hiburan dan pahala

6.8.2004 1
Menjelang tidur

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer